Bismillahirrahmaanirrahiim.
Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh, cucunda
yang dikasihi.
Cucunda,
Tidak lama lagi cucunda akan menduduki peperiksaan yang akan
membawa cucunda ke alam yang berbeza daripada alam persekolahan maka Tok Ayah
mengambil kesempatan ini untuk menulis sepucuk surat kepada cucunda.
Surat Tok Ayah ini agak panjang, jadi Tok Ayah harap cucunda
bersabar dan mengambil masa untuk membaca surat Tok Ayah ini.
Cucunda,
Semasa cucunda balik seketika dalam masa cuti hujung minggu kali
ini, banyak perkara yang dapat kita bincangkan.
Di antaranya mengenai peperiksaan dan pembelajaran, khususnya
peperiksaan dalam bulan November dan Disember ini.
Cucunda,
Hari dan bulan berjalan menjadi lebih cepat lagi apabila
seseorang itu belum sempat membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan; banyak topik dan mata pelajaran yang belum habis di menelaah
dan dibuat kajian.
Sekali sekala, cucunda nampak mengeluh kerana cemas. Cemas bukan kerana takut menghadapi
peperiksaan atau takut tidak berjaya.
Apa yang membuat cucunda menjadi cemas ialah takut tidak mendapat
“straight A’s” nanti, yakni mendapat
markah cemerlang dalam semua mata pelajaran.
Perasaan takut dan gerun itulah yang menjadi tekanan
perasaan (stres) yang membawa cucunda kepada lemah mengingati pelajaran-pelajaran
yang diulangkaji, sedangkan mengingati pelajaran-pelajaran itu adalah lebih
mustahak daripada mengingati kehendak orang lain yang mahu cucunda mendapat
kejayaan “straight A’s” bagi memenuhi kebanggaan ibu bapa, saudara mara,
guru–guru sekolah dan di samping itu dikatakan akan menaikkan nama atau
prestasi sekolah di mana cucunda belajar.
Cucunda,
Tok Ayah dapati sesetengah ibu bapa yang mahukan kejayaan
anak-anak mereka hanyalah untuk berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk di antara kalangan
mereka.
Jadi bagi sesetengah anak-anak, mereka akan merasai bahawa
mereka belajar bertungkus lumus untuk mendapat kejayaan “straight A’s” bukanlah
untuk diri mereka sendiri tetapi untuk ibu bapa mereka, atau untuk menunjuk-nunjuk
kepada saudara mara mereka, atau untuk guru-guru sekolah mereka atau untuk
menaikkan prestasi sekolah mereka.
Sekiranya anak-anak mereka itu tidak dapat mencapai apa yang
dikehendaki, sesetengah ibu bapa itu akan membebel dan menunjukkan reaksi yang kurang sihat terhadap anak-anak mereka.
Mereka juga akan membandingkan kebolehan anak-anak mereka dengan
anak-anak orang lain yang mendapat “straight A’s” dengan menunjukkan perasaan
yang kurang memuaskan yang menuju hala kepada perasaan mereka merasa malu
dengan keputusan peperiksaan anak-anak mereka yang tidak mendapat “straight
A’s”.
Ibu bapa-ibu bapa seperti ini sebenarnya lebih mementingkan
diri mereka sendiri kerana sibuk dengan urusan harian mengejar dunia mereka
sehingga mereka tidak ada masa untuk duduk bersama-sama dengan anak-anak mereka
sambil membimbing dan memberi sokongan agar anak-anak mereka berjaya dengan
cemerlang.
Cucunda,
Cucunda mempunyai jati
diri sendiri sebagai seorang yang beriman, bijak dunia dan akhirat, yang mana hanya
meletakkan dan bergantung segala harapan, kejayaan dan pujian tidak kepada yang
lain, hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Harus diingatkan bahawa
kejayaan cucunda dalam peperiksaan adalah terletak di atas bahu cucunda
sendiri. Barangsiapa yang berusaha kerana
Allah Ta’alaa, pasti ia dapat dengan izin Allah Ta’alaa kerana janji Allah
Subhanahu Wa Ta’alaa itu adalah benar.
Oleh itu, jangan sekali-kali cucunda meminta pertolongan daripada
manusia atau makhluk lain, kerana manusia itu sendiri lemah dan memerlukan
pertolongan, dan begitu juga sekalian makhluk-makhluk yang dijadikan Allah
Subhanahu Wa Ta’alaa tidak berkuasa menolong cucunda.
Cucunda,
Di antara sebab-sebab kesusahan yang mana menjadi kesusahan
hati seseorang itu yang amat sangat
adalah berpunca daripada seseorang itu mahu Allah Ta’alaa mengikut kehendak
nafsunya (nafsu seseorang itu), dan yang lebih jahat lagi bila seseorang itu
berdo’a meminta dengan penuh perasaan bahawa ia berhak atas permintaannya itu.
Cucunda,
Janganlah berputus asa dan mendakwa Allah Ta’alaa kerana
lambat permintaan do’a dimakbulkan, tetapi hendaklah cucunda memperbetulkan
diri cucunda sendiri supaya tidak melambat-lambatkan atau melengah-lengahkan apabila
melaksanakan kewajiban-kewajiban cucunda terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’alaa.
Di sini Tok Ayah salinkan sedikit kata-kata indah dari kitab
Al-Hakam yang berbunyi:
“Janganlah merasa
lambat pemberian Allah Ta’alaa kepadamu, pada hal engkau telah bersungguh
berdo’a kepadaNya sehingga menyebab putus dan patah harapan sebab Allah Ta’alaa
menjamin menerima semua do’a dalam apa jua yang Ia (Allah) kehendaki untukmu,
bukan menurut kehendakmu, dan pada waktu yang ditentukanNya, bukan waktu yang
engkau tentukan.”
Dan, orang yang beriman mempercayai bahawa apa yang diberi
Allah Ta’alaa itulah yang terbaik baginya, meskipun ianya tidak bersesuaian
dengan kemahuan dan kehendak nafsunya.
Cucunda,
Akhir sekali, cucunda ambillah ingatan bahawa Allah
Subhanahu Wa Ta’alaa memerintahkan hambanya supaya berusaha menuntut harta
kekayaan di dunia ini sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Qasas, Ayat 77, maksudnya:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu akan pahala
dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu
(keperluan dan bekalanmu) dari dunia;…”
Ingatlah, bila cucunda berjaya dalam kehidupan di dunia ini
bahawa semuanya itu datangnya dari Allah Subhanahu Wa Ta’alaa. Oleh itu cucunda wajib berbuat baik kepada
Allah Subhanahu Wa Ta’alaa sebagaimana Allah Subhanahu Wa Ta’alaa telah berbuat
baik kepada cucunda, maka patuhlah akan firman Allah Ta’alaa dalam Surah Al-Qasas, Ayat 77, maksudnya:
“Dan berbuat baiklah kepada Allah sebagaimana
Allah berbuat baik kepadamu (dengan
pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah);
dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan.” Ayat
77
Cucunda,
Semoga Allah Ta’alaa memberi hidayah pertunjuk kepada cucunda
dan cucunda berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan datang ini,
InsyaAllah.
Tok Ayahmu
Hari Jumaat
5 Dzulka’edah 1433 Hijriyah
21 September 2012
No comments:
Post a Comment