TADIKA CINA
Bagi ibu bapa yang menghantar atau yang pernah menghantar
anak-anak mereka ke TADIKA Cina, mereka tahu bahawa di sana anak-anak mereka
diajar bahasa Cina melalui nyanyian yang diikuti dengan muzik atau lakonan atau
mengikut rentak bunyian “ketuk-ketuk” di atas alat-alat ketuk tertentu.
Kanak-kanak ini akan menyebut perkataan-perkataan yang
disusun mengikut rentak muzik atau rentak bunyian “ketuk-ketuk” itu.
Kanak-kanak ini juga bergerak menggaya dengan tangan,
bertepuk-tepuk sambil menggoyang-goyangkan tangan, kaki dan badan mereka. Dikatakan bahawa tujuan membuat sedemikian
rupa ialah supaya kanak-kanak tersebut menjadi cergas dan minat untuk belajar.
BELAJAR BACA MELALUI
“KETUK-KETUK”
Kebelakangan ini terdapat kaedah-kaedah sesetengah orang
yang mengajar bacaan Al-Quran Al-Kariim yang disiarkan melalui saluran-saluran
televisyen, yang dibawa oleh guru-guru lelaki atau perempuan adalah tidak jauh bezanya dengan cara mendidik dan
mengajar di TADIKA-TADIKA Cina, Inggeris atau lain-lain bangsa bukan
Islam.
Di samping mengajar Al-Quran Al-Kariim, guru-guru akan
bercakap serta membuat gurau-gurauan dengan membawa cerita-cerita. Ianya dilakukan semasa Mus-haf Al-Quran
Al-Kariim sedang terbuka padahal cerita-cerita atau perbuatan tersebut boleh
dibuat di luar masa mengaji Al-Quran Al-Kariim.
Jika kanak-kanak di TADIKA Cina, Inggeris dan lain-lain bangsa
bukan Islam mengadakan muzik dan alat “ketuk-ketuk”
untuk dijadikan rentak bagi kanak-kanak tersebut menyebut perkataan yang
diajar, maka sekarang ini terdapat suatu kaedah yang diketengahkan oleh
segolongan guru-guru yang mengajar Al-Quran Al-Kariim menggunakan rentak bunyi
“ketuk-ketuk”. Ianya diatur dan disusun supaya kanak-kanak belajar dan menyebut
Kalimah-kalimah atau Huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim selari dengan bunyi “ketuk-ketuk” itu.
Adalah dilihat disini, kelas-kelas belajar Al-Quran
Al-Kariim seolah-olah kelas-kelas muzik,
kelas lakonan lawak atau kelas-kelas bercerita di hadapan Al-Quran Al-Kariim
yang mulia, walaupun cerita-cerita itu mungkin ada kaitan dengan kisah-kisah
benar dalam sejarah Islam.
Jika kaedah dan cara mengajar Al-Quran Al-Kariim itu sudah dimulakan orang
dengan bercerita atau menggunakan alat “ketuk-ketuk”, maka tidak mustahil pada
suatu masa nanti, ada guru-guru yang terpedaya dengan hasutan syaitan, melihat
baik dan berkesan dengan menggunakan alat-alat “key-board”, piano, gitar, dan
lain-lain alat muzik yang dibunyikan untuk kanak-kanak mengikuti rentaknya bila
menyebut huruf-huruf atau makhraj atau idh-gham atau ikhfaa’ atau mad dan
lain-lain hukum-hukum Tajwid.
Perbuatan-perbuatan seumpama itu adalah jelas menunjukkan
bahawa guru-guru tersebut telah diperdaya dan ditipu syaitan melakukan
perbuatan-perbuatan yang hodoh dan biadap serta tidak sopan terhadap Kalimah-kalimah
Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak menghormati kesucian Al-Quran Al-Kariim
yang mulia itu.
Perubahan kaedah dan cara belajar bukanlah tidak boleh dilakukan,
akan tetapi apa-apa perubahan kaedah dan cara mengajar Al-Quran Al-Kariim
hendaklah sesuai dan sejajar dengan kaedah-kaedah yang dibawa dan diamalkan
oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat-sahabat Baginda radhiallahu
‘anhum dan para-para ’Ulamaa’ yang mu’tabar.
BELAJAR MENGAJI
Bila disebut “belajar mengaji”, kebanyakkan orang-orang
Melayu khususnya di Tanah Melayu ini faham bahawa kanak-kanak atau orang dewasa
mengikuti pelajaran membaca Al-Quran Al-Kariim di masjid, surau atau dengan
orang-orang perseorangan di rumah masing-masing.
Cara mengajar Al-Quran Al-Kariim itu mengikut kebolehan
kanak-kanak yang membacanya dan mereka
ditempatkan dalam satu ruang atau tempat yang sama walaupun mereka itu berbeza
umur atau berbeza bacaan surahnya.
Mana-mana kanak-kanak yang cepat membaca Al-Quran Al-Kariim
dengan lancar, mereka akan diubah bacaannya ke surah yang baru. Adapun bagi kanak-kanak yang kurang lancar
bacaannya, mereka akan diubah ke surah
yang baru selepas mereka benar-benar lancar dan fasih bacaan mereka.
Cara atau kaedah tersebut adalah sesuai dengan fitrah dan
tabi’e pertumbuhan minda dan fizikal manusia yang ditakdirkan Allah Ta’ala Yang
Maha Pencipta dan Maha Bijaksana ke atas hambaNya mengikut kemampuan
masing-masing.
Guru-guru Al-Quran itu pula senantiasa menjaga akhlak dan
adab-adab ketika sedang mengajar atau mengadap Al-Quran Al-Kariim bagi
menghormati Kalimah-kalimah Allah Tuhan Yang Maha Agong dan Maha Tinggi, Tuhan
sekalian ‘alam (jinn dan manusia).
MENJAGA KEMULIAAN AL-QURAN AL-KARIIM
BERSIH SUCI
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 77 hingga Ayat 80, maksudnya:
“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada
kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan
pimpinan),” Ayat 77
“Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,” Ayat 78
“Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;” Ayat 79
“Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan
sekalian alam.” Ayat 80
MEMOHON PERLINDUNGAN
KEPADA ALLAH
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nahl, Ayat 98, maksudnya:
“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran,
maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan
syaitan yang kena rejam.” Ayat 98
BACAAN AL-QURAN
DENGAN TARTIIL
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Furqaan, Ayat 32, maksudnya:
“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa
tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad - semuanya sekali (dengan sekali
gus)?” Al-Quran diturunkan dengan cara
(beransur-ansur) itu kerana Kami (Allah) hendak menetapkan hatimu (wahai
Muhammad) dengannya, dan Kami (Allah) nyatakan bacaannya kepadamu dengan “Tartiil”
(yakni dengan bacaan yang sempurna dan lengkap menurut hukum Tajwid).” Ayat 32
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Muzzammil, Ayat 4, maksudnya:
“Dan bacalah Al-Quran dengan “Tartiil”. Ayat 4
MEMAHAMI AL-QURAN
DENGAN TELITI
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Saad, Ayat 29, maksudnya:
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami (Allah)
turunkan kepadamu (dan umatmu, wahai Muhammad), - Kitab yang banyak
faedah-faedah dan manfa’atnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya,
dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil i’tibar.” Ayat 29
MENGGANGGU DENGAN
NYANYIAN DAN TEPUK SORAK
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Fussilat, Ayat 26, maksudnya:
“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah
kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan
jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu
bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya).”
Ayat 26
Wallahu A’lamu Bissawaab.
Hari Jumaat
3 Ramadhan 1434 Hijriyah
12 Julai 2013
No comments:
Post a Comment