Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Anbiyaa’, Ayat 91, maksudnya:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang
telah menjaga kehormatan dan kesuciannya.” Ayat 91 - Yang
dimaksud dengan itu ialah Maryam anak perempuan ‘Imraan.
Ibunya ketika mendapati dirinya mengandung, bernazar apabila
anaknya lahir, akan diserahkan menjadi penyelenggara Baitul Maqdis, agar
kehidupan keluarganya terus berada dalam agama Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 35, Ayat 36 dan Ayat 37, maksudnya:
“(Ingatlah) ketika isteri ‘Imraan berkata:
“Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku
sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu
semata-mata), maka terimalah nazarku;
sesungguhnya Engkaulah (Allah) Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.” Ayat 35
“Maka apabila ia melahirkannya berkatalah ia:
“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang
yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan
apa yang dilahirkannya itu, - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak
perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku perlindungkan
dia dengan peliharaanMu (Allah), demikian juga zuriyat keturunannya, dari
godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).” Ayat 36
“Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya)
diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan
didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakariya. Tiap-tiap kali Nabi Zakariya masuk untuk
menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa)
disisinya (Maryam). Nabi Zakariya
bertanya: “Wahai Maryam! Dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab: “Ialah dari Allah, sesungguhnya
Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak
dikira.” Ayat 37
Sebagaimana tersebut dalam Ayat-ayat di atas, maka lahirlah
anak itu setelah genap bulannya.
Ternyata bahawa anak itu perempuan.
Tentu yang diharapkannya anak laki-laki sebab penyelenggara rumah suci
Baitul Maqdis adalah orang lelaki belaka.
Namun begitu, nazarnya diteruskan juga dan ia (ibu Maryam)
berdoa kepada Allah agar anaknya dilindungi. Dan kelak keturunannya dilindungi
Allah dari segala tipu daya dan pengaruh syaitan yang terkutuk.
Anaknya dihantar ke rumah suci Baitul Maqdis yang
kebetulannya di bawah penyelenggaraan
Nabi Zakariya ‘Alaihissalam, suami saudara perempuan kepada ibu Maryam.
Maka Maryam anak perempuan ‘Imraan, sejak dari kecilnya
dalam asuhan Nabi Zakariya ‘Alaihissalam yang menjadi Imam dan pemelihara Baitul
Maqdis.
Justeru itu, pengasuhan dan didikan Sayidatina Maryam yang
suci itu di bawah jagaan Nabi Zakariya ‘Alaihissalam terjamin keselamatan dan
pertumbuhan rohani dan jasmaninya.
Oleh kerana ibu Maryam seorang perempuan yang solehah dan
Nabi Zakariya ‘Alaihissalam pendidik Sayidatina Maryam seorang Nabi yang utama,
maka masuklah ke dalam diri Sayidatina Maryam didikan agama yang mendalam.
‘Imraan ayah Sayidatina Maryam adalah keturunan Nabi Daud
‘Alaihissalam sebab itu boleh dikatakan keluarga ini seluruhnya keluarga
beragama.
Keluarga Nabi Zakariya ‘Alaihissalam dan anakandanya Nabi
Yahya ‘Alaihissalam, keluarga ‘Imraan, isterinya dan anakandanya Sayidatina
Maryam terkenal sebagai keluarga beragama yang ta’at.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 33 dan Ayat 34, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam,
dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga ‘Imraan, melebihi segala
umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).” Ayat 33
“(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan
(zuriyat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah senantiasa Mendengar,
lagi senantiasa Mengetahui.” Ayat
34
Hari Juma’at
17 Ramadhan 1434 Hijriyah
26 Julai 2013