HARI RAYA ‘EIDUL
FITRI 1434 HIJRIYAH
Setiap kali menjelang Hari Raya, perasaan gembira dan
seronok dirasai oleh orang-orang yang telah sempurna menunaikan ibadat puasa
mereka dan akan menyambut Hari Raya.
Kegembiraan itu terserlah benar bagi orang-orang yang diberi
Allah Ta’ala rezeki yang lebih dengan persediaan-persediaannya. Bagi orang-orang yang kurang berkemampuan
sambutan Hari Raya mereka seadanya.
Namun begitu bagi orang-orang yang berkeluarga yang tinggal
berasingan daripada orang tua mereka samada ibu bapa atau ibu atau bapa mereka,
kegembiraan itu tidak terlepas daripada mengatur hal-hal “balik kampung” di
antara suami dengan isteri, yakni ke
mana terlebih dahulu hendak mereka balik dan berapa hari mereka akan bersama
dengan ibu bapa, atau ibu atau bapa mereka.
Hal itu, mahu tak mahu ditempuhi oleh kebanyakan orang
kerana mereka, suami dan isteri, masing-masing mempunyai sentimennya sendiri.
Jika tidak kena pada aturcaranya, maka sedikit sebanyak ianya akan membawa kesedihan
dan terasa hati kepada salah seorang daripada mereka.
Oleh itu, seelok-eloknya suami dan isteri pandai-pandailah
menyusun urusan “balik kampung” itu agar tidak menyentuh perasaan mana-mana
pihak.
Bagi ibu bapa pula sebaik-baiknya tidak terlalu menaruh harapan
yang tinggi agar anak-anak mereka terpaksa balik menziarahi mereka. Serahlah urusan itu kepada anak-anak untuk
memikir dan mengaturkan yang terbaik kerana menziarahi ibu bapa dan
menggembirakan mereka adalah salah satu ibadat yang dilakukan kerana Allah Subhanahu
Wa Ta’ala atas perintah Allah Ta’ala agar anak-anak terutamanya anak-anak
lelaki berbuat baik kepada kedua ibu bapa atau ibu atau bapa mereka.
Jika anak-anak atau anak tidak dapat balik atas sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan, maka terimalah hakikat tersebut dengan redha kerana
Allah Ta’ala dan bersabar, mudah-mudahan diberi Allah Ta’ala ganjaran pahala,
InsyaAllah.
Ibu bapa harus senantiasa berdo’a kepada Allah Subhanahu Wa
Ta’ala supaya dapat bersama dan bermesra dengan anak-anak atau anak mereka
semasa hayat masing-masing masih ada agar Allah Ta’ala mencucuri rahmat dan
berkatNya atas keluarga, InsyaAllah.
Hari Ahad
26 Ramadhan 1434 Hijriyah
4 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment