Friday, November 30, 2018

KETIKA ALLAH MENCIPTA SYURGA DAN NERAKA


Daripada Abi Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Apabila ALLAH TA’ALA telah mencipta syurga, ALLAH TA’ALA berkata kepada Jibrail ‘Alaihissalam,  “Pergi dan lihatlah syurga.”  Jibrail ‘Alaihissalam pergi dan melihatnya kemudian datang kembali lantas berkata,  “Wahai Tuhanku, demi Kemuliaan-Mu, sesiapa yang mendengarnya pasti akan memasukinya yakni akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memasukinya.

Kemudian ALLAH TA’ALA meliputi syurga dengan perkara yang dibenci yakni perlu mentaati hukum hakam syariat yang biasanya nafsu tidak menyukainya.  Kemudian ALLAH TA’ALA berfirman,  “Wahai Jibrail!  Sekarang pergi dan lihatlah kepadanya.”  Jibrail ‘Alaihissalam pun pergi dan melihatnya, kemudian dia datang kembali seraya berkata,  “Wahai Tuhanku, demi Kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku takut tidak ada seorang pun yang dapat memasukinya.”

Apabila ALLAH TA’ALA menjadikan neraka, ALLAH TA’ALA berfirman,  “Wahai Jibrail!  Pergi dan lihatlah keadaan neraka.”  Maka Jibrail ‘Alaihissalam pun pergi dan melihatnya kemudian dia datang kembali seraya berkata,  “Wahai Tuhanku, demi Kemuliaan-Mu, sesiapa yang mendengarnya pasti dia akan menjauhinya yakni dia berusaha bersungguh-sungguh supa tidak memasukinya.”

Kemudian ALLAH TA’ALA meliputinya denga keinginan-keinginan nafsu kemudian ALLAH TA’ALA berfirman,  “Wahai Jibrail!  Pergi dan lihatlah keadaannya.”  Maka Jibrail ‘Alaihissalam pun pergi dan melihat keadaannya kemudia dia datang kembali seraya berkata,  “Wahai Tuhanku, demi Kemuliaan-Mu dan Ketinggian-Mu, sesungguhnya aku takut tidak aka nada seorang pun yang terselamat daripadanya.”   (Abu Daud)


  
Hari Juma’at
22 Rabi’ulAwwal 1440 Hijriyah
30 November 2018

Friday, August 31, 2018

AMALAN UNTUK MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH TA'ALA


Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata: saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Ada tiga orang daripada kalangan umat sebelum kamu telah keluar (bermusafir). (Mereka berjalan dan berjalan sehingga  waktu telah malam) maka untuk bermalam mereka telah masuk ke dalam sebuah gua.  

Semasa bermalam di situ, satu batu besar dari bukit telah jatuh lalu menutup pintu gua tersebut.

Mereka berkata bahawa perkara yang boleh menyelamatkan kita daripada batu besar ini hanyalah berdoa kepada ALLAH TA’ALA dengan perantaraan amalan-amalan kita yang soleh.  (Lantaran itu setiap orang daripada mereka telah berdoa dengan perantaraan amalan soleh masing-masing.)

Salah seorang daripada mereka berkata: “Ya ALLAH, (Engkau tahu bahawa) kedua-dua ibu bapa saya tersangat tua.  Saya mesti memberi minum susu kepada mereka berdua dahulu sebelum ahli keluarga saya dan hamba sahaya saya.  

Pada suatu hari saya telah keluar pergi jauh kerana mencari sesuatu. Apabila saya pulang kedua-dua mereka telah pun tidur.  Walaupun demikian saya memerah susu waktu petang untuk mereka (dan membawa mangkuk yang berisi susu kepada mereka) dan saya mendapati kedua-dua mereka (pada masa itu pun) masih tidur.  Saya tidak sampai hati untuk membangunkan mereka dan saya juga tidak tergamak untuk memberi minum kepada ahli keluarga dan hamba-hamba sahaya sebelum mereka. 

Saya telah memegang mangkuk susu sambil berdiri hampir dengan kepala mereka menunggu mereka bangun.  Sehinggalah terbit fajar barulah mereka bangun (dan saya pun memberi susu kepada mereka).  Pada masa itu barulah mereka minum susu waktu petang mereka.

 Ya ALLAH, sekiranya saya melakukan amalan ini semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Mu, maka selamatkanlah kami daripada musibah yang menimpa kami akibat batu besar ini.” 

Hasil daripada doa itu, batu besar tersebut telah berganjak sedikit namun mereka masih belum dapat keluar.”


Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi: 

“Orang kedua pula berdoa:  “Ya ALLAH, saya mempunyai seorang sepupu perempuan yang sangat saya sukai. 

Pada suatu ketika, saya telah mencuba untuk melepaskan tuntutan nafsu saya dengannya tetapi dia tidak bersedia sehinggalah pada suatu masa keadaan kemarau yang bersangatan telah memaksanya datang kepada saya.

 Saya telah memberi kepadanya seratus dua puluh dinar dengan syarat dia bertemu saya secara sembunyi dan dia telah bersedia. 

Apabila saya dapat menguasainya (dan hampir saya menunaikan tuntutan syahwat saya dengannya) dia berkata: “Tidak halal bagi kamu memecahkan mohor tanpa haknya (menodai).”  (Mendengarkan kata-kata itu) saya tidak jadi menyempurnakan niat saya yang buruk dan saya telah menjauhkan diri daripadanya sedangkan dia ialah orang yang paling saya sukai dan saya juga telah meninggalkan dinar-dinar yang telah saya berikan kepadanya.

 Ya ALLAH, sekiranya saya lakukan perkara ini kerana keredhaan-Mu, maka jauhkanlah musibah yang sedang kami alami ini.”

Lantaran itu batu besar tersebut telah berganjak lagi namun mereka masih belum dapat keluar.”


Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi bahawa orang ketiga pula berdoa:

“Ya ALLAH, saya telah mengupah beberapa orang kuli dan saya membayar upah mereka kecuali seorang. 

Dia telah pergi tanpa mengambil upahya.  Saya telah laburkan upahnya itu dalam perniagaan sehingga hartanya itu bertambah banyak. 

Setelah beberapa lama dia datang dan berkata: “Wahai hamba ALLAH, bayarlah upah saya.” 

Saya menjawab bahawa ini semua, unta, lembu, kambing dan hamba sahaya ialah upah kamu.” 

Dia berkata: “Wahai hamba ALLAH, janganlah bergurau.” 

Saya berkata:  “Saya tidak bergurau (saya memberitahu yang sebenar) lalu (selepas penerangan saya) dia telah mengambil semua harta tanpa meninggalkan sedikit pun. 

Ya ALLAH, sekiranya saya lakukan ini semata-mata untuk mendapat keredhaan-Mu, maka jauhkanlah musibah yang sedang kami alami ini.”

Lalu batu besar itu berganjak lagi dan mereka semua telah dapat keluar.”   (Bukhari)  



Hari Juma’at
19 Dzulhijjah 1439 Hijriyah
31 Ogos 2018



Friday, August 17, 2018

RAMBUT CACAK-CACAKAN


Bila generasi muda kafir dan generasi muda yang serupa dengan mereka dari Eropah, Amerika Syarikat yang kehidupan mereka dalam kesesatan, mencari-cari ketenangan jiwa dan mahukan kebahagiaan dan kepuasan hidup; mereka membuat pelbagai perubahan gaya hidup mereka dengan berbagai-bagai cara termasuk cara pakaian dan gaya potongan rambut.

Mereka memakai pakaian-pakaian yang mendedahkan aurat yang boleh dilihat tumbul-tumbul daging badan, seluar ketat, baju sendat dan seluar yang elok sengaja dirobek agar ia menjadi koyak rabak dan bertampal di sana sini.

Bagi generasi muda lelaki, selain dari berpakaian compang-camping, mereka bergaya dengan berbagai potongan rambut. Mereka membiarkan rambut mereka panjang berserobeh hingga ke belakang, berbotak “skin head”, potongan rambut “punk”, potongan rambut “Mohawk” dan bermacam-macam lagi stail potongan rambut mereka.

Namun semua usaha mereka itu tidak kesampaian dan mustahil mereka ketemu apa yang mereka cari-cari iaitu ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup mereka. Mereka terus sesat dan lalai dalam kehidupan seharian mereka.

Kini datang pula stail potongan rambut cacak-cacakan bagi lelaki.
Potongan rambut cacak-cacakan itu sudah menjadi trend bagi sesetengah kanak-kanak, remaja dan orang dewasa di Malaysia sekarang ini.


MENGHARGAI RAMBUT

Bagi orang-orang yang beriman, penjagaan kebersihan dan penampilan diri amatlah penting. Mengenai penjagaan rambut, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang orang-orang Islam mukmin tidak menjaga dan merapikan rambut mereka dan membiarkan rambut mereka kusut masai dan menjadikan rambut mereka cacak-cacakan.

Atha bin Yassar radhiallahu ‘anh meriwayatkan sebuah Hadis seperti berikut:

“Pada suatu hari ada seorang datang mengadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam keadaan rambut dan janggutnya sangat kusut dan tidak teratur.

Melihat itu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memberi isyarat seolah-olah memerintahkan supaya orang itu merapikan rambut. Orang itu segera berbuat seperti yang diisyaratkan.

Setelah ia pergi meninggalkan tempat, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada para sahabat: “Tidakkah itu lebih baik, daripada kalau seseorang di antara kamu datang dengan rambut kusut seolah-olah seperti syaitan.”   (Malik)

Dalam Hadis yang lain, Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anh meriwayatkan sebagai berikut:

“Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat seorang berambut cacak-cacakan, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kemudian bersabda: “Apakah orang itu tidak dapat menemukan sesuatu untuk merapikan rambutnya?”   (Abu Daud)


Hari Juma’at
5 Dzulhijjah 1439 Hijriyah
17 Ogos 2018


Friday, March 23, 2018

KACANG LUPAKAN KULITNYA

(Man unduly forgets)


Ada sejenis manusia, apabila ia merasai kuat tenaga, sihat tubuh badan, senang lenang, banyak harta benda dan anak pinak, ia berlaku sombong bongkak terhadap ALLAH TA’ALA yang mengurniakan semua itu kepadanya.

Lupanya ia, ketika ia dilahirkan lemah selemah-lemahnya, tiada kuasa, tiada kekuatan, tidak tahu apa-apa, tidak tahu membaca dan menulis, dan tiada harta benda yang dibawa bersamanya.

Lupanya ia, akan firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-‘Alaq, Ayat 1 hingga Ayat 7, maksudnya:

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama (Allah) Tuhanmu Yang Menciptakan (sekalian makhluk),”   (Ayat 1)

“Read! In the Name of your Lord (Allah) Who has created (all that exists).”   (V96: 1)

“Ia (Allah) menciptakan manusia dari sebuku darah beku;”   (Ayat 2)

“He (Allah) has created man from a clot (a piece of thick coagulated blood).”    (V96: 2)

“Bacalah! Dan (Allah) Tuhanmu Yang Maha Pemurah,   (Ayat 3)

“Read! And your Lord (Allah) is the Most Generous.”   (V96: 3)

“Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,”   (Ayat 4)

“Who has taught (the writing) by the pen.”   (V96: 4)

“Ia (Allah) mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”   (Ayat 5)

“He has taught man that which he knew not.”    (V96: 5)

“Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (berlaku sombong)”   (Ayat 6)

“Nay! Verily, man does transgress (in disbelief and evil deed).”    (V96: 6)

“Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup (kuat) dengan apa yang dihajatinya (kaya).”   (Ayat 7)

“Because he considers himself self-sufficient.”    (V96: 7)


Hari Juma’at
5 Rejab 1439 Hijriyah
23 Mac 2018

Friday, February 23, 2018

SOLAT WITIR


Daripada Kharijah bin Huzaifah radhiallahu ‘anh berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah datang berjumpa kami lalu bersabda, mafhumnya :

“Sesungguhnya ALLAH TA’ALA telah menambahkan untuk kamu satu solat lagi.  Solat itu lebih baik bagi kamu daripada unta-unta merah.

Solat itu ialah Solat Witir.

ALLAH TA’ALA telah menentukan untuk kamu (waktu solat itu) ialah antara solat ‘Isyak hingga terbit fajar.”   (Abu Daud)


Keterangan :  Dalam kalangan orang Arab, unta merah dianggap satu harta yang sangat bernilai.




Hari Juma’at
7 JamadilAkhir 1439 Hijriyah
23 Februari 2018


Friday, January 19, 2018

KASIH DAN BENCI


Daripada Abi Umamah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesiapa yang kasihkan seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, membenci seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, memberi (kepada seseorang) semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, tidak memberi kepada seseorang pun semata-mata kerana ALLAH TA’ALA maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan IMAN.”   (Abu Daud)
  

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bertanya kepada Abu Zar radhiallahu ‘anh, mafhumnya:

“Yang mana satukah ikatan Islam yang paling kukuh?”

Abu Zar radhiallahu ‘anh telah menjawab: “ALLAH TA’ALA dan RasulNya yang lebih mengetahui (oleh kerana itu, Tuanlah yang berikan jawaban).”

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Berhubung baik serta tolong menolong semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, mengasihi seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, membenci seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA.”   (Baihaqi)

Keterangan:  Maksudnya ialah, antara cabang iman, cabang yang paling mantap dan kuat ialah apabila seseorang itu berurusan dengan sesiapa sahaja di dunia ini, sama ada untuk membina hubungan atau memutuskan hubungan, mengasihi seseorang atau bermusuh dengan seseorang adalah bukan kerana tuntutan nafsu sendiri tetapi semata-mata kerana ALLAH TA’ALA dan semata-mata kerana menunaikan perintah ALLAH TA’ALA.   (Muntakhab Ahadis)



Hari Juma’at
2 JamadilAwal 1439 Hijriyah
19 Januari 2018