56 NEGARA UMAT ISLAM
Pergolakan demi pergolakan, pertumpahan darah demi
pertumpahan darah di dalam negara-negara umat Islam sepanjang masa sekarang
ini, di manakah pemimpin-pemimpin dari 56 negara umat Islam dalam 0.I.C. (Organization
of the Islamic Conference).
BERSUARA MENGUTUK
Sekarang ini pemimpin-pemimpin negara-negara umat Islam
bersuara hanya mengutuk perbuatan zalim yang dilakukan oleh kafir dan
boneka-boneka mereka di negara-negara umat Islam.
MEMINTA PERTOLONGAN
KAFIR
Apa yang berlaku sebaliknya, pemimpin-pemimpin negara-negara
umat Islam pula meminta pertolongan orang-orang kafir atau membiarkan
pemimpin-pemimpin kafir menjadi orang tengah “mediator” untuk mendamaikan
persengketaan atau perbalahan di antara umat Islam.
UMAT ISLAM
MENGABAIKAN PERINTAH ALLAH
Hingga kini, tidak ada mana-mana pemimpin negara-negara umat
Islam yang bersatu, bangkit dengan kekuatan logistik dan ekonomi, menolong dan
mendamaikan keadaan secara tegas dan menahan serta menepis agenda-agenda
konspirasi kafir untuk mengkucar-kacirkan negara-negara umat Islam seluruh
dunia.
Adalah didapati setakat ini, semua pemimpin-pemimpin negara-negara
umat Islam dalam O.I.C. itu seolah-olahnya menunggu serta melihat sahaja
saudara-saudara Islam dipecah belahkan,
dibunuh oleh konco-konco atau boneka-boneka kafir di dalam negara-negara umat
Islam sendiri.
Apakah pemimpin-pemimpin umat Islam sebegitu caranya,
kononnya mereka tidak boleh mencampuri
hal-hal pembunuhan umat Islam dalam negara-negara umat Islam lain. Sebaliknya pemimpin-pemimpin negara orang-orang
kafir terus mengasak dan mencampuri urusan-urusan negara umat Islam yang
terlibat dalam kancah “perang saudara” perang sesama sendiri itu. Tindakan mereka itu bertentangan dengan Hadis
Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Janganlah sekali-kali ada seorang di antara
kamu yang berdiam diri melihat saudaranya teraniaya. Sesungguhnya laknat Allah menimpa orang yang
hadir menyaksikan tetapi tidak mahu membelanya.” At-Tabrani.
KONSPIRASI KAFIR
Pemimpin-pemimpin kafir itu sepakat dalam agenda mereka
terhadap umat Islam. Mereka mengguna dan
bertopengkan kata-kata “membawa damai dan kestabilan” (bring peace and
stability) kepada negara-negara umat Islam yang sedang bertelagah sesama
sendiri itu. Dengan itu, dapatlah mereka masuk meninjau “spying” di samping
menghantar senjata kepada puak-puak yang bersekongkol dengan mereka atau
menceroboh masuk negara-negara umat Islam itu, atas alasan untuk mendamaikan
puak-puak yang sedang bertelagah itu.
Helah kafir itu adalah agar umat Islam akan bunuh-membunuh
sesama sendiri dan akhirnya negara-negara umat Islam akan menjadi hancur lebur
kekuatannya, lemah ekonominya dan terhakis aqidah umat Islam itu sendiri.
Apabila berlaku kehancuran umat Islam, maka orang-orang
kafir yang menghasut peperangan di negara-negara umat Islam tersebut akan
merasa damai dan selesa tanpa sebarang pertumpahan darah dan kerosakan di
negara mereka sendiri. Mereka dapat
menguasai ekonomi negara-negara umat Islam yang telah berlaku peperangan itu,
di samping mereka telah mengaut keuntungan yang besar di atas penjualan
senjata-senjata api ke negara-negara tersebut.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Anfaal, Ayat 73, maksudnya:
“Dan orang-orang yang kafir, setengahnya
menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak
menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah)
itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang
besar.” Ayat 73
KEWAJIBAN UMAT ISLAM
Adalah menjadi kewajiban ke atas umat Islam supaya berusaha menahan pertumpahan darah sesama saudara Islam
sebagaimana diperintahkan oleh Allah Ta’ala ke atas mereka untuk menjadi
pendamai apabila ada mana-mana puak yang bertelagah atau berselisihan.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat, Ayat 9 dan Ayat 10, maksudnya:
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang
beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya;
jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang
lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah
Allah;
jika ia kembali patuh maka damaikanlah di
antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu
(dalam segala perkara);
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil.” Ayat 9
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah
bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah)
itu;
dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat.” Ayat 10
WALLAHU A’LAMU BISSAWAAB
Hari Juma’at
9 Syawal 1434 Hijriyah
16 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment