3 Zulhijjah 1433 Hijriyah
Rumah “NOSO” Bunga Tanjung
Taman KKB Utama
Selangor Darul Ehsan.
BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Adinda Sayang Baiduri,
Adinda,
Walaupun pertunangan
kita telah dipersetujui oleh kedua pihak ibu bapa kita , masih ada banyak
perkara batasan-batasan yang perlu kita jagai.
Kita tidak boleh berjumpa kecuali bila ada ibu bapa atau
mahram bersama-sama. Itu pun adinda
tidak boleh membuka hijab di hadapan kekanda.
Adinda,
Sungguhpun kita tahu batasan-batasan itu tetapi mata mahu
juga melihat kecantikan rupa paras
adinda.
Nafsu untuk melihat dan merasai tubuh badan adinda tidak dapat disembunyikan, jika tidak
mengingati dosa-dosa dan azab yang akan dikenakan kerana melanggar perintah
Allah Ta’ala bahawa seseorang lelaki dan perempuan yang beriman yang mana
mereka bukan mahram tidak boleh melihat pada bahagian tertentu dan menyentuhnya
sehingga mereka dihalalkan melalui perkahwinan.
Adinda,
Kekanda sedar semua hal-hal tersebut tetapi perasaan kekanda
ini meronta-ronta dan mendesak supaya kekanda dapat berjumpa selalu dan
berbual-bual panjang mengenai masa hadapan kita.
Namun kekanda tidak dapat melakukannya kerana setiap kali kekanda
berkunjung ke rumah adinda, ibu bapa dan lain-lain orang dalam keluarga adinda
senantiasa duduk bersama-sama.
Sungguhpun begitu, kekanda merasa senang setiap kali kekanda
dapat menziarah keluarga adinda di mana adinda juga ada bersama-sama mereka.
Adinda,
Kekanda tertanya-tanya diri sendiri mengenai perasaan yang
tumbuh dalam dada kekanda, yang selalu bermain-main dalam kepala kekanda
mengingati adinda saban masa, adakah itu adalah cinta.
Apakah perasaan itu sama dengan perasaan cinta yang disebut
sebagai cinta yang dialami oleh Shah Jahan terhadap Mumtaz Mahal sehingga
membawa kepada pembinaan sebuah bangunan terindah yang diberi nama Taj Mahal
sebagai tanda cintanya?
Adinda,
Setelah 12 tahun pernikahan kita, kekanda rasa begitu cepat
sekali masa berlalu. Allah Ta’ala telah
mengurniakan kita empat orang anak.
Anak-anak kita itulah yang
menghiasi kehidupan keluarga kita.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 46, maksudnya:
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah
perhiasan hidup di dunia.” Ayat
46
Mengharungi hidup selama ini, banyak perkara yang kekanda
belajar sepanjang perkongsian hidup kita bersama. Susah payah dan sakit demam diri kita dan
anak-anak, kita tempuhi dan lalui dengan penuh kesabaran kerana mengambil guna
firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Balad,
Ayat 4, maksudnya:
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan
manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani
(fizikal) dan rohani (mental) nya).” Ayat 4
Tahun hadapan 2013, Arif
anak kita akan mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR), itu pun jika sistem peperiksaan itu masih dijalankan. Terdengar ura-ura kerajaan akan memansuhkan
ujian tersebut pada masa akan datang.
Sistem pelajaran di Malaysia ini kerap berubah-ubah. Bila ada pertukaran portfolio Menteri
Pendidikan dan Pelajaran, maka ada pula sistem-sistem pembelajaran baru
diperkenalkan.
Walau apapun, kekanda berasa bertuah kerana adinda
menjalankan tanggungjawab sebagai isteri
sepenuh masa yang mana dapat menjaga makan minum kekanda dengan sempurna dan
mengasuh, mendidik dan mengajar Al-Quran, Fardu ‘Ain serta menjadi tutor
pelajaran sekolah kepada anak-anak di rumah.
Melihat keadaan urusan rumah yang begitu banyak dilakukan
oleh adinda setiap hari siang dan malam, kekanda telah menyuarakan kepada
adinda untuk mendapatkan seorang pembantu rumah.
Adinda tidak bersetuju dengan cadangan kekanda itu kerana
adinda berpendapat bahawa mengambil seorang pembantu rumah akan menambah satu
lagi tanggung jawab “welfare” ke atasnya; sakit demam, makan minum, bilik tidur
dan lain-lain keperluan pembantu rumah itu harus ditanggung. Adinda juga berpendapat bahawa kebebasan pergerakan kekanda di dalam rumah
akan menjadi sempit dan terbatas serta terhad pergerakan kekanda.
Akan terhad cara pakaian, gerak geri, tutur kata, senda
gurau dan lain-lain hal atau perkara yang tidak dapat dijangka, kerana pembantu
rumah tersebut bukan mahram. Di samping itu, kita tidak kenal akhlak,
latar belakang, bawaan diri pembantu rumah itu yang sebenar.
Kekanda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar
Allah Ta’ala memberi ganjaran yang sebaik-baiknya kepada adinda.
Adinda,
Memandangkan tanggungjawab adinda terhadap keluarga amat
besar tanpa adinda mengira penat lelah, maka semakin membesar perasaan cinta
kekanda terhadap adinda. Kekanda yakin
bahawa cinta kekanda yang mendalam tumbuh sebenarnya selepas pernikahan bukan
sebelumnya, bagai kata peribahasa Melayu: “Tak kenal maka tak cinta” maksudnya
bila sudah kenal maka hebat cintanya.
Adinda,
Pada mulanya, ketika umur kekanda masih muda ketika adinda
diperkenalkan dan ibu bapa kekanda masuk meminang adinda, kekanda berkenan
kepada adinda dan berbuak perasaan itu dalam lubuk sanubari kekanda.
Kekanda mengambil perasaan itu sebagai cinta yang
tergila-gila sepertimana kisah cinta dalam cerita “Laila WalMajnuun”, atau
“Romeo and Juliet”.
Kini baru kekanda sedar bahawa perasaan yang melonjak-lonjak
sampai tidur tak lena, makan tak kenyang , mandi tak basah kerana mengingati
adinda itu adalah sebenarnya godaan dan hiasan syaitan laknatullah menarik
manusia ke jalan maksiat dan perzinaan; zina mata, zina hati sepertimana
tersebut dalam sebuah Hadis:
“Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dari Nabi
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sabda Baginda: “Nasib anak Adam mengenai zina
telah ditetapkan. Tidak mustahil dia
pernah melakukannya. Dua mata, zinanya
memandang. Dua telinga, zinanya
mendengar. Lidah, zinanya berkata.
Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya
melangkah. Hati, zinanya ingin dan
rindu, sedang faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.” Sahih Muslim.
Adinda,
Alhamdulillah, Allah Yang Maha Bijaksana telah menyelamatkan kekanda daripada hasutan dan
tarikan syaitan perasaan hawa nafsu syahwat kekanda ketika itu.
Adinda,
Adinda tentu tidak tahu mengapa kekanda memilih adinda
sebagai bakal isteri kekanda.
Kekanda memilih adinda yang pertama sekali ialah mengikut
perintah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seperti tersebut dalam sebuah
Hadis berikut :
“Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam,
mafhumnya: “Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang sudah mampu
untuk bernikah, maka hendaklah ia menikah. Dan barangsiapa yang belum mampu,
maka hendaklah ia berpuasa, kerana
baginya puasa itu merupakan penekan (nafsu syahwat).”
Sebab yang kedua, pada pandangan mata dan mata hati kekanda,
kekanda memilih adinda bukanlah kerana rupa paras, keturunan dan harta,
walaupun ketiga-tiga itu perlu juga dilihat sebagai pertimbangan tetapi bagi
kekanda, pilihan yang tertinggi nilainya ialah pembawaan Agama Islam.
Pada pandangan kekanda dan daripada cerita-cerita yang
disebutkan oleh kedua ibu bapa kekanda sendiri, budi pekerti dan akhlak yang
solehah menjadi amalan dan bawaan adinda.
Kekanda perhatikan bahawa jika kecantikan sahaja menjadi
pilihan, maka kecantikan itu tidak lama bertahan; kecantikan di waktu muda akan
berubah bila umur seseorang itu meningkat atau atas sebab-sebab penyakit atau
kemalangan.
Harta pula tidak menjaminkan kebahagiaan yang kekal kerana
harta, seseorang itu akan bergaduh dan berebut-rebut selain daripada harta itu
akan habis pada bila-bila masa sahaja disebabkan bala bencana atau malapetaka
yang menimpa dan sebagainya.
Keturunan pula tidak
menjamin seseorang itu selamat daripada seksa azab Allah Ta’ala jika keturunan
tersebut kufur dan ingkar terhadap segala perintah Allah Subhanahu Wa
Ta’ala.
Ketiga-tiga perkara tersebut dikurniakan Allah Ta’ala kepada
manusia. Tanpa rahmatNya, manusia tidak
ada sesuatu pun yang dimilikinya sepertimana ia lahir ke dunia ini bertelanjang
bogel dan tidak tahu apa-apa.
Adinda,
Allah Ta’ala mengajar manusia membaca dan menulis, maka
Agama Islam mengesakan Allah yang menciptakan manusia dari diri yang satu iaitu
Nabi Adam ‘Alaihissalam.
Maka setiap mukmin dan mukminah dituntut belajar ilmu Allah
yakni ilmu dunia untuk kehidupan dunia dan ilmu Agama untuk kehidupan di
akhirat.
Agama Islam itulah yang akan membawa seseorang itu kepada
bahagia di dunia dan di akhirat.
Dimaksudkan “orang yang celaka” dan “orang yang bahagia” sebenarnya
ialah orang yang celaka dan orang yang bahagia di akhirat kelak.
Firman Allah Ta’ala dalam Surah Hud, Ayat 105, Ayat 106, Ayat 107 dan Ayat 108, maksudnya:
“(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu),
tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon
pertolongan) melainkan dengan izin Allah.
Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang bahagia.” Ayat 105
“Adapun orang-orang yang celaka, maka di dalam
nerakalah tempatnya. Bagi mereka di
situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara
keldai).” Ayat 106
“Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan
bumi (yakni langit dan bumi di akhirat kerana langit dan bumi dunia ini telah
tiada lagi), kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan
apa yang dikehendakiNya.” Ayat
107
“Adapun orang-orang yang bahagia, maka di dalam
syurgalah tempatnya. Mereka kekal di
dalamnya selagi ada langit dan bumi (pada hari akhirat), kecuali apa yang
dikehendaki oleh Tuhanmu, sebagai pemberian nikmat yang tidak
putus-putus.” Ayat 108
Orang-orang yang mendapat bahagia di akhirat akan memasuki
syurga bersama-sama ibu bapa mereka, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka,
sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah
Ar-Ra’d, Ayat 23 dan Ayat 24, maksudnya:
“Syurga yang kekal, yang mereka akan
memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa
mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk
kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” Ayat
23
“(Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan,
disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah
baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”
Ayat 24
Semoga Allah Ta’ala menganugerahkan keberkatan dan rahmatNya
kepada kita dan keluarga kita. Amiin.
Kekandamu
Amir Walii
Hari Jumaat
3 Zulhijjah 1433 Hijriyah
19 Oktober 2012
No comments:
Post a Comment