DIPAKAIKAN DENGAN
KALUNG EMAS
Setiap orang boleh melihat bagaimana anjing, babi, kera,
kucing dan ayam mencari dan makan makanan.
Haiwan-haiwan itu berada disekeliling kehidupan manusia di mana-mana
sahaja.
Tiap-tiap haiwan itu mencari makanan mengikut cara tabiatnya
masing-masing. Anjing yang bukan
dipelihara dan dikurung atau dirantai, ia berjalan dan menghidu-hidu bau makanan
di atas tanah untuk mendapat makanan seperti tahi, bangkai atau sisa-sisa
makanan yang dibuang manusia.
Peribahasa Melayu ada menyebut: “Anjing itu, meskipun dirantai dengan emas,
nescaya berulang-ulang juga ia ke tempat tahi (najis).” Maksudnya seseorang yang tabiatnya melakukan
kejahatan maksiat, walaupun ia telah diberi tempat dan kemuliaan dalam masyarakat,
ia masih “ada hati” gemar kepada perkara-perkara jahat dan maksiat dan melakukannya
secara bersembunyi-sembunyi dari pandangan manusia.
JILAT MENJILAT
Anjing apabila mendapat makanan, sifatnya tamak dan gelojoh,
selalu mengawal supaya makanan itu tidak terjatuh kepada anjing-anjing lain
walaupun dalam kumpulan yang sama.
Dengan itu anjing-anjing sekumpulan itu akan bergomol atau
bergaduh, gigit menggigit dan cakar-mencakar sesama sendiri, sedangkan
sebelumnya anjing-anjing yang sama pada
kebiasaannya bermain-main, jilat menjilat di antara satu sama lain.
Sifat-sifat anjing itu terdapat juga pada haiwan-haiwan lain seperti babi, kucing,
ayam dan lain-lain lagi yang hidupnya tidak dikurung dalam sangkar.
PERUMPAMAAN
Haiwan-haiwan itu diciptakan Allah Ta’ala supaya makhluk
manusia yang diberi akal dan lebih tinggi martabatnya daripada haiwan, dapat
melihat dan mengambil iktibar agar manusia dapat membezakan cara makan dan
minum manusia dan haiwan.
Haji Abdulmalik Abdulkarim Amrullah (HAMKA) mengumpamakan manusia
yang serupa dengan binatang tentang makan dan minum seperti berikut:
“Binatang ternak hanya
memikirkan sekitar makan. Kerbau dan
sapi (lembu) mengunyah terus, baik sedang duduk atau sedang berhenti bertugas, namun mereka mengunyah terus. Kerjanya hanya makan belaka. Orang yang tidak mempunyai cita-cita tertentu
(tentang agama) dalam hidupnya, apabila
makannya sudah cukup hatinya sudah senang. Pada hakikatnya, kalau binatang memikirkan
makan siang dan malam, tidaklah ada orang yang menyalahkan. Sebagaimana kambing, jika dia tidak memakai
pakaian, bertelanjang seluruh badannya tidaklah ada orang yang mengomel. Tetapi kalau manusia berfikir hanya sekadar
dan sekitar makan, jadilah dia tumpuan penghinaan dan pandangan rendah.”
TUJUH PERUT
Dari Ibnu ‘Umar r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam,
sabdanya:
“Orang-orang kafir makan dengan tujuh perut,
dan orang mukmin makan dengan satu
perut.” Muslim dan Bukhari.
Kiasan ini disebut adalah kerana kerakusan dan ketamakan
orang kafir terhadap nikmat dan kelazatan dunia.
Allah Ta’ala mengumpamakan sifat haiwan dengan sifat manusia
yang kafir. Pada asasnya sifat manusia yang kafir sama dengan sifat binatang,
tidak kira sama ada manusia itu seorang ahli profesional seperti doktor,
jurutera, saintis, dan lain-lain lagi, cara makan dan minumnya adalah seperti
binatang ternakan.
Walaupun pada teorinya mereka dilihat mempunyai cara dan
adab-adab makan yang disebut sebagai “table etiquette” yang digunakan hanya
pada waktu majlis-majlis tertentu sahaja.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Muhammad, Ayat 12, maksudnya:
“Dan orang-orang yang kafir yang menikmati
kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang
(haiwan) ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal
mereka.” Ayat 12.
Hari Jumaat
6 Syawal 1433 Hijriyah
24 Ogos 2012
No comments:
Post a Comment