BEAUTY AS IT IS
RENDAH DIRI “INFERIORITY
COMPLEX”
Melihat kepada gambar-gambar model perempuan dari iklan-iklan
alat-alat solek kosmetik nampak cantik-cantik belaka. Cantiknya pula berlainan tentang bentuk rupa
paras; ada yang putih, ada pula yang
hitam, kebanyakan tinggi dan ramping tubuh badan sehingga susah hendak memilih
yang mana satu benar-benar cantik di antara mereka itu.
Begitu juga bagi model-model lelaki yang kacak; ada yang
hitam, ada yang putih dan potongan mukanya pula amat berlainan di antara satu
sama lain. Sasa bentuk badan juga
berlainan. Semuanya kacak, bergaya dan
menarik.
Susah hendak memilih lelaki yang mana satu yang amat kacak
dan perempuan yang mana satu amat cantik bila membuat bandingan kekacakan dan
kecantikan model-model lelaki dan perempuan itu.
Jika tidak dikawal perasaan diri sendiri, sudah tentu
seseorang itu akan merasa kekurangan pada diri sendiri dan merasai rendah diri
“inferiority complex”.
Perasaan kekurangan pada diri sendiri akan bertambah lagi bila
seseorang itu merasai dirinya tidak dilayan dan tidak dipuji dengan kata-kata
oleh rakan-rakan dan sahabat handai,
lebih-lebih lagi oleh orang-orang yang disayanginya atau orang-orang yang ada kaitan dalam hidupnya.
BERHIAS DIRI
Kebanyakan orang-orang perempuan yang dara remaja, yang muda
dan yang tua, yang bersuami dan yang janda, mereka amat sensitif dengan kecantikan dan perhiasan diri sendiri lebih
daripada lelaki.
Sesuai dengan sifat kewanitaannya, perempuan adalah seperti
bunga yang cantik dan harum untuk lelaki yang bergelar suami. Isteri adalah penyejuk mata dan penyegar hati
bila dipandang oleh suami sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis berikut:
Ibnu Jarir
meriwayatkan dari Abi Hurairah r.a., ia berkata bahawa Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Sebaik-baik wanita adalah yang apabila engkau
melihatnya, maka dia menyenangkan hatimu.
Apabila engkau memerintahnya, dia mentaatimu. Dan jika engkau tidak berada di sisinya, dia
menjagamu dengan menjaga dirinya dan hartamu.”
Maka tidaklah menjadi kesalahan bagi perempuan-perempuan
Islam menghias diri mereka sendiri untuk
menyenangkan hati dan menimbulkan berahi suami-suami mereka.
Meskipun begitu, terdapat sesetengah perempuan-perempuan
yang melakukan perkara-perkara yang menjangkaui batas-batas yang ditetapkan
oleh Islam, yakni mereka kurang berhias dan membersihkan diri dan pakaian
mereka untuk suami melihat dan menjamah, sebaliknya mereka bercita-cita dan
lebih suka berhias untuk dilihat dan disanjung oleh lelaki lain atau dipuji
oleh perempuan di luar rumah.
KERANA SEBIJI JERAWAT
Kebanyakan perempuan-perempuan akan berdiri di hadapan
cermin berkali-kali jika ia mendapat sesuatu yang baru untuk dipakai atau ia mendapati
di mukanya ada sebiji jerawat. Hatinya
mulai susah dan berdukacita dan tidak suka berjumpa dengan orang lagi.
Dengan adanya perasaan yang membawa kepada perasaan dukacita
dan malu kepada manusia apabila dirinya tidak seperti apa yang dikehendakinya,
maka ia membawa kepada kerunsingan dan kemurungan.
Seterusnya ada di antara mereka yang lupa atau kurang
mengingati Allah Ta’ala, sehingga ia membawa kepada buruk sangka terhadap Allah
Subhanahu Wa Ta’ala.
BAIK SANGKA
Dengan adanya perasaan kekurangan pada diri sendiri dan merasai
rendah diri “inferiority complex” itu, maka seseorang itu akan menjadi orang
yang buruk sangka terhadap Penciptanya iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Bagi lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan Islam wajib
berbaik sangka terhadap Allah Ta’ala berdasarkan Hadis tersebut dibawah ini.
Daripada Abi Hurairah katanya: “Telah bersabda Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Bahawasanya
Allah berfirman: “Aku (Allah) di sisi
sangka hambaKu denganKu dan Aku sertanya apabila minta ia padaKu.” Hasan,
Sahih
Allah Ta’ala akan menyeksa dan melaknatkan mereka yang bersangka
buruk terhadapNya, sepertimana tersebut dalam firmanNya dalam Surah Al-Fath, Ayat 6, maksudnya:
“Dan supaya Ia (Allah) menyeksa orang-orang
munafik - lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan,
yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk. Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang
dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain
itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka
neraka jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat
kembali.” Ayat 6
ANAK TIDAK DAPAT
MEMILIH
Sesetengah manusia lupa bahawa ia sendiri tidak ada kuasa membentuk
rupa paras mengikut kehendak hatinya sendiri.
Ia juga tidak dapat memilih ibu bapanya dari bangsa dan keturunan
mengikut kehendaknya yakni tidak dapat memilih untuk menjadi anak raja, anak
orang-orang bangsawan, anak orang-orang berstatus dalam masyarakat dunia atau anak
orang-orang yang memiliki harta yang banyak.
Begitu juga ibu bapa tidak dapat membentuk rupa anak-anak
mereka yang bakal dilahirkan sepertimana kehendak hati mereka dan apa yang
bakal menjadi kedudukan anak-anak mereka di dalam masyarakat yakni sama ada
anak-anak mereka apabila dewasa nanti menjadi orang-orang baik dan
soleh/solehah atau menjadi jahat dan dibenci masyarakat atau menjadi raja atau
pemimpin dan lain-lain lagi.
BERBAGAI BANGSA,
BAHASA DAN WARNA KULIT
Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Hujuraat, Ayat 13, maksudnya:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami (Allah) telah menjadikan kamu berbagai
bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”
Ayat 13
Manusia juga mempunyai berbagai-bagai bahasa tuturan dan
warna kulit sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Ar-Ruum, Ayat 22, maksudnya:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan
bahasa kamu dan warna kulit kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi
orang-orang yang berpengetahuan.” Ayat
22
Warna kulit anak-anak Adam adalah mengikut warna tanah yang
diciptakan Allah Ta’ala akan Nabi Adam ‘Alaihissalam.
Dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a., ia berkata: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda: “Sesungguhnya Allah
menciptakan Adam dari segenggam tanah yang di dalamnya terdapat beberapa unsur. Kemudian keturunannya menjadi beragam sesuai
dengan unsur tanahnya. Ada di antara
mereka yang berkulit merah, putih, hitam
dan antara warna-warna itu, ada yang lembut dan yang kasar, ada yang buruk dan
yang baik.” Sahih At-Tirmidzi
BERBEZA BENTUK DAN
RUPA PARAS
Allah Ta’ala menciptakan manusia dalam bentuk dan rupa paras
yang berbeza-beza mengikut lukisan yang dikehendakiNya, sepertimana firmanNya
dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 6, maksudnya:
“Dia(Allah)lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim
(ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya.
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia (Allah) Yang Maha Kuasa
lagi Maha Bijaksana.” Ayat 6
Walaupun kejadian manusia itu berbeza-beza dan berlainan
dari segi rupa bentuk, keturunan, bangsa dan tempat tinggal, manusia adalah
sama semasa dilahirkan ke dunia ini.
NILAI DI SISI ALLAH
TA’ALA
Namun begitu mereka tidak sama nilainya di sisi Allah Ta’ala
tentang hati mereka yang diberi untuk
memilih jalan-jalan ke akhirat. Ada di
antara manusia memilih iman dan taqwa dan ada yang memilih kesesatan sepertimana
tersebut dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah
Asy-Syams, Ayat 7, Ayat 8, Ayat 9 dan Ayat 10, maksudnya:
“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan
kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);” Ayat 7
“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan
yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;-” Ayat 8
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan
dirinya - yang sedia bersih -
bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),” Ayat 9
“Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia
bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran
maksiat).” Ayat 10
ALLAH MELIHAT TAQWA
Allah Ta’ala tidak melihat kepada rupa paras dan kedudukan
manusia di dalam dunia tetapi Allah Ta’ala melihat kepada hati orang-orang yang
bertaqwa, sepertimana tersebut dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-A’raaf, Ayat 26, maksudnya:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan
kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian
perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa
itulah yang sebaik-baiknya. Yang
demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada
hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” Ayat 26
Penampilan seseorang itu atau apa sahaja yang zahir pada
diri seseorang itu seperti kemewahan hidup, banyak harta benda, anak pinak
tanpa iman dan taqwa bukanlah perkara-perkara yang mendatangkan keredhaan Allah
Ta’ala.
Allah Ta’ala hanya dapat menerima amal baik hamba-Nya yang
dilakukannya dengan hati yang ikhlas, atau perbuatan baik yang diniatkan semata-mata
untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala dan untuk mendekatkan diri kepadaNya.
Bagi orang-orang Islam, apa pun jerih pedih dan keinginan
serta keindahan dunia yang dicari tanpa niat yang ikhlas kerana Allah Ta’ala
semata-mata, tidak ada harga di sisiNya seperti tersebut dalam Hadis berikut:
“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda: “Allah tidak melihat kepada
tubuh badan kamu, dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu. Allah hanya melihat kepada hati dan perbuatan
kamu.” Muslim
HASUTAN SYAITAN
Syaitan menghasut dan menakut-nakutkan manusia dengan
kefakiran dan kekurangan rupa paras dan lain-lain lagi, supaya manusia
bersangka buruk terhadap Allah Ta’ala dan menimbulkan rasa resah gelisah,
berdukacita sepanjang hidup mereka.
Kejadian yang berlaku ke atas Nabi Allah Adam ‘Alaihissalam
hendaklah dijadikan iktibar bahawa hasutan syaitan itu amat kuat sehingga Nabi Adam
‘Alaihissalam sendiri dapat dihasut oleh syaitan yang mengakibatkan Nabi Adam
‘Alaihissalam diturunkan dari syurga ke dunia.
Adalah lebih mudah bagi syaitan menghasut manusia, disapu,
dijamah dan dihias dengan nafsu-nafsu yang melupakan manusia itu hamba
Allah. Hamba abdi yang hina, yang
terikat dengan kehendak Tuhannya, Allah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikannya.
KEPUASAN HIDUP
Bagi manusia yang merasa tidak puas hati dengan kehidupannya,
walaupun ia memiliki harta yang banyak, memegang kuasa dan
sebagainya, akhirnya ia tetap akan mati dan berjumpa Allah Ta’ala.
Oleh itu, orang-orang Islam perlu menerima dan bersyukur
dengan apa sahaja keadaannya yang dikurniakan Allah Ta’ala di dunia ini sebagai
hadiah supaya ia akan dapat balik ke syurga dalam bentuk manusia yang sempurna
tubuh badannya dan sama umurnya. Ia
tidak lagi merasa susah, berdukacita, dan tidak ada lagi kata-kata nista
kecuali kata-kata yang menggembirakan dengan salam-salaman di antara satu sama
lain.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 25 dan Ayat 26, maksudnya:
“Mereka tidak akan mendengar di dalam syurga
itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa;-” Ayat 25
“Mereka hanya mendengar ucapan: ‘Selamat!
Selamat!’” Ayat 26
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Naba’, Ayat 35, maksudnya:
“Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu
perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta.” Ayat 35
Allah Ta’ala juga berfirman dalam Surah Al-Ghaasyiyah, Ayat 8,
Ayat 9, Ayat 10 dan Ayat 11, maksudnya:
“Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu
berseri-seri.” Ayat 8
“Berpuas hati dengan balasan amal usahanya
(yang baik, yang diusahakannya di dunia),”
Ayat 9
“(Mereka tinggal menetap) di dalam syurga yang
tinggi (tempat kedudukannya dan darjatnya),”
Ayat 10
“Mereka tidak mendengar di situ sebarang
perkataan yang sia-sia.” Ayat 11
Maka terimalah segala yang telah dikurniakan Allah Ta’ala
kerana tidak ada seorang manusia pun yang sempurna, sama ada ia dilihat lengkap
atau dilihat ada kekurangannya kerana manusia tetap tidak sempurna sebagaimana
yang disangkakan.
Hanya Allah ‘Azza Wajalla sahaja Yang Maha Sempurna.
Hari Jumaat
27 Rabi’ulAwwal 1434 Hijriyah
8 Februari 2013