SALAH GUNA PERKATAAN
Dalam perbualan harian, ramai di kalangan orang-orang Melayu
menyebut perkataan “Nawaitu” yang
dimaksudkan “niat”. Biasanya
mereka itu menyebut ungkapan: “Walaupun apa yang kita buat biarlah nawaitu itu
baik,” yang mana dimaksudkan bahawa walau apapun perbuatan yang dilakukan,
niatnya hendaklah baik.
Kadang-kadang mereka tidak menggunakan “nawaitu” yang baik
itu pada tempat atau atas perkara yang baik.
Di antara misalannya:
· . Ada orang berkata bahawa perempuan tidak perlu
menutup aurat, cukup dengan pakaian biasa sahaja kerana Allah tidak melihat
pada pakaian, tetapi Allah melihat niat baik hatinya, maksudnya “nawaitu baik”.
Kata-kata sebegini adalah semata-mata untuk
memperkuatkan tarikan rangsangannya ke atas orang-orang perempuan jahil agar
mereka dengan sepenuh hati dapat menerima kata-kata itu sesuai dengan niat
mereka yang sememangnya mahu memakai pakaian yang tidak menutup aurat, bak kata
peribahasa Melayu: “Orang mengantuk disurung bantal”.
· . Kebanyakan lelaki dan perempuan sama ada yang
bertunang atau yang belum, bila mereka
membuat temu janji atau perjumpaan
berdua-duaan tanpa mahram, mereka akan mengatakan : “Kita hanya berjumpa dengan niat “nawaiatu” yang
baik. Kita tidak membuat apa-apa yang
salah.” Sedangkan pada segi hukum mereka
melakukan maksiat duduk berdua-duaan tanpa mahram.
LETAKNYA NIAT YANG
BAIK
Islam memberi penghargaan yang tinggi terhadap niat
“nawaitu” seseorang yang baik dan tulus ikhlas sepertimana tersebut dalam
sebuah Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda bersabda:
“Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada
niatnya, dan setiap orang mendapatkan apa yang diniatkannya itu.”
Niat “nawaitu” yang baik boleh merubah perilaku sosial dan
adat menjadi amal soleh dan ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa.
Mereka yang menikmati makanannya yang halal dengan niat “nawaitu”
agar boleh bertahan hidup dan badannya kuat untuk melakukan ibadat kepada
Allah, maka perbuatan makan tersebut akan dianggap sebagai ibadat dan dapat
mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa.
Dalam Hadis lain, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda:
“Sesiapa yang mencari harta yang halal kerana
ingin menjaga diri daripada mengemis, melakukan usaha untuk keluarga dan menderma
untuk jiran tetangga, maka dia akan bertemu dengan Allah sementara wajahnya
umpama bulan di malam purnama.” At-Tabrani.
Setiap perbuatan harus (mubah) yang dilakukan orang mukmin
dengan wujudnya unsur niat “nawaitu” yang ikhlas di dalamnya, maka niat itu
mengubahnya menjadi ibadat.
Tetapi untuk barangan yang haram, tetap sahaja ianya menjadi
haram walaupun diiringi dengan niat “nawaitu”, maksud dan tujuan yang baik dan
ikhlas.
Seorang Islam yang minum arak dengan membaca “Bismillah”
serta dengan niat “nawaitu” untuk menjadikan arak itu sebagai ubat, tidak
mengubahnya daripada haram kepada halal
walaupun tujuannya untuk menjadi sihat dan boleh melakukan ibadat.
Begitu juga seorang lelaki atau perempuan yang minta
berzina, tidak boleh menganggap perlakuan zina itu sebagai niat “nawaitu” yang
baik bagi menunaikan hajat seseorang.
Seseorang yang merampas dan mencuri harta orang lain,
menjual anjing, mengambil hasil pelacuran dan sebagainya, dengan niat “nawaitu”
untuk bersedekah atau membina masjid atau menunaikan ibadat Haji dan Umrah atau
memberi makan kepada keluarga atau membelanjakannya untuk anak-anak belajar
agama dan sebagainya, ia tidak mendapat
ganjaran pahala bahkan orang itu mendapat dosa atas perbuatannya itu.
Justeru itu, Islam melarang
segala perbuatan-perbuatan haram dan perkara-perkara haram dijadikan sebagai alat untuk mencapai tujuan
yang terpuji, kerana Islam sentiasa
menjaga kemuliaan dan kesucian niat atas perbuatan-perbuatan dan
perkara-perkara yang baik, halal dan harus sahaja.
Dalam sebuah Hadis, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima
kecuali yang baik pula dan bahawa Allah menyuruh orang mukmin dengan perkara
yang sama yang diperintahkan kepada para rasul.
Allah berfirman: “Wahai para rasul, makanlah daripada yang
baik-baik dan lakukanlah amal soleh, sesungguhnya Aku (Allah) Maha Mengetahui
akan apa yang kamu lakukan.” Al-Mukminun,
Ayat 51
Allah juga berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, makanlah
daripada hal-hal baik yang Kami (Allah) anugerahkan kepada kamu.” Al-Baqarah,
Ayat 172
Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
menyebutkan tentang seorang lelaki yang melakukan perjalanan panjang dengan
tubuh berdebu dan rambut yang kusut masai,
(dalam rangka untuk menunaikan ibadat haji, umrah dan sejenisnya} di mana dia menengadahkan tangannya ke
langit: “Wahai Tuhanku. Wahai Tuhanku”, sementara makanannya haram, pakaiannya
haram, dan mengguna barangan haram, bagaimana mungkin dikabulkan do’a untuknya?.”
Dalam Hadis lain, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda:
“Orang yang mengumpulkan harta dari barang
haram, kemudian dia mensedekahkannya,
tidak ada ganjaran untuknya dalam sedekah itu dan dosanya menjadi tanggung jawabnya.” Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Habban dan Al-Hakim.
Hari Jumaat
19 Zulka’edah 1433 Hijriyah
5 Oktober 2012
No comments:
Post a Comment