MUSLIM’S TABLE ETIQUETTE
MAKAN SAMBIL BERAK
ATAU KENCING
Manusia dan haiwan memerlukan makanan dan minuman untuk
hidup. Walaupun makanan dan minuman
bagi manusia dan haiwan berbeza, namun
cara makan dan minum manusia kafir sama seperti binatang, sebagaimana tersebut
dalam firman Allah Ta’ala, dalam Surah
Muhammad, Ayat 12, maksudnya:
“Dan orang-orang yang kafir menikmati
kesenangan (di dunia) serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang
ternak makan minum, sedangkan nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” Ayat 12
“While those who disbelieve enjoy
themselves and eat as cattle eat; and the Fire will be their abode.” (V47: 12)
Kerana orang-orang kafir dan orang-orang yang serupa dengan
mereka mendapat nikmat di dunia sahaja. Mereka makan dan minum sesuka hati, tidak kira di mana tempat.
Mereka makan dan minum sambil berdiri, bersandar atau
berbaring, atau sambil berak atau kencing.
DILARANG MAKAN DENGAN
TANGAN MERAYAU-RAYAU
Orang-orang kafir juga makan dengan tangannya merayau-rayau
atau menjangkau-jangkau dan merebut-rebut memilih lauk atau makanan yang mereka
suka tanpa mengambil peduli hak-hak orang lain.
Perbuatan seumpama itu adalah dilarang bagi orang-orang
mukmin kecuali mereka makan buah-buahan yang mana mereka boleh memilih
mana-mana buah-buahan yang mereka suka, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis
yang dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi:
“Daripada ‘Ikrasy bin Dzuaib katanya: “Mengutus
akan daku Banu Murrah bin Ubaid dengan sedekah-sedekah harta mereka itu kepada
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka datang aku atasnya (Baginda) di Madinah,
maka aku dapati Baginda duduk antara Muhajirin dan Ansar. Kata ‘Ikrasy (lagi): “Kemudian memegang
Baginda dengan tanganku maka pergi Baginda denganku ke rumah Umm Salmah, maka sabda Baginda: “Adakah daripada makanan? Maka didatangkan kami dengan satu pasu yang
banyak roti berkuah dan kerat-kerat daging, dan berhadap kami makan
daripadanya, maka aku gasak ambil dengan tanganku daripada segenap penjurunya
dan makan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam daripada antara dua tangannya,
maka memegang Baginda dengan tangan Baginda yang kiri atas tanganku yang kanan,
kemudian Baginda bersabda: “Hai, ‘Ikrasy!
Makan daripada tempat satu, maka bahawasanya makanan satu.
Kemudian didatangkan kami dengan talam dalamnya
macam-macam rupa ratab (tamar masak) atau daripada macam-macam warna
ratab.
‘Ikrasy berkata: “Maka selepas itu, jadi aku makan daripada
hadapanku, dan (sedangkan) merayau tangan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
dalam talam, sabdanya: “Hai, ‘Ikrasy! Makanlah
daripada mana engkau suka maka bahawasanya tidak warna satu (banyak warna buah,
ada yang masak dan yang belum masak),
kemudian didatangkan kami dengan air, maka membasuh Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wasallam akan tangannya dan disapunya basah tangannya mukanya dan
lengannya dan kepalanya dan sabdanya:
“Hai, ‘Ikrasy! Ini wudhu’ daripada barang yang diubah (disentuh)
api.” Gharib.
SYAITAN MAKAN DAN
MINUM DENGAN TANGAN KIRI
Orang-orang kafir dan orang-orang yang serupa dengan mereka
tidak mengambil kira sama ada mereka menggunakan tangan kanan atau tangan kiri
untuk menyuap makanan atau minuman ke mulut.
Bagi orang-orang mukmin perlakuan seumpama itu dilarang dan
dipandang keji jika mereka mengguna tangan kiri untuk makan dan minum kerana
syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.
Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud:
“Dari Ibnu ‘Umar r.a. katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Jika seseorang di antara kamu sedang makan,
maka hendaknya dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaknya juga dengan tangan
kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan
kirinya pula.” Sahih Muslim.
AMBIL MAKANAN YANG
DEKAT
Orang-orang mukmin mempunyai akhlak yang mulia; apabila mereka makan berjemaah mereka akan
mengambil makanan yang ada dekat dengan mereka terlebih dahulu dan dari bawah
jika pinggan itu besar, walaupun makanan yang digemarinya berada di hadapan
orang lain.
Mereka juga tidak makan secara bersandar atau berbaring di
atas rusuk kanan atau rusuk kiri semasa mereka makan dan minum, sebagaimana
tersebut dalam sebuah Hadis berikut:
“Dari ‘Umar bin Abu Salamah, katanya:
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bersabda: “Wahai anakku! Mendekatlah kemari, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan menggunakan tangan
kananmu serta makanlah makanan yang ada di dekatmu.” Sahih: Muttafaq ‘Alaih.
“Dari Ibnu Abbas, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda, mafhumnya: “Jika seseorang di
antara kamu makan, maka jangan mengambil makanan dari bahagian atas (tengah)
piring besar, tapi ambillah dari bahagian bawahnya (tepi dalam piring) , kerana
berkat itu turun dari bahagian
atasnya.” Sahih.
“Dari Juhaifah, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda, mafhumnya: “Aku tidak makan
dengan cara bersandar (belakang atau atas rusuk kanan atau atas rusuk kiri).” Sahih: Bukhari.
Hari Jumaat
14 Safar 1434 Hijriyah
28 Disember 2012