AYAT-AYAT AL-QURAN AL-KARIIM
ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA berfirman dalam Surah An-Nur, Ayat 27, Ayat 28 dan Ayat 29, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu
meminta izin serta memberi salam kepada ahlinya; yang demikian adalah lebih
baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan
itu).” Ayat 27
“Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa
(yang berhak memberi izin), maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga
kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang
demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui akan
apa yang kamu lakukan.” Ayat 28
“Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan
tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada
keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu zahirkan
dan apa yang kamu sembunyikan.” Ayat 29
HADIS-HADIS NABI SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
Daripada Huzail rahimahullah meriwayatkan bahawa Sa’ad
radhiallahu ‘anh telah datang lalu berdiri tepat di hadapan pintu rumah Nabi
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk meminta izin (masuk ke rumah Baginda
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda
kepadanya, mafhumnya:
“(Janganlah kamu berdiri di hadapan pintu)
sebaliknya berdiri di kanan atau di kiri pintu (kerana berdiri di hadapan pintu
boleh menyebabkan kamu ternampak apa-apa yang ada dalam rumah sedangkan)
meminta izin adalah semata-mata untuk mengelak daripada terlihat apa-apa yang
tidak elok dalam rumah.” (Abu Daud)
Daripada Abi Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa
Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:
“Apabila pandangan telah masuk ke dalam rumah
(yang ditandang), maka meminta izin tidak memberi apa-apa makna yakni tiada
faedah untuk meminta izin.” (Abu Daud)
Hari Juma’at
24 Muharram 1437 Hijriyah
6 November 2015
No comments:
Post a Comment