SLOGAN
Bahawasanya kita dapat bersaksi, seluruh negara-negara Arab
termasuklah Arab Saudi tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya dengan
sepenuhnya.
Pemimpin-pemimpin mereka terdiri daripada orang-orang jahil
dalam Agama Islam. Maka apa yang menjadi
ketetapan kepada mana-mana negeri muslim “Muslim State” ialah mereka senantiasa
menghadapi fitnah huru hara, berperang-perangan, bunuh membunuh, pertumpahan
darah sesama sendiri.
Pemimpin-pemimpin
mereka memilih dan menggembar gemburkan ideologi-ideologi Islam dalam berbagai
bentuk yang sesuai bagi kepentingan pemerintahan mereka sahaja dengan
mengeluarkan slogan-slogan mengenai perpaduan ummah, pembangunan ekonomi Islam,
membasmi kemiskinan ummah, dan sebagainya.
Mereka juga mengadakan bermacam-macam forum, seminar, dialog mengenai
perkara-perkara tersebut.
Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dan agensi-agensi
kerajaan akan meminta dan menyeru rakyat jelata
bersatu padu memelihara ikatan persaudaraan “ukhuwah” bagi mengukuhkan
perpaduan Ummah dan lain-lain lagi sebagai candu dan umpan angan-angan kepada rakyat
jelata.
LAMBANG
Di samping itu pemimpin-pemimpin itu membelanjakan jumlah
wang yang besar untuk menonjol dan mengadakan lambang-lambang Islam seperti membina
masjid-masjid yang besar, indah dan cantik sehingga menyerupai gereja-gereja,
mengadakan Darul Quran, Darul Hadis, universiti-universiti yang ada
pembelajaran Islam, universiti-universiti Islam, menaja pelajar-pelajar dengan
memberi biasiswa-biasiswa. Menubuh bank-bank
Islam, pajak gadai Islam “Ar-Rahnu”, insuran-insuran Islam dan lain-lain lagi.
Semuanya itu diadakan untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa
usaha dan kesungguhan kerajaan bagi menarik perhatian rakyat balik kepada Islam
dari satu dekad ke satu dekad dan dari satu abad ke satu abad, sedangkan
KERAJAAN ISLAM tidak muncul di mana-mana negeri orang-orang Islam “Muslim
State” sampai ke hari ini tahun 2012.
Maka dari segi persepsi ini, jelas bahawa Agama Islam hanya
dipermain-mainkan dan hanya layak diamalkan oleh rakyat jelata mengikut perkara-perkara,
peraturan-peraturan dan hukum hakam yang diluluskan oleh pemerintah sahaja.
Pemimpin-pemimpin negeri-negeri orang-orang Islam “Muslim
States” terus menjalankan pemerintahan mereka mengikut cara sekular.
MATI DALAM HARAPAN
Sudah berapa bilion rakyat Islam yang telah mati dan akan
mati dengan harapan akan adanya KERAJAAN ISLAM yang boleh membawa dan memimpin
mereka ke jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Justeru itu, selagi pemimpin-pemimpin Islam tidak
menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya, maka selama itulah negeri-negeri
Muslim “Muslim States” akan menghadapi fitnah huru hara, berperang-perangan,
bunuh membunuh, bertumpah darah sesama sendiri.
Kerajaan sanggup membunuh rakyatnya sendiri apabila
rakyatnya bangkit meminta kerajaan melaksanakan hukum-hukum Allah Ta’ala. Kerajaan akan mencari alasan bahawa
orang-orang Islam yang bangkit meminta kerajaan melaksanakan hukum-hukum Allah
Ta’ala itu sebagai militan, pengganas, ekstremis, penderhaka kepada kerajaan,
negara dan sebagainya.
Kerajaan-kerajaan orang-orang Islam tidak mempunyai jati
diri sebagai orang Islam yang beriman dan
bertaqwa untuk melaksanakan perintah-perintah Allah Ta’ala kecuali sedikit sahaja
daripada perintah-perintahNya yang bersesuaian dengan mereka, yang diikuti
kerajaan-kerajaan tersebut . Pada masa
yang sama, mereka mengikuti gaya hidup kafir, berlaku ingkar perintah-perintah
Allah Ta’ala dan suka kepada perkara-perkara maksiat dalam pemerintahan mereka.
Mereka sebenarnya adalah penipu terhadap Agama Allah
Ta’ala. Hukum-hukum Allah tidak
dilaksanakan sepenuhnya, undang-undang jahiliyah rekaan mereka dimartabatkan
setinggi-tingginya.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 142, maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan
tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang
mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka
(dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri
hendak solat, mereka berdiri dengan malas.
Mereka (hanya bertujuan) ria’ (memperlihatkan solatnya) kepada manusia
(supaya disangka bahawa mereka orang-orang yang beriman), dan mereka pula tidak
mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali
(jarang-jarang).” Ayat 142
KING KETUA AGAMA ISLAM
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 19, maksudnya:
“Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredai) di
sisi Allah ialah ISLAM” Ayat 19
Mengikut perlembagaan yang diciptakan sendiri, kerajaan
meletakan King atau lain-lain gelaran ketua negara, juga secara “implied”
sebagai KETUA AGAMA ISLAM, sedangkan Kings dan mana-mana makhluk sama ada jinn
atau manusia, sama sekali tidak layak menjadi KETUA AGAMA ISLAM, kerana AGAMA
ISLAM adalah Agama di sisi Allah sahaja dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam adalah Rasul Allah dan bukan KETUA AGAMA ISLAM, begitu juga Nabi-nabi
dan Rasul-rasul Allah sekaliannya bukan KETUA AGAMA.
Berdasarkan kepada firman Allah Ta’ala tersebut di atas,
maka menjadi satu kesalahan besar dan berdosa apabila manusia mengaku diri
mereka atau mereka dilantik sebagai pemimpin atau memegang kuasa pemerintahan
dianggap KETUA AGAMA ISLAM kerana perbuatan itu menandingi kuasa Allah Ta’ala. Na’uzubillahi min zalik.
HUKUM-HUKUM ALLAH
DIPERLEKEHKAN
Saudi King, walaupun pada masa sekarang ini, menubuhkan
majlis musyawarah yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang yang disebut
sebagai ahli-ahli agama Islam yang dikatakan mengikut Al-Quran dan Sunnah Nabi
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Sebenarnya apa yang berlaku, keputusan-keputusan atas
sesuatu hukum atau peraturan dalam agama Islam bercanggah dari masa ke semasa
mengikut kehendak dan keadaan dan tidak mengikut hukum-hukum yang telah ada
dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang sedia dipakai oleh
para sahabat, ulamak-ulamak muktabar dan ahlissunnah waljamaah. Lebih-lebih lagi kuasa perundangan yang
tertinggi dalam negara adalah terletak di bawah kuasa King “legislation by
King’s decree”.
Saudi King dan kabinet kerajaannya yang mengubah suai “modify”
hukum-hukum dan perintah Allah Ta’ala dan RasulNya, yakni beriman kepada sesetengah
hukum dan kufur kepada sesetengah hukum yang lain mengikut fahaman ajaran
Wahhabi. Di samping itu mereka
menggunakan jenama yang kukuh iaitu “Wahhabi
Salafi” cantuman jenama Wahhabi untuk mengaburi mata umat Islam sedunia.
GOLONGAN SALAFI
“Salafi” bermaksud generasi umat Islam yang terawal iaitu
golongan yang terdiri daripada para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in, yang hidup sebelum hijrah sehingga
300 tahun selepas hijrah.
Melihat kepada Saudi King dan pemerintah-pemerintah kerajaan
negeri orang-orang Islam “Muslim States” yang ada sekarang ini, didapati mengakui
mengikuti Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam hanya dijadikan
topeng untuk memperbodoh-bodohkan rakyat dan menipu seluruh umat Islam sedunia.
Buktinya, walaupun pemerintah yang terdiri daripada orang-orang
Islam membaca Al-Quran dan Hadis, menyebut Allahu Akbar –Allah Yang Maha
Besar, mengakui Allah yang menciptakan
langit dan bumi dan segala yang ada di antaranya, dan Allah jua yang menciptakan
manusia; mereka menolak Al-Quran dan
Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kerana mereka tetap yakin dan percaya
kepada undang-undang yang diciptakan oleh manusia lebih tinggi daripada
undang-undang Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 50, maksudnya:
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi
kepada hukum-hukum JAHILIYAH? Padahal -
kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat
hukum yang lebih baik daripada Allah.” Ayat
50
GERUNKAN KAFIR YAHUDI
Makkah Al-Mukarramah di mana terletaknya Ka’abah yang
menjadi Qiblat kepada umat Islam seluruh dunia, dan Masjidil Haram yang menjadi
pusat perjumpaan dalam perhimpunan agong sedunia adalah satu-satunya tempat, tanah
yang teramat mulia.
Di sanalah terbitnya pancaran cahaya Islam yang dibawa oleh
Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kerajaan yang
memerintah tempat yang mulia itu wajib menjalankan hukum-hukum Allah Ta’ala sepenuhnya
supaya dapat menjadi contoh kepada umat Islam sedunia.
Sehingga kini tahun 2012, sudah 82 tahun Kerajaan Saudi
mentadbir dua Tanah Suci, Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah tidak
melaksanakan hukum-hukum Allah Ta’ala sepenuhnya, walaupun Saudi menyebut
bahawa Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai sumber
undang-undang yang digunapakai.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 44, Ayat 45 dan Ayat 47, maksudnya :
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah
orang-orang yang kafir.” Ayat 44
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim.” Ayat 45
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” Ayat 47
Kerajaan Saudi juga menjadi sekutu kepada Amerika Syarikat
dan Yahudi, walaupun kerajaan Yahudi tidak ada wakilnya di Saudi. Segala urusan dan perdagangan di antara
negara Yahudi dan kerajaan Saudi adalah melalui negara ketiga, sepertimana
negeri-negeri orang-orang Islam “Muslim States” lain yang tidak ada wakil
Yahudi di negara mereka.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 51 dan Ayat 52, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan
Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada
setengahnya yang lain; dan sesiapa di
antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah
dari golongan mereka itu. Sesungguhnya
Allah tidak memberikan pertunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” Ayat 51
“Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang
(munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri
kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana.” Ayat 52
SODAQO RASULULLAH
SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
Setiap kejadian baik atau buruk ke atas umat Islam sama ada
bangsa Arab atau Ajam, telah diberitahu dan mendapat peringatan melalui Sabda
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Di antaranya ialah kejadian yang menimpa bangsa Arab
khususnya yang telah diberitahu oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Perkara itu benar-benar berlaku pada akhir
zaman ini iaitu fitnah huru-hara, berbunuh-bunuhan, berperang-perangan dan
pertumpahan darah sesama Islam. Ianya merebak di kalangan orang-orang Arab
kerana mereka tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya.
Apabila Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam ditinggalkan, maka banyaklah kejahatan yang berlaku di kalangan bangsa
Arab.
Perkara ini juga berlaku di kalangan bangsa-bangsa lain yang
beragama Islam yang tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya, sebagaimana
dikhabarkan dalam sebuah Hadis berikut:
“Daripada Abdullah bin ‘Amru katanya: ‘Telah
bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Didapati fitnah itu menyapu
ia akan ‘Arab yang mati-matinya dalam neraka, lidah padanya lebih (tajam)
daripada pedang.” Ghariib
Imam Ahmad meriwayatkan dari Zainab bint Jahsy, isteri Nabi
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa Zainab menyatakan bahawa Nabi
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bangun dari tidurnya dengan wajah
merah dan bersabda:
“Laa Ilaaha Illallah, celakalah bangsa ‘Arab
dari kejahatan yang telah dekat. Hari
ini dinding penutup Ya’juj dan Ma’juj telah terbuka seperti ini.” Lalu Baginda melingkarkan ibu jarinya pada
telunjuknya. Aku (Zainab) pun
bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah kita
akan binasa sedang di antara kita masih ada orang-orang soleh?” Baginda menjawab: “Ya, apabila telah banyak kejahatan.” Sahih,
Muslim dan Bukhari.
Hari Jumaat
24 Zulhijjah 1433 Hijriyah
9 November 2012