MENGHINA ALLAH, RASULNYA DAN MALAIKATNYA
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 136 dan Ayat
137 maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan
RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya
(Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang
telah diturunkan dahulu daripada itu.
Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah,
dan Malaikat-malaikatNya dan
Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia
telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” Ayat 136
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman,
kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir
sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, (maka)
Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan
memberi pertunjuk HIDAYAH kepada mereka
ke jalan yang benar.” Ayat 137
Seseorang yang mengaku ia seorang Islam yang mengucap dua
Kalimah Syahadah, rosak pengakuan Syahadahnya, apabila ia menghina Allah Ta’ala
mengenai sifat-sifatNya dan mempermain-mainkan keimanannya iaitu ia sering tukar
imannya kepada kafir dan daripada kafir kepada beriman, dan daripada beriman
kepada kafir semula.
Dan, rosak pengakuan Syahadah mereka bagi orang-orang yang
menghina dan mencerca Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengenai apa
jua yang berkaitan dengan diri Baginda, sifat Baginda, pakaian Baginda,
kehidupan Baginda dan lain-lain lagi yang berhubung kait dengan Baginda
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, melalui percakapan atau tulisan atau tayangan gambar (filem) atau lukisan dan sebagainya.
Dan, seseorang itu bukan juga seorang yang beriman, jika ia
tidak beriman dengan Malaikat-malaikat dan menyamakan sifat-sifat Malaikat-malaikat
dengan syaitan la’natullah atau tidak beriman dengan kesemua atau salah satu
daripada enam Rukun Iman iaitu:
1 1. Iman
kepada Allah
2 2. Iman
kepada Malaikat-MalaikatNya
3 3. Iman
kepada Kitab-kitabNya
4 4. Iman
kepada Rasul-rasulNya
5 5. Iman
kepada Hari Akhirat
6 6. Iman
kepada Qada’ dan Qadar
Firman Allah Ta’ala dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 150 dan Ayat
151 yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar
kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan
iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang)
berkata: “Kami beriman kepada setengah
Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain,” serta bertujuan hendak mengambil jalan lain
antara iman dan kufur itu:” Ayat 150
“Mereka itulah orang-orang yang KAFIR dengan
sebenar-benarnya. Dan Kami (Allah) telah
menyediakan bagi orang-orang KAFIR itu azab siksa yang menghina.” Ayat 151
Justeru itu, orang yang mengaku ia seorang Islam atau orang
yang dilahirkan dalam Islam yang tidak beriman kesemua Rukun Iman atau salah
satu daripadanya seperti yang tersebut di atas, adalah nyata orang tersebut
orang yang sesat dan kafir sebagaimana terdapat dalam “Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian
Al-Quran” bagi menghuraikan firman Allah Ta’ala dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 150
dan Ayat 151, dengan mengkategorikan orang-orang kafir itu
terbahagi kepada tiga puak:
1 1. Puak yang pertama tidak beriman kepada Allah dan
Rasul-rasulNya seperti orang-orang Komunis, Atheis, dan lain-lainnya yang tidak
beragama.
2 2. Puak yang kedua pula beriman kepada Allah sahaja
dan tidak beriman kepada Rasul-rasulNya .
(Puak Anti Hadis yang menolak atau meragui
Hadis atau Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah diisytiharkan
sebagai sesat dan orang yang mengikut fahaman tersebut telah difatwakan sebagai
murtad, keluar dari Agama Islam yang suci.)
3 3. Puak yang ketiga pula beriman kepada setengah
Rasul-rasul Allah dan kufur kepada setengahnya yang lain, seperti kaum Yahudi
yang beriman kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam dan kufur ingkar kepada Nabi ‘Isa
‘Alaihissalam dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam; dan kaum Kristian (Nasrani) yang beriman kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan
Nabi Musa ‘Alaihissalam, tetapi TIDAK BERIMAN KEPADA NABI MUHAMMAD SALLALLAHU
‘ALAIHI WASALLAM.
Kesemua golongan itu adalah KAFIR BELAKA dan akan menerima
azab siksa neraka pada hari Akhirat kelak kerana umat manusia seluruhnya
diwajibkan beriman kepada Allah Ta’ala dan sekalian RasulNYa, mulai dari Nabi
Adam ‘Alaihissalam hingga kepada Nabi yang akhir sekali, iaitu Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Hari Jumaat
27 Syawal 1433 Hijriyah
14 September 2012
No comments:
Post a Comment