FILEM AKSI
Kebetulan pada suatu malam, aku sempat menonton pertengahan
sebuah filem aksi. Aku terlupa nama
tajuk filem itu.
Apa yang membuat aku tertarik menonton filem itu ialah aku
melihat kehebatan seorang pelakon budak perempuan dalam lengkungan umur belasan
tahun berlawan dengan ramai kumpulan lelaki dan ia dapat mengalahkan lelaki-lelaki
lawannya itu.
Aksi-aksi budak perempuan itu pada pandanganku nampak
lincah, gerak geri “martial arts”nya pun setanding dengan pelakon-pelakon lelaki.
Aku terus menonton filem itu sampai ke penghujungnya hingga
ke senarai nama pengarah, nama-nama pelakon-pelakon dan kru-kru yang menjayakan
filem tersebut.
Semasa nama-nama tersebut dipaparkan di penghujung filem,
ditunjukkan juga beberapa kerat adegan (scene) yang ada kesilapan dialog,
aksi-aksi yang salah yang perlu di ulangi lakonannya sebelum filem tersebut
diedit dan ditayangkan agar nampak sempurna dan tiada kecacatan “flaw”.
Rupa-rupanya filem yang amat menarik pada pandanganku itu,
terdapat banyak lakonan-lakonan yang salah dan silap semasa penggambaran
sebelum dirakam, diedit dan ditayangkan kepada penonton-penonton.
Hal seperti itu, sebelum ini aku tidak mengambil kisah
kerana menganggap apa yang aku tonton itu benar belaka.
SEBAGAI HIBURAN
Dengan menonton filem tersebut, aku dengan tidak semena-mena
mula memikirkan tentang filem-filem dan video-video yang berunsurkan Agama
Islam seperti cerita-cerita masyarakat, pendidikan, ceramah-ceramah dan
lain-lain yang dilakonkan.
Di antara filem-filem dan video-video itu dilakonkan oleh
budak-budak yang mana ianya ditayangkan di televisyen-televisyen dan lain-lain media
elektronik yang, biasanya, akan kelihatan elok dan menarik.
Rupa budak-budak yang berlakon itu juga kelihatan lebih
cantik dan lebih tampan daripada biasa kerana mukanya telah disolek “make-up”
oleh juru-juru solek lelaki dan perempuan yang bukan mahram kepada budak-budak
tersebut. Mereka juga dipakaikan dengan
pakaian-pakaian yang menarik bagi menyesuaikannya dengan jalan-jalan ceritanya
atau ceramahnya.
Filem-filem tersebut juga tidak terlepas daripada diadakan
latihan “rehearsal” terlebih dahulu dan di “cut”, dirakam dan di “edit”
dan sebagainya sebelum ditayangkan kepada umum supaya filem-filem yang
berunsurkan Agama Islam itu dilihat baik dan benar yang menjadi bawaan
pelakon-pelakon itu di kaca mata penonton.
Kebanyakan penonton-penonton amat tertarik dengan kefasihan
sebutan dialog-dialog yang telah disediakan dan yang telah dihafal oleh pelakon-pelakon
atau artis-artis dan pelakon budak-budak untuk filem-filem dan video-video yang
berkenaan.
Dengan yang demikian itu, pelakon-pelakon, artis-artis,
pengarah, produser dan lain-lain orang yang terlibat dengan filem-filem dan
video-video yang berunsurkan Agama Islam itu akan diberi pujian atas hasil
mereka itu kerana berjaya mempermain-mainkan dan menjadikan Agama Islam itu
sebagai hiburan.
Bagi sesetengah penonton, walaupun mereka tahu bahawa gaya hidup pelakon-pelakon,
artis-artis, pengarah, produser dan lain-lain orang yang terlibat dengan
pembuatan filem-filem yang berunsur Agama Islam itu tidak mengamalkan apa yang
dilakonkan, dicakapkan dan apa yang ditulis mengenai Agama Islam yang boleh
dijadikan tauladan dan iktibar; penonton-penonton masih boleh menerima karya
mereka itu dengan penuh minat dan menjadikan mereka itu sebagai idola.
Justeru itu, maka dunia ini adalah pentas lakonan, tempat
tipu menipu, tempat mencari hiburan yang melalaikan dan tempat “cari makan” bagi
orang-orang yang tidak beriman kepada Allah Ta’ala.
Hari Jumaat
21 JamadilAwwal 1433 Hijriyah
13 April 2012