Kata Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik:
“Sesungguhnya rakyat akan binasa dengan binasanya pemerintah dan mereka
akan baik dengan baiknya pemerintah.”
Kata Wahab bin Munabah:
“Apabila seseorang
pemerintah bercita-cita dengan kezaliman (yakni tidak menjalankan hukum-hukum
Allah) atau mengerjakan sesuatu dengan kezaliman (yang tidak berperikemanusiaan),
maka Allah akan memasukkan kekurangan pada ahli (rakyat) negeri di bawah
pemerintahannya, pada pekannya (pasarnya), pada tanamannya (pertaniannya), pada
perniagaannya dan pada lain-lainnya.
Dan apabila pemerintah
bercita-cita dengan kebajikan dan keadilan (yakni melaksanakan hukum-hukum
Allah) atau gemarkannya, maka dimasukkan berkat pada semua rakyat negeri di
bawah pemerintahannya segala yang tersebut itu."
PERAHAN SUSU SEEKOR
LEMBU BERSAMAAN 30 EKOR LEMBU
Kata setengah ahli sejarah, salah seorang pemerintah telah
keluar berjalan-jalan dalam wilayah pemerintahannya dengan cara sulit. Beliau turun menemui seorang lelaki yang
memiliki seekor lembu susu, diperahi susu sehabisnya dan mendapat susu seperti
sebanyak tiga puluh ekor lembu yang lain.
Pemerintah itu merasa hairan dengan keadaan yang demikian
dan bercita-cita hendak mengambil lembu itu.
Maka pemerintah itu datang pagi-pagi lagi lalu diperahkan baginya tetapi
hasil perahan susunya separuh sahaja dari hari sebelumnya, maka bertanyalah pemerintah
itu kepada lelaki tersebut:
Pemerintah bertanya: “Apa hal telah berlaku pada perahanmu kali
ini dari perahan pada hari terdahulu.
Adakah kamu telah memeliharanya bukan pada tempatnya yang dahulu?”
Lelaki itu menjawab: “Tidak! Tetapi aku mengagak bahawasanya
pemerintah kami bercita-cita dengan kezaliman, maka jadi kurang susunya. Maka apabila pemerintah itu zalim atau
bercita-cita dengan kezaliman, hilanglah berkatnya.”
Setelah mendengar jawaban lelaki tersebut, maka pemerintah
itu pun bertaubat dan hatinya berjanji pada Tuhan yang dia tidak akan mengambil
lembu lelaki tersebut.
Kemudian pemerintah itu pergi pula ke tempat lelaki tersebut
pada pagi-pagi lagi, maka didapatinya hasil perahan seperti kebiasaannya (yakni
sebanyak perahan tiga puluh ekor lembu).
SEPOKOK TAMAR BERBUAH
24 GANTANG
Menurut hikayat daripada Saidi Abu Bakr Al-Tartusi dalam kitab
Sirajul Muluk, katanya, telah diceritakan kepadanya daripada kalangan Sheikh
orang-orang yang terdahulu bahawa pada negeri Sa’idi di Mesir, ada sebatang
pokok tamar berbuah hingga sepuluh ardab (satu ardab menyamai 24 gantang) buah
tamar.
Pada zaman itu tiada mana-mana pohon tamar yang berbuah
separuh daripada yang tersebut itu, lalu sultan merampasnya, maka pada tahun
itu pokok tamar tersebut tidak berbuah walaupun sebiji tamar.
Diambil daripada Kitab MuniatulMusalli oleh Syeikh Daud
‘Abdullah Al-Fatani.
Hari Juma’at
19 Sya’aban 1434 Hijriyah
28 Jun 2013