Dr. Bin Abdul Talib telah menulis kritikan mengenai
pengurusan zakat di Malaysia.
Melihat kepada tulisannya yang panjang lebar, jelas bahawa
ia adalah seorang yang penuh dengan egosentrik yang ada dalam dirinya dan menampakkan
ia sebagai seorang yang tidak membuat kesalahan yakni “the most righteous
person”.
Di antara lain, ia menyalahkan pihak berkuasa zakat setiap
negeri di Malaysia menyalahgunakan wang zakat untuk gaji penjawat-penjawat dan
kenderaan-kenderaan lebih daripada pembahagian kepada asnaf-asnaf.
Dan, tambahnya lagi, orang-orang miskin lebih mudah mendapat
bantuan daripada gereja daripada mendapat bantuan daripada pihak berkuasa zakat:
“Tiba-tiba ada si miskin kita
terpaksa merintih simpati dari pihak lain termasuk gereja?”
Nampaknya
Dr. Bin Abdul Talib telah kemamar di antara zakat dan bantuan-bantuan dari
gereja dan lain-lain, kerana zakat adalah salah satu dari rukun Islam dan
sebaliknya bantuan bukan rukun Islam, maka bantuan boleh diberi kepada sesiapa
dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja.
Dan,
katanya lagi:
“Ada pegawai zakat bersifat begitu
meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi
berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan
ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua
yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah.
Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.”
Sebagaimana yang diketahui, biasanya pihak-pihak pengurusan
zakat tidak meminta orang-orang yang hadir mendapat bantuan zakat itu menulis
borang-borang sepertimana yang disebut oleh Dr. Bin Abdul Talib itu. Mana-mana orang yang hadir ditemu duga oleh
pegawai-pegawai yang bertugas di sana.
Di samping itu adalah dilihat bahawa Dr. Bin Abdul Talib
nyata menolak hukum-hukum, syarat-syarat dan kriteria-kriteria kelayakan yang ditetapkan
syarak bagi setiap asnaf yang boleh menerima wang zakat.
Pada logik akalnya, semua orang yang fakir dan miskin tanpa
mengambil kira ianya Islam atau bukan Islam boleh diberi zakat, sepertimana
katanya:
“Bahkan zakat boleh diberikan kepada
bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan
muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan
muslim juga akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah
Islam pun ingin keluar dari Islam!”
Adalah
dilihat bahawa Dr. Bin Abdul Talbi itu telah salah dan tersasar jauh apabila ia
mengandaikan bahawa seseorang
Islam akan keluar Islam kerana masalah zakat, sebagaimana katanya:
“Jika ia (zakat) tidak berfungsi,
(orang) yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam.”
Dengan penulisannya yang mengelirukan hukum-hukum,
syarat-syarat dan kriteria-kriteria dalam Islam yang membolehkan seseorang
fakir miskin menerima wang zakat, maka ia dilihat oleh sesetengah orang dan orang-orang yang jahil bawaan dalam agama, maka “fatwa” dari Dr. Bin Abdul
Talib itu masuk akal.
Nota:
Penulis artikel ini pernah berkhidmat di salah sebuah Baitul
Mal, tidak menafikan bahawa terdapat sedikit sebanyak kekurangan dalam
pengurusan Baitul Mal, namun begitu menolak mengatakan bahawa pengurusan Baitul
Mal keseluruhannya mengenai pembahagian zakat tidak teratur.