15 RIBU ORANG BAKAL
HAJI DITAHAN
Orang-orang Islam datang ke Baitullah AlHaram, dari jauh dan
dekat kerana menyambut seruan Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi menunaikan Fardhu
Haji yang diwajibkan ke atas orang-orang berkuasa dan berkemampuan, sekali
dalam hayat mereka.
Mereka itu datang dengan berjalan kaki atau berkenderaan
secara senang dan susah payah semata-semata kerana Allah Ta’ala.
Mereka itu tidak membawa sebarang senjata yang berbahaya dan
membahayakan orang ramai atau kerajaan dan bakal-bakal Haji lelaki pula memakai
pakaian Ihram yakni pakaian yang tidak berjahit dan tidak berseluar. Lebih-lebih lagi ibadat Haji adalah di dalam bulan
DzilHijjah, salah satu dari empat bulan haram yakni bulan-bulan pengharaman
peperangan.
Terdapat berita yang disiarkan oleh akhbar di Jeddah pada
10hb September 2013, menyatakan bahawa terdapat seramai 15,000 orang bakal-bakal
Haji dari luar dan dalam negeri
(domestik) bagi tahun 1434 Hijriyah/2013 Masihi, tidak mempunyai permit
Haji dan telah ditahan Kerajaan Wahhabi Arab Saudi.
Bakal-bakal Haji yang ditahan itu telah sampai dan telah pun
berada di Makkah AlMukarramah dan sudah bersiap sedia untuk berwuquf di Arafah
pada hari Selasa, 9 DzilHijjah 1434 Hijriyah/14 Oktober 2013.
Kerajaan Wahhabi Arab Saudi telah menahan bakal-bakal Haji
tersebut daripada mengerjakan ibadat Haji tahun ini dan mengharamkan mereka daripada
menunaikan Fardhu Haji selama tempoh 10 tahun akan datang, yakni 10 kali musim
Haji, berkuatkuasa mulai dari tarikh mereka ditahan dan diusir keluar dari
Tanah Haram oleh Kerajaan Wahhabi Arab Saudi.
10 tahun pada hakikatnya adalah suatu masa yang tidak
seorang pun manusia yang boleh menentukan hayat masing-masing samada masih
bernyawa lagi dalam tempoh masa tersebut, kerana belum tentu seseorang itu
masih dapat menarik nafasnya sesaat kemudian, mahupun keesokan harinya.
Kerajaan Wahhabi Arab Saudi telah mengadakan berbagai-bagai
alasan yang mewajarkan dan membolehkan kerajaannya mengambil tindakan menahan
dan menghukum bakal-bakal Haji tersebut dengan cara begitu.
Antara alasan-alasan yang diambilnya ialah bagi menjaga
keselamatan jema’ah Haji dan lain-lain lagi untuk menyakinkan mata dunia yang
sekongkol dengannya.
Hakikatnya, Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pelindung.
Hari Jumaat
13 DzilHijjah 1434 Hijriyah
18 Oktober 2013
No comments:
Post a Comment