Dalam pemerhatian secara peribadi ke atas pergaulan kebanyakan
anak-anak lelaki yang mempunyai isteri dan anak-anak perempuan yang bersuami dalam
kalangan masyarakat Melayu di Tanah
Melayu ini, pemerhatian ini tidak dipengaruhi dan tidak berdasarkan
cerita-cerita dongeng dahulu kala atau mitos masyarakat Melayu.
Di antara kes-kes yang diperhatikan, terdapat dua kes yang ketara
dan boleh dikongsikan, yakni
- Kelihatan anak lelaki setelah berkahwin, biasanya kasih sayangnya lebih kepada isteri dan anak-anaknya daripada kasih dan sayangnya terhadap kedua ibu bapanya atau ibunya atau bapanya sendiri.
- Kelihatan juga di antara anak-anak perempuan yang sudah berkahwin lebih menitikberat keluarganya iaitu ibu bapanya atau bapanya atau ibunya sendiri daripada ibu bapa suaminya atau ibu suaminya atau bapa suaminya yakni mertuanya.
Sungguhpun perasaan kasih sayang tidak dapat diukur dengan
sebarang alatan skala, namun begitu
perkara tersebut tidak mustahil dapat dilihat dan diukur melalui pemerhatian
terhadap budi pekerti, kekerapan masa anak-anak lelaki serta isteri-isteri
mereka mengunjungi dan menziarahi ibu
bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka dan tempoh masa tinggal
bersama-sama dalam jangka hayat masing-masing yang masih ada.
Lazimnya berlaku, sesetengah anak-anak lelaki balik
menziarahi ibu bapanya atau ibunya atau bapanya, 1 atau 2 hari pada Hari Raya
‘AidulFitri yakni berjumlah 2 hari atau singgah sebentar dalam tempoh 365 hari setahun
atau pada masa ibu bapanya atau ibunya atau bapanya jatuh sakit atau pada hari
kematian dan ada juga yang tidak pernah balik langsung.
Perkara begini terjadi kerana berkemungkinan mereka menganggap
bahawa ibu bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka hidup masih lama lagi dan
mereka boleh balik berjumpa ibu bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka
pada bila-bila masa sahaja.
Mereka lalai dan terlupa bahawa nafas yang keluar masuk
setiap saat boleh berhenti pada
bila-bila masa yang tidak ada makhluk jinn atau manusia, yang dapat mengetahui
saat terhentinya nafas itu.
ISTERI TIDAK SUKA IBU
MERTUA
Sungguhpun begitu, ada sebilangan kecil di antara ibu bapa
pihak lelaki atau ibu pihak lelaki yang
tidak sukakan menantunya atas sebab-sebab tertentu. Selain daripada itu, ada di antara menantu
perempuan yang tidak dapat ikut rentak dan cara ibu mertuanya.
Terdapat juga sesetengah menantu perempuan yang berkarier
“career women” yang egosentrik yang senantiasa merasa dirinya lebih daripada
mereka yang sekelilingnya, merasakan perlu ibu mertuanya dan orang sekeliling
keluarga suaminya memberi perhatian yang lebih kepadanya.
Maka, inilah di antara alasan-alasan yang menyebabkan
menantu perempuan yang mendorongkan suaminya agar tidak balik atau jarang-jarang
balik menziarahi ibu bapa suaminya atau ibu suaminya atau bapa suaminya.
RENGGANG DENGAN
KELUARGA LELAKI
Justeru itu, terdapat ramai anak-anak lelaki yang tidak
membawa anak-anak mereka berjumpa dan
mengenali keluarga mereka dengan lebih dekat lagi, yang ada hubungan silaturrahiim
dengan mereka serta anak-anak saudara mereka, yakni pupu poyang anak-anak
mereka.
Anak lelaki itu sendiri lebih rapat dengan ipar-iparnya serta
biras-birasnya dan lebih mesra dan mengenali anak-anak saudara isterinya
berbanding dengan keluarganya sendiri, sedangkan keluarga isterinya itu hanyalah
keluarga semenda kepadanya sahaja.
Bermula dari sini, maka ramai di antara keluarga anak-anak
lelaki menjadi renggang ikatan kekeluargaan silaturrahiim mereka yakni dengan keluarga
anak-anak lelaki tersebut iaitu ibu bapa mereka atau ibu mereka atau bapa mereka
serta saudara-saudara seibu sebapa mereka sendiri.
Sayugia diingatkan bahawa adalah menjadi kewajiban dan
tanggungan setiap anak lelaki untuk berbakti dan berkhidmat kepada kedua ibu bapanya
atau ibunya atau bapanya lebih daripada segala-galanya selagi kedua ibu bapanya
atau ibunya atau bapanya masih hidup.
Dalam Hadis, Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Baginda bersabda:
“Sangat hina, sangat hina dan sangat hina,
orang yang sempat bertemu dengan salah seorang atau kedua orang tuanya di saat
mereka telah tua, namun ia tidak masuk Syurga (kerana tidak berbakti kepada
mereka).” Muslim.
Wallahu a’lamu bissawaab.
Hari Jumaat
12 Sya’aban 1434 Hijriyah
21 Jun 2013
No comments:
Post a Comment