Cerita pendek yang bertajuk “RUMAH PENINGGALAN” ini ditulis
semasa berumur 17 tahun ketika menuntut ilmu di Al-Madrasah Al-‘Alawiyah, Arau,
Perlis, Malaysia, telah disiarkan dalam tulisan Jawi oleh akhbar Warta Negara,
56 tahun dahulu.
WARTA NEGARA
Hari Rabu
5 ZulHijjah 1374 Hijriyah
Cerita
Pendek
((RUMAH
PENINGGALAN))
Oleh: Ghazali M. Nur
Suasana malam sunyi sepi daripada suara manusia atau
binatang peliharaan. Hanya suara-suara
binatang hutan sahaja kedengaran dan langit kelihatan gelap hitam diselubungi
oleh sang awan, tanda hujan akan turun, sang rambulan pun tiada kelihatan.
Di sana kelihatan sebuah gobok yang kecil sedang
berkelip-kelip cahaya pelita tanda penghuninya belum lagi tidur.
“Sudah lelap bang Man?”
Suara isterinya memecah sunyi.
“Oih….belum….” Jawab suami sambil menggeliat.
“Kau sedang buat apa Munah, belum masuk tidur lagi?” Tanya suaminya serta menarik kain selimut.
“Memadam potong-potong api atas dapur” Jawab isterinya.
Suasana sunyi sebentar.
“Bang Man!!” Suara
memecah sunyi.
“Ya”.
“Bang Man jangan cepat jendera, Nah tak lena malam
ni.” Kata isteri.
“Ada apa pula……??”
Tanya suami dengan cemas.
Suasana pun sunyi sedia kala.
“Tak jadi beli, bang Man.”
“Apa pula tak jadi beli……?” Tanya suami dengan hairannya.
“Rumah”
“Rumah….?? Oh…rumah
orang Siam yang kita akan beli itu, mengapa pula, tak mahu, bukan dulu kau juga
mahu…?? Dah masa hendak tidur mula tak mahu… macam mana
fikiran kau sekarang…??”
“Nah takut, kerana dikata
orang rumah berhantu.”
“Abang dah bersetuju akan beli harganya murah lapan ribu
ringgit, rumah semacam itu payah hendak dicari.
Kawasan pun luas ada dengan telaga, kolam bunga teratai dan taman bunga
yang teratur. Abang ingat orang yang
menerima pesaka itu tak berapa cukup akal kerana sanggup menjual rumah sebegitu
dengan harganya pula murah.”
“Abang tak tahu”
Kata isteri dengan suara halus.
“Apa??" Tanya suaminya.
"Tadi waktu abang keluar pergi bekerja orang tua
penjaga rumah itu datang mencerita kejadian rumah itu kepada Nah. Ceritanya sangatlah gerun dan ajaib.
Katanya beberapa tahun yang silam di masa pemerintahan
Siam memerintah dengan cara diktator dulu undang-undang di bawah tangan raja. Banyaklah gadis-gadis jelita
menjadi korban mangsa untuk raja-raja dan pembesar-pembesar kerajaan apabila
mereka berkehendak memuaskan nafsu kebinatangannya, bukan sahaja gadis yang
menjadi mangsa mereka bahkan apa sahaja yang mereka berkehendak pasti ditunai,
kata orang tua itu dan sambungnya lagi.
Cuba lihat nun …. Jauh di lereng bukit sana, sebuah sisa
dangau yang terasing sedikit dengan dangau-dangau yang banyak itu. Di situlah tempat kediaman seorang anak yatim
namanya Adinan. Bapanya meninggal dunia
pada masa ia sedang di dalam bangku pelajaran di sebuah sekolah di kampung itu, sedangkan ibunya telah meninggal terlebih
dahulu daripada bapanya. Oleh yang
demikian ia terpaksa berhenti daripada pelajaran, kerana tak ada waris yang
sanggup memeliharanya. Maka ia tak duduk
lagi di situ terus ia merantau.
Tak berapa lama ia diambil oleh seorang datuk panglima
raja Siam namanya Waicabun, buat menjaga kebun bunganya.
Namun ia ada seorang anak perempuan namanya Rasmi. Rupa parasnya payah dibanding di masa itu.
Lapan tahun berlalu, kini Adinan tidak lagi menjaga kebun bunga
semacam dulu, ia bekerja sebagai perajurit membela tanahair.
Selalu juga ia balik menjumpai Rasmi yang kini umpama
bunga sedang kembang, baunya harum semerbak merata-rata. Makin hari makin wangi. Tak ada seekor kumbang pun berani mendekati.
Maklumlah bunga jagaan, kecuali Adinan sahaja dapat memiliki hatinya.
Adinan berjanji bahawa ia akan mendiri sebuah rumah bagi
siap sebelum ia hantar utusan untuk meminang Rasmi.
Maka rumah pun didiri orang. Adinan sebagai penjaga orang-orang bekerja.
Masa berjalan hari bertukarkan minggu, minggu bertukarkan
bulan, rumah yang didiri telah pun siap, serta ditanam pokok-pokok bunga di
sekeliling rumah, di sebelah hadapan
rumah digali buat kolam bunga teratai, dan sebiji telaga di dalam rumah.
Maka Adinan pun mencari utusan untuk menghantar bunga
sirih terhadap orang tua Rasmi. Tetapi
malangnya cita-cita itu roboh dengan tak disangka-sangka oleh manusia
kejam……..kejam lebih daripada binatang durjana itu ialah utusan datang dari
maharaja Siam hendak mengambil Rasmi pergi…..macam manakah perasaan Rasmi di
masa itu? Kau lukislah sendiri Munah,
kiranya kau terkena semacam itu.” Kata orang tua itu.
Ia berhenti mencerita sebentar sambil menunduk kepalanya
ke bumi, dan sambungnya lagi:
“Maka utusan itu pun berkata: “Besok pagi kamu mesti
bersiap sebelum pukul lapan pagi, kereta akan datang mengambil.”
Utusan maharaja Siam itu pun kembali.
Suasana malam pun datang menyelimuti alam. Semua unggas-unggas yang tadi berterbangan di
angkasa raya, kini masing-masing membawa diri pulang ke sarang.
Angin malam bertiup halus, semua isi alam sunyi sepi. Sekali sekala kedengaran pungguk mengigau di
dalam rimba raya.
Di anjung rumah yang besar itu kelihatanlah Rasmi
termenung, air mata mengalir berderai-derai membasahi pipi yang gebu itu bak
mutiara gugur dari talinya.
Pada malam itu ia memutuskan fikirannya untuk menemui
Adinan buat kali yang akhir di rumah yang baharu siap itu. Ia pergi serahkan segala-galanya terhadap
kekasihnya.
Tadi dian menyala-nyala dengan megahnya, kini datang angin
memadamnya, air yang tenang di dalam kolam di hadapan rumahnya mulai
bergerak-gerak. Dengan beransur-ansur
air itu tenang kembali. Angin tak ada
lagi, dian pun dipasang semula.
Kelihatan Rasmi menangis tak berhenti-henti.
“Kanda….! Malam ini ialah malam pertama kali dinda merasai
nikmat jumpa dan juga malam yang terakhir buat jiwa adinda”.
Adinan tak dapat berkata umpama ada sesuatu benda datang
menyumbat di halkumnya, hanya dipeluk Rasmi merapatkan ke pipinya.
“Dinda akan balik sebelum fajar kerana takut dilihat
orang-orang raja yang sedang mengintai-intai.”
Kata Rasmi.
Fajar putih mulai menyinsing , Rasmi turun dari rumah
kekasihnya serta ditemani oleh Adinan sekerat jalan, kemudian Adinan balik
masuk dan serta dipadamkan dian.
Sekejap sahaja kedengaran suara perempuan menjerit dan
senyap tak kedengaran lagi.
Dengan tak membuang masa Adinan terjun turun ke bawah
hendak melihat peristiwa itu. Maka
dilihat sebuah kepala perempuan tergantung di dahan jambu dan badannya terbaring
di umbi.
Dengan tak memikir panjang ia membelek-belek badan
itu. Tetapi tak dapat ditelah kerana
terlampau gelap, lalu ia naik mengambil
kepala yang sedang tergantung itu sambil memerhati.
Miski pun begitu, ia tak bergerak-gerak ke mana sedangkan
ia memegang kepala itu.
“Pakngah…..pakngah”
Ia memanggil aku dengan sekuat-kuat suara.
Aku turun dengan membawa sebuah lampu picit dan sebilah
keris, kerana aku ingat kalau pencuri.
Dengan terperanjat apabila cahaya lampuku sampai ke muka
perempuan yang dipegang oleh Adinan itu ialah kepala Rasmi.
“Pakngah….tolong ambil cangkul ke mari, saya akan gali
liang malam ini sebelum cerah.”
Aku pun balik mengambil dua bilah cangkul.
Sudah kami menggali
liang itu, maka ia berkata: “Sekarang pakngah buat ikut saya kata, kambuskan
saya serta isteri saya ini, dan tolong persampaikan pesanan saya ini pada
mereka yang berhak menerima pesaka ini.
Tanah dan rumah ini kiranya belum cukup empat puluh tahun tak dibenar sesiapa
menjual, duduk dan sewa. Kalau mereka
tak mengikut, mereka akan menerima kecelakaan seumur hidup dan saya akan duduk
menunggu di sini dengan isteri saya selama empat puluh tahun.”
“Begitulah ceritanya yang diceritakan oleh orang tua
penjaga rumah itu.” Kata isterinya.
Hari Jumaat
25 Rabi’ulAkhir 1434 Hijriyah
8 Mac 2013