MITOS ORANG-ORANG
ISLAM DI TANAH MELAYU
Bagi kebanyakan orang-orang Islam di Asia Tenggara ini
termasuk orang-orang Islam di Tanah Melayu tersalah anggap bahawa Kerajaan
Wahhabi Saudi Arabia itu menjalankan Hukum-hukum Allah ‘Azza Wa Jalla
sepenuhnya yakni berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wasallam.
Dengan kepercayaan itu, mereka menerima baik apa sahaja yang
datang dari kerajaan Wahhabi Saudi Arabia itu atas kepercayaan mereka bahawa kerajaan
Wahhabi Saudi Arabia itu adalah pemerintah dua tanah suci Makkah Al-Mukarramah
dan Madinah Al-Munawwarah. Sedangkan
Baitullah pernah diperintah oleh beberapa kaum Arab Jahiliyah dan di antaranya
kaum Arab Musyrikiin.
Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah adalah dua
tanah suci tetapi manusia yang menjaga dan memerintah dua tanah suci tersebut tidak
sesuci tanah dan tempat yang diperintahinya kerana kedua tanah suci ini tidak
melakukan maksiat kepada Allah ‘Azza Wa Jalla.
MAKKAH AL-MUKARRAMAH
PERNAH DIKUASAI OLEH MUSYRIKIIN
Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Hajj, Ayat 25, maksudnya:
“Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang
kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (agama Islam), dan dari
memasuki Masjid Al-Haraam yang Kami (Allah) jadikan dia tempat beribadat untuk
seluruh umat manusia (yang beriman) – samada yang tinggal menetap di situ atau
yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang
perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami (Allah) akan merasakannya
azab yang tidak terperi sakitnya.” Ayat 25
Rumah suci, rumah tempat beribadat kepada Allah Yang Maha
Esa yang pertama kali di dunia ini ialah Masjidil Haram di Makkah Al-Mukarramah.
Pernah pada suatu ketika, Ka’abah dikuasai oleh orang-orang
Musyrikiin. Mereka meletakkan kurang
lebih 360 buah berhala besar dan kecil di sekeliling Ka’abah untuk tujuan penyembahan
mereka.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala menegaskan bahawa tempat suci ini
adalah tempat ibadat bagi manusia (yang beriman) seluruhnya dan bukan tempat
penyelewengan kepada yang lain dan bukan untuk membuat pemujaan yang lain.
Berdasarkan kepada ringkasan sejarah tersebut, maka
orang-orang Islam di Tanah Melayu ini harus berpegang bahawa tanah suci Makkah
Al-Mukarramah itu adalah tempat yang suci di atas muka bumi ini.
Namun begitu, sayugia sama-sama mengambil perhatian dan i’tibar
bahawa kesucian dan keamanan tempat itu tidak dapat menjamin tempat itu tidak
dapat ditembusi masuk oleh syaitan-syaitan jinn dan syaitan-syaitan manusia
yang membawa berbagai angkara maksiat yang
melanggar perintah Allah ‘Azza Wa Jalla dan menghina Nabi Muhammad Sallallahu
‘Alaihi Wasallam, ahli-ahli keluarga Baginda dan sahabat-sahabat Baginda
radhiallahu ‘anhum di sana.
Selain daripada itu terdapat jenayah-jenayah yang dilakukan yang
kebanyakannya di sembunyi dari pengetahuan umum seperti pembunuhan, perkosaan,
penipuan, mencuri dan lain-lain lagi. Bagi
sesetengah umat Islam yang pernah menunaikan Rukun Haji dan Umrah, ada
yang mengalami perkara-perkara jenayah tersebut.
Salah satu daripada kes-kes jenayah yang baru dilaporkan
ialah mengenai dengan pencurian yang berlaku dalam Masjid Nabi Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam di Madinah Al-Munawwarah dalam bulan Ramadhan 1434 Hijriyah yang lepas.
The Prophet’s
Mosque’s security force in Madinah arrested 24 pickpockets of eight
nationalities who stole from worshippers while praying inside the mosque.
The thieves were
arrested during Ramadan under a plan implemented by the police director of the
region, Brig. Gen. Saud bin Awad Al-Ahmadi. The plan involved deploying police
detectives inside the mosque and the courtyards surrounding it to prevent any
kind of pickpocketing activities.- Arab News 13 August 2013.
MAKKAH AL-MUKARRAMAH
DAN MADINAH AL-MUNAWWARAH DIJADIKAN KOTA PELANCONGAN.
Di samping itu yang ketara sekali, selepas menakluki dua tanah suci itu, kini Kerajaan Wahhabi
Saudi Arabia menjadikan kedua-dua tanah suci itu sebagai hak miliknya yang
mutlak hingga ke hari ini.
Sekarang ini semua kutipan hasil termasuk cukai-cukai masuk
ke tanah suci itu berjumlah berjuta-juta
Riyal setahun, daripada umat Islam yang datang menunaikan ibadat Haji dan
mengerjakan Umrah dijadikan milik kerajaan Wahhabi Saudi Arabia dan dikira
sebagai hasil pelancongan untuk negara Wahhabi Saudi Arabia semata-semata.
Kerajaan Wahhabi Saudi Arabia, dalam tahun 2013 berhasrat
menjadikan kota suci Makkah Al-Mukarramah pusat pelancongan dengan mengadakan
pusat membeli-belah yang terbesar di dunia sebagai tarikan pelancong ke Makkah
Al-Mukarramah.
Hasrat kerajaan Wahhabi Saudi Arabia itu tidak lain dan
tidak bukan, bertujuan melencongkan niat umat Islam daripada menunaikan Fardhu
Haji, mengerjakan Umrah dan lain-lain ibadat kepada melancong. Maka melancong ke Tanah Suci itu menjadi
keutamaan bagi sesetengah jemaah disamping mengerjakan ibadat Haji dan Umrah.
Na’uzubillahi min zalik - Kami berlindung dengan Allah
daripada perkara sedemikian.
MAKKAH AL-MUKARRAMAH
DAN MADINAH AL-MUNAWWARAH MILIK UMAT ISLAM SEDUNIA
Kedua-dua kota suci itu sebenarnya adalah kepunyaan umat
Islam sedunia untuk beribadat kepada Allah ‘Azza Wa Jalla, yang mana sepatutnya kedua-dua kota suci itu
dijaga dan dikawal selia secara bersama-sama dengan negara-negara umat Islam
lain mengikut peraturan yang ditetapkan bersama.
Hasil daripada kutipan-kutipan daripada umat Islam yang
datang mengerjakan ibadat Haji dan Umrah hendaklah disatukan dan diagihkan
semula sebagai ibadat kebajikan kepada umat Islam bagi meringankan beban
kewangan dan perbelanjaan mereka yang datang dari jauh dan dekat.
Hari Juma’at
23 Syawal 1434 Hijriyah
30 Ogos 2013