JENIS-JENIS ULAMA’
Jika mana-mana negara mempunyai ramai ulama’ yang soleh,
maka itu adalah suatu anugerah Allah Ta’ala, kerana pada akhir zaman, ulama’-ulama’
soleh yang benar akan hilang dan ilmu Agama Islam akan hapus sehingga bila ada orang
bertanyakan sesuatu hukum Allah, tiada sesiapa
yang dapat memberikan jawabannya.
Oleh itu bila Malaysia muncul dengan ramai ulama’nya, maka
ia memberi gambaran bahawa perkara ini kononnya baik.
Namun begitu bila diperhatikan dengan teliti, terdapat beberapa
jenis ulama’. Di antara mereka itu, ada
yang bertaraf ulama’ soleh yang benar lagi pengamal, dan sesetengahnya terdiri
daripada ulama’ gelaran, ulama’ jolokan yang boleh disenaraikan di antara
mereka itu kepada beberapa jenis, golongan dan puak.
Misalannya:
1.
Ulama’ Ahlissunnah WalJama’ah
2.
Ulama’ bebas yang mengajar agama secara sendirian
dari awal
3.
Ulama’ bebas yang mengajar agama selepas pencen
dari jawatan kerajaan
4.
Ulama’ dalam Parti Islam SeMalaysia (Ulama’ PAS)
5.
Ulama’ dalam Parti Pertubuhan Melayu Kebangsaan (Ulama’
UMNO)
6.
Ulama’ Mazhab Wahhabi {Muhammad ibn Abdul Wahhab
(1115-1206H/1703-1792H) atau disebut juga ulama’-ulama’ itu dengan
jenama-jenama: Mazhab Salaf, Salafiyah, Ansar al-Sunnah, Ittiba’ al-Sunnah,
Golongan Tajdid, Kaum Muda, Golongan Islah, Muslim Progresif dan lain-lain.}
7.
Ulama’ dari gerakan Ahmadiyah “Qadyani”
8.
Ulama’ dari puak Anti Hadis (menolak, meragui
Hadis atau Assunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai sumber
kedua syari’at Islam selepas Al-Quran),
9.
Dan lain-lain lagi orang-orang yang mengaku atau
yang diberi jolok-jolokan gelaran ulama’.
Sesetengah ulama’-ulama’ yang tersebut di atas menjawat
berbagai-bagai jawatan dalam pentadbiran kerajaan, badan kehakiman,
institusi-institusi pendidikan, pentadbiran-pentadbiran agama Islam, pertubuhan-pertubuhan media
massa, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain.
Dengan ramainya orang-orang yang diberi gelaran ulama’
sekarang ini, maka ramailah pula rakyat Malaysia akan menjadi celaru dengan
bawaan fahaman masing-masing ulama’ yang mana ianya menjuruskan kepada banyak
cabang perpecahan di dalam Islam di Malaysia.
Lebih-lebih lagi, dalam zaman teknologi maklumat tanpa
sempadan sekarang ini, maklumat-maklumat dan dakyah-dakyah agama boleh
disebarkan dengan cepat dan meluas.
FATWA DAN PANDANGAN
Perpecahan tersebut sememangnya berlaku kerana tiap-tiap
ulama’ itu sama ada ia seorang ulama’ soleh yang mengamal, atau ulama’ suu’
“ulama’ jahat” (ulama’ jahat ialah ulama’-ulama’ yang mencintai dan mengejar
dunia semata-semata, atau ulama’ upahan, atau ulama’ yang menjual agama kerana
dunia), masing-masing ada ramai yang mengikuti bawaan, ajaran dan fahaman
mereka itu.
Oleh itu orang-orang Melayu Islam di Malaysia khususnya,
tidak dapat lari dari fenomena perpecahan fahaman mengenai Islam termasuk
perbezaan fatwa yang dikeluarkan oleh tiap-tiap puak ulama’ dan masing-masing mempertahankan
pendapat puaknya tanpa mahu balik kepada persepakatan dan bermusyawarah
berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Malaysia mempunyai 14 buah negeri yang masing-masing
mempunyai 14 Jawatankuasa-jawatankuasa Fatwa Negeri dan 1
Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.
Adakala, didapati ada perbezaan fatwa di antara satu negeri
dengan negeri yang lain, dan percanggahan pendapat secara peribadi di antara
orang-orang perseorangan yang diberi gelaran ahli-ahli agama; di antara contoh-contohnya adalah seperti
tersebut:
· 1. Majlis Fatwa Negeri Perlis mengeluarkan di antara Fatwa-fatwanya ialah
mengharamkan bacaan Qunut solat subuh di masjid-masjid, sedangkan bagi
negeri-negeri lain dibolehkan bacaan Qunut.
· 2. Pada tahun 2011, terdapat perbezaan Fatwa di
antara Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Fatwa Kebangaan mengenai dengan
TARIAN POCO-POCO. Tarian POCO-POCO ini
asalnya adalah suatu tarian agama di mana lelaki dan perempuan menari
bersama-sama.
· 3. Dan lain-lain lagi.
BUIH DI LAUTAN
Fenomena ketidak sepakatan dalam hal-hal agama Islam di
Malaysia ini menjadikan retak-retak perpecahan yang sedia ada semakin membesar
di antara orang-orang Melayu Islam.
Perpecahan-perpecahan itu juga membawa kepada ketidak
seragaman hukum hakam atau perundangan Islam di mahkamah syari’ah di Malaysia,
dan keputusan penghakimannya pula dipertikaikan di luar mahkamah melalui media
massa-media massa oleh orang-orang yang tidak mempunyai kewibawaan, seperti
dalam kes
Kartika Sari Dewi Shukarno (Tahun 2008 – 2010), telah
didapati bersalah kerana minum arak dan telah dijatuhkan hukuman sebat.
Seorang individu, bekas mufti telah menyuarakan pendapatnya
selepas penghakiman itu dijatuhkan, maka pendapatnya itu telah dibuat tafsiran
oleh sesetengah masyarakat, sama ada pro atau kontra, sehingga hukuman sebat
itu disemak semula.
Perpecahan demi perpecahan, akhirnya umat Islam sekarang ini
hanya menjadi seperti buih air di lautan yang mana dengan mudah, boleh
dikincah-kincahkan, hancur, hanyut dipukul ombak dan dibawa dengan tidak
menentu arah tujunya oleh arus yang ganas.
Buih-buih yang kecil dan lemah itu pula akan tenggelam bersebati dalam
arus gaya kehidupan kafir, kecuali hanya golongan yang sedikit sahaja.
WALLAHU A’LAMU BISSAWAB
Hari Jumaat
12 Zulkaedah 1433 Hijriyah
28 September 2012