PROPAGANDA BRITISH
Kata orang-orang Melayu yang pernah merasai hidup di zaman
Jepun, iaitu sepanjang tempoh masa mulai daripada kedatangan tentera Jepun ke
Tanah Melayu hingga tamat pemerintahannya, keadaan kehidupan orang-orang Melayu ketika
itu amatlah susah.
Susah mendapat makanan dan pakaian. British menyekat bahan-bahan makanan dan
pakaian dibawa masuk ke Tanah Melayu dengan tujuan supaya bahan-bahan itu tidak
sampai kepada tentera-tentera Jepun.
Kerajaan British juga menjalankan kempen propaganda melalui
media-media massa, radio, surat-surat khabar memburuk-buruk dan
menakut-nakutkan rakyat bahawa Jepun yang melakukan peperangan itu untuk merampas
dan menjajah Tanah Melayu, dan
menjadikan orang-orang Melayu sebagai hamba mereka dan menyeru orang-orang
Melayu bangkit melawan Jepun.
Sayugia diambil peringatan bahawa sepanjang masa penglibatan dan penjajahan British sebelum
kedatangan Jepun iaitu di antara kurun ke 18 hingga ke 20, ramai orang-orang
asing dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British tanpa kebenaran Raja-raja
Melayu ketika itu.
Orang-orang asing itu kebanyakannya dijadikan buruh dan
pekerja-pekerja dalam syarikat-syarikat British dan kepentingan-kepentingannya,
ladang-ladang getah, lombong-lobong bijih dan lain-lain.
KEMASUKAN ORANG-ORANG
CHINA
Pada penghujung abad ke 19, selain daripada orang-orang
China yang datang ke Tanah Melayu bekerja sebagai buruh di lombong-lombong
bijih timah, British juga memberi konsesi tanah kepada orang-orang China untuk
mengerjakan lombong bijih timah dan penanaman gambir di negeri-negeri Tanah Melayu.
Kebanyakan orang-orang China tinggal di negeri Selat, serta
mereka menganggap diri mereka sebagai rakyat di bawah perlindungan pihak
British.
Dengan kebenaran British, bilangan orang-orang China
bertambah dengan kadar yang amat pesat di Johor. Dan pertambahan penduduk China di
Semenanjung Tanah Melayu juga lebih pesat lagi dalam masa 30 tahun yang pertama
abad ke 20.
Bilangan besar orang-orang China di Tanah Melayu berasal
dari dua wilayah di negeri China, iaitu Hokkien dan Kwantung dari daerah-daerah
Chuan-chew, Eng-hua, Eng-choon dan Hok-chew.
KEMASUKAN ORANG-ORANG
INDIA
Sebahagian besar orang-orang India yang datang dan dibawa
masuk ke Tanah Melayu oleh British pada penghujung abad ke 19 terdiri daripada
kaum buruh dan orang-orang tawanan dari Bangkulu hasil daripada perjanjian
Inggeris-Belanda.
Mereka ini digunakan untuk membina bangunan-bangunan
pentadbiran pemerintah, jalan-jalan raya, jambatan, sekolah-sekolah dan
lain-lain lagi. Dan di antara mereka itu
dijadikan buruh-buruh ladang getah, ladang tebu dan kopi.
Orang-orang India terdiri daripada orang Tamil yang dibawa
masuk melalui pelabuhan Nagapatnam, dan orang-orang Telegu dari Andra Pradesh.
Selain daripada itu, orang-orang dari Ceylon, orang-orang Malayali
dari pantai Malabar yang dikenali di Tanah Melayu sebagai Malabari.
BERBAGAI KETURUNAN
BANGSA
Bermula daripada pendatang-pendatang yang dibawa masuk oleh
British itulah, maka Tanah Melayu sekarang menjadi satu-satunya negara di
rantau Asia yang mempunyai rakyatnya berbagai-bagai keturunan bangsa.
JEPUN MENGALAHKAN
BRITISH
Akibat sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas bahan-bahan
makanan dan pakaian oleh British, maka tentera-tentera Jepun merampas
hasil-hasil tanaman seperti padi, ubi dan lain-lain lagi daripada
penduduk-penduduk tempatan sehingga penduduk-penduduk tempatan menjadi susah
tidak ada bahan-bahan untuk dimakan dan dipakai. Bagai kata peribahasa Melayu: “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di
tengah-tengah.” Yakni yang menjadi mangsa peperangan British dan Jepun ialah sejumlah
besarnya orang-orang Melayu.
Jepun tidak merosakan mana-mana negara yang tidak
menyebelahi British khususnya dan tentera bersekutu amnya.
Oleh kerana Tanah Melayu dijajah oleh penjajah British, maka
mahu tak mahu askar-askar, “home guard”, “auxiliary constable” dan lain-lain
lagi yang ditubuhkan oleh British, terdiri daripada penduduk-penduduk tempatan
Tanah Melayu dan orang-orang Melayu khususnya dijadikan “buffer” kepada
tentera-tentera British di atas alasan “pretext” mereka mempertahankan tanah
air yang tercinta melawan tentera Jepun itu dan ramai yang mati.
PERUBAHAN SIKAP
Peperangan Dunia II mulai pada 3 September 1939. Jepun mulai masuk dan memerintah Tanah Melayu mulai pada tahun
1941 hingga tahun 1945, selepas mengalahkan British.
Jepun, sebenarnya bukan sahaja dapat mengalahkan British
tetapi juga mampu mengalahkan Amerika Syarikat dan Belanda di Asia Tenggara.
Kemenangan Jepun itu, biarpun pendek tempohnya, telah
memberi kesan-kesan kepada senario politik dan suntikan semangat
penduduk-penduduk di Asia Tenggara ini untuk membangun dan menentang
penjajah-penjajah negara masing-masing.
SYCOPHANT
Melalui pengalaman, pengetahuan dan kesedaran yang lalu, di
mana orang-orang Melayu telah dijajah fikirannya supaya senantiasa
mengikut apa sahaja yang dibawa oleh
British dan mereka menganggap bahawa British sebagai satu-satunya kuasa yang
kuat di dunia ini.
Selepas negara telah merdeka pada tahun 1957, fikiran-fikiran
kebanyakan orang-orang Melayu yang lemah itu, tidak banyak berubah dan selalu
dieksploitasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk berkuasa, mengambil
kesempatan menjajah fikiran orang-orang Melayu lagi.
Orang-orang Melayu dihidangkan dengan hiburan-hiburan yang
melalaikan, dan disamping itu mereka diperang sarafkan asakan-asakan perasaan
yang mengongkong minda dan fikiran mereka atas perkara-perkara yang menakut-nakutkan
mereka dengan kesusahan, kepayahan, kepapaan, huru hara, dan kemiskinan,
sehingga mereka menjadi pengikut setia sebagaimana tersebut dalam peribahasa
Melayu: “Seperti kerbau dicucuk hidung,” atau “Bagaimana bunyi gendang,
begitulah tarinya.”
Walaupun sesetengah orang-orang Melayu itu dilihat bahawa
mereka sebagai karyawan atau cendekiawan atau profesional, namun akal fikiran
mereka mengenai siasah masih lemah.
Dengan keadaan itu terdapat sesetengah daripada mereka itu
sanggup menjadi pengampu dan tali barut kepada satu-satu golongan yang mana
mereka ada kepentingan di dalamnya.
Mereka seolah-olahnya rela membiarkan Melayu hilang bangsa dan menjadi “The
Lost Race” di Tanah Air sendiri, asalkan mereka mendapat apa yang mereka hajati.
BAIK DI DUNIA DAN
BAIK DI AKHIRAT
Justeru itu, maka generasi muda Melayu sekarang ini
hendaklah berusaha supaya dapat mengeluarkan orang-orang Melayu daripada
kepompongnya dan mengubah cara fikiran orang-orang Melayu kepada anjakan
paradigma mereka yang baru, bersih daripada maksiat, baik di dunia dan baik di
akhirat.
Hari Rabu
8 Zulhijjah 1433 Hijriyah
24 Oktober 2012