Kepada anak-anakku yang dikasihi,
Ayat Al-Quran Ayah himpunkan
Untuk memudah bacaan
Susunan tertibnya mengikut makna
Sebagai rujukan keluarga.
Selalulah membacanya
Mengambil iktibar dan erti
Al Quran itulah perlembagaan kita
Pegangan hidup dan mati.
Al Quran itu penawar segala hati
Menghidupkan jiwa yang mati
Dalam rumah, bacalah selalu
Menambah berkat, bercahaya hidupmu.
*****
Redha Allah kasihkan hambaNya
Dimasukkan Islam di dalam dadanya
Dilapangkan dada, hening hatinya
Penuh bersinar dalam jiwanya.
Nur iman bercahaya-cahaya
Padam tiada, sentiasa menyala
Dalam cahaya, ada lagi cahaya
Gemilang berseri-seri ke wajahnya.
*****
AsmaulHusna, indah namaNya
Sembilan puluh sembilan dalam Al Quran yang mulia
Serulah namaNya, malam dan pagi
Mendapat kurnia, hebat di hati.
Rahsia Bismillah, mula terbuka
Dalam Injil, tiga ratus nama
Dalam Taurat, tiga ratus juga
Dalam Zabur, tiga ratus jua.
Seribu nama diketahui para anbia
Seribu nama malaikat mengetahuinya
Satu nama, khusus Allah rahsia
Tiada yang mengetahui kecuali Dia.
Tiga ribu nama, jelas dan nyata
Dihimpun penuh sesempurnanya
Lengkap nama itu, lagi qadim
Dalam Bismillahirrahmanirrahim.
Nama-nama Allah Yang Maha Tinggi
Bacalah di mana-mana perkara dihajati
Allah balaskan pahala tiada terperi
Istimewa pula, mendapat rezeki.
*****
Jumlah nama Allah itu tersebut dalam Kitab Pati Rahsia
Isinya sangat wangi, manis rasanya
Susunan Nik Mahmud Ismail Datuk Perdana Menteri Paduka Raja
Dicetak oleh Nik Ahmad Kamil Datuk Seri Setia Raja.
Kitab tersebut disahkan Majlis Agama
Dan murid Tok Kenali, Muhammad Ali Salehuddin namanya
Sepuluh Syaaban, Hari Selasa
Tahun Hijriyah seribu tiga ratus enam puluh lima.
Dengan mendapat manafaat Kitab ini
Kebajikan untuk dunia dan akhirat
Hadiah Fatihah ikhlas dari kami
Kepada Nik Mahmud, Allah cucuri rahmat.
*****
Bulan Rejab 19 haribulan
Tahun Hijrah 1428
3 Ogos Hari Jumaat
Tahun 2007, ayah catitkan.
No comments:
Post a Comment