Melalui halaman-halaman web sekarang ini, terdapat banyak
dan pelbagai petua-petua mengenai penggunaan jampi serapah, doa-doa dan zikir, ruqyah-ruqyah
dan sebagainya disiarkan orang.
Di antara jampi serapah, doa-doa dan zikir serta ruqyah-ruqyah
itu mendapat perhatian dan tarikan oleh sesetengah orang untuk menggunakannya
atau mengamalkannya untuk tujuan-tujuan tertentu.
DOA, ZIKIR DAN RUQYAH
Mengenai dengan doa-doa dan zikir serta ruqyah-ruqyah dalam
bahasa Al-Quran Al-Kariim, sebelum seseorang itu mengamalkannya, ia hendaklah
tahu dan fasih dan betul bacaan serta sebutan huruf-huruf dan baris-baris
kalimah yang dibacanya itu, jika tidak, maka makna doa dan zikir itu menjadi
lain daripada apa yang sebenarnya.
Oleh itu seboleh-bolehnya seseorang itu mengambil doa-doa dan
zikir yang hendak diamalkan itu daripada guru-guru yang mengamal dan bawaannya
soleh. Di samping itu seseorang itu
hendaklah belajar membaca doa dan zikir yang hendak diamalkan itu mengikut
sebutan guru-guru atau mendengar bacaan yang sahih serta tahu makna dan
maksudnya.
Tanpa mendapat bimbingan dan ajaran yang betul, maka
ditakuti bahawa segala petua, jampi serapah, doa-doa dan zikir serta ruqyah-ruqyah
itu berkemungkinan akan membawa padah
kecelakaan kepada pengguna atau pengamalnya; seperti menjadi gila isim, angau,
dungu, murung dan lain-lain gangguan jinn dan syaitan yang tidak kesudahan
dalam hidupnya.
Perlu diingatkan bahawa orang-orang yang mengajar dan
memberi petua-petua melalui halaman-halaman web itu bukan sahaja mereka itu
tidak dikenali atau pernah berjumpa tetapi juga mereka itu tidak akan
bertanggung jawab atas segala akibat buruk dan atas apa-apa kecelakaan akibat
amalan-amalan yang tersebut.
JAMPI SERAPAH
Adapun petua atau jampi serapah atau amalan-amalan jampi
pengasih, jampi cepat mendapat jodoh, jampi pelembut hati, jampi bagi orang
lain mengikut perintah, jampi untuk mendapat
kuasa, jampi untuk mendapat kekayaan, jampi untuk menjadi kuat dan kebal, jampi
untuk mendapat anak, jampi untuk menjadikan anak pintar dan sebagainya,
haruslah berwaspada supaya tidak tersalah guna atau tersilap amal yang mungkin
mendatangkan kecelakaan dan buruk padahnya pada pengamalnya dan kepada yang
dituju jampi serapahnya.
Apa-apa pun jampi serapah sama ada dalam bahasa Melayu atau
Jawa atau Siam atau Minangkabau atau Arab atau Arab Badwi atau Bugis atau
Banjar atau Minang atau Dayak atau Jakun atau Batak atau Tamil Hindu dan lain-lain jika tidak betul penggunaannya dan
tidak pada tempatnya, boleh menjadikan seseorang itu SYIRIK, maka perlu diambil
berat penggunaan dan pengamalan jampi-jampi serapah tersebut.
Wallahu A’lamu Bissawab.
Hari Juma’at
12 Syawal 1435 Hijriyah
8 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment