Friday, February 23, 2018

SOLAT WITIR


Daripada Kharijah bin Huzaifah radhiallahu ‘anh berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah datang berjumpa kami lalu bersabda, mafhumnya :

“Sesungguhnya ALLAH TA’ALA telah menambahkan untuk kamu satu solat lagi.  Solat itu lebih baik bagi kamu daripada unta-unta merah.

Solat itu ialah Solat Witir.

ALLAH TA’ALA telah menentukan untuk kamu (waktu solat itu) ialah antara solat ‘Isyak hingga terbit fajar.”   (Abu Daud)


Keterangan :  Dalam kalangan orang Arab, unta merah dianggap satu harta yang sangat bernilai.




Hari Juma’at
7 JamadilAkhir 1439 Hijriyah
23 Februari 2018


Friday, January 19, 2018

KASIH DAN BENCI


Daripada Abi Umamah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesiapa yang kasihkan seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, membenci seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, memberi (kepada seseorang) semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, tidak memberi kepada seseorang pun semata-mata kerana ALLAH TA’ALA maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan IMAN.”   (Abu Daud)
  

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bertanya kepada Abu Zar radhiallahu ‘anh, mafhumnya:

“Yang mana satukah ikatan Islam yang paling kukuh?”

Abu Zar radhiallahu ‘anh telah menjawab: “ALLAH TA’ALA dan RasulNya yang lebih mengetahui (oleh kerana itu, Tuanlah yang berikan jawaban).”

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Berhubung baik serta tolong menolong semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, mengasihi seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, membenci seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA.”   (Baihaqi)

Keterangan:  Maksudnya ialah, antara cabang iman, cabang yang paling mantap dan kuat ialah apabila seseorang itu berurusan dengan sesiapa sahaja di dunia ini, sama ada untuk membina hubungan atau memutuskan hubungan, mengasihi seseorang atau bermusuh dengan seseorang adalah bukan kerana tuntutan nafsu sendiri tetapi semata-mata kerana ALLAH TA’ALA dan semata-mata kerana menunaikan perintah ALLAH TA’ALA.   (Muntakhab Ahadis)



Hari Juma’at
2 JamadilAwal 1439 Hijriyah
19 Januari 2018


Saturday, December 9, 2017

HAK AKU HASIL USAHAKU


ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah Fussilat, Ayat 49 dan Ayat 50, maksudnya:

“Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan.  Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan ALLAH).”   (Ayat 49)

“Dan demi sesungguhnya!  Jika Kami (ALLAH) beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami (ALLAH) sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): 

“Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari Kiamat akan berlaku; 

dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!” 

Maka demi sesungguhnya!  Kami (ALLAH) akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami (ALLAH) akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.”   (Ayat 50)


ALLAH TA’ALA says:

“Man (the disbeliever) does not get tired of asking good (things from ALLAH); but if an evil touches him, then he gives up all hope and is lost in despair.”   (V41: 49)

“And truly, if We (ALLAH) give him a taste of mercy from Us, after some adversity (severe poverty or disease) has touched him he is sure to say:

“This is due to my (merit); I think not that the Hour (Qiamat) will be established.  But if I am brought back to my Lord (ALLAH), surely there will be for me the best (wealth) with Him.

Then, We (ALLAH) verily will show to the disbelievers what they have done, and We (ALLAH) shall make them taste a severe torment.”   (V41: 50)



Hari Sabtu
9 Disember 2017


Friday, June 23, 2017

KAMPUNG HOTEL DAN HOMESTAY


(Bahagian I)


TUNJANG KELUARGA

IBU BAPA TUNJANG DALAM KELUARGA

Lazimnya orang Melayu Islam di Tanah Melayu ini, pada setiap tahun tatkala menyambut hari lebaran ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha, yang masih ada kedua-dua orang tuanya atau salah seorang ibu atau bapanya, bagi mereka yang mempunyai kemampuan, kelapangan masa dan kesihatan, mereka akan balik menziarahi orang tua mereka itu.

Terutamanya bagi anak lelaki, ia akan balik ke rumah orang tuanya saban masa sebagai kewajiban ke atas dirinya untuk berbakti sebelum ajal datang menjemput.

Kandati pun begitu, di samping anak-anak lelaki yang ada kemudahan dan kelapangan tersebut, terdapat juga anak-anak yang kurang daya untuk berbuat demikian yakni balik menziarahi orang tua mereka di atas sebab kesempitan hidup atau jauh tempat tinggal.

Walau bagaimanapun  keadaan mereka, disebabkan perasaan tanggungjawab terhadap orang tua mereka, anak-anak lelaki perlu berusaha merancang serta membuat persediaan dan mengatur perjalanan mereka. 

Bagi anak lelaki yang berkeluarga, membawa isteri dan anak-anaknya  balik ke rumah orang tuanya serta tinggal dan berbakti kepada orang tuanya seberapa lama yang dapat selagi masih ada hayat orang tuanya, maka ia merancang dan menguruskan hal kewangan, perbelanjaan, jadual kerja serta cuti dan sebagainya dari awal-awal lagi.

Sekiranya kedua orang tua mereka sudah tiada lagi, perkara-perkara di atas tidak lagi ada keperluan untuk mereka bersusah payah melakukannya.


BALIK KAMPUNG

Istilah “balik kampung” – apakah maksudnya.  Dulu jika disebut “balik kampung”, terbayang rumah kampung diperbuat dari kayu, dalam kawasan sawah padi atau ladang atau kebun yang udaranya basa basi dan nyaman sekali.

Sekarang ini, sudah tidak wujud lagi perkampungan seperti itu kerana telah ditukar ganti dengan taman-taman perumahan, pekan yang dibangunkan dengan “mall-mall” dan kompleks membeli-belah.

Kebanyakan orang Melayu Islam dipindahkan dan tinggal di taman-taman perumahan samada rumah tersebut disewa atau dibeli di pinggir-pinggir pekan, bandar atau kota.  Ada juga yang tinggal di kondo atau “flat” di dalam bandar.

Ada sesetengah rumah orang Melayu Islam hanya selesa bagi satu keluarga sahaja iaitu rumah tersebut mempunyai tiga bilik tidur, satu ruang tamu, satu dapur dan bilik air dan ada juga yang lebih kecil dari itu.


RUMAH IBU BAPA

Ibu bapa adalah tunjang bagi anak lelaki maka mereka harus diberi segala keistimewaan dan tinggal berasingan di rumah mereka sendiri untuk keselesaan mereka dan untuk memudahkan anak lelaki mereka dan keluarganya untuk menjenguk dan menziarahi mereka pada bila-bila masa.

Anak lelaki, terutamanya, hendaklah sentiasa menghargai dengan nilai yang tinggi  jasa ibu bapanya kerana ibu bapanya itulah tempat percambahan nasab keturunan melalui zuriat lelaki dalam keluarga yang dibina.

Jika dapat, sebaik-baiknya tempat tinggal ibu bapa yakni rumah mereka berada berdekatan dengan rumah anak-anak mereka dalam kawasan perumahan yang sama atau bersebelahan dengan rumah anak-anak mereka.

Ini membolehkan dan bersesuaian rumah ibu bapa mereka menjadi tempat berhimpun, berjemaah, tempat bermuzakarrah dan bermesyuarat serta lain-lain kegiatan silaturrahim.

Walau apapun, segala-galanya terletak di atas bahu anak-anak lelaki untuk memungkinkan dan merealisasikan perkara-perkara tersebut berlaku.


BERKUMPUL PADA HARI RAYA

Bagi anak lelaki rumah ibu bapanya adalah tempat ia berkumpul untuk menyambut perayaan Hari Raya atau majlis-majlis yang khususnya melibatkan ibu bapa dan adik beradik.

Keutamaan diberikan kepada ibu bapa anak lelaki dan isteri serta anak-anaknya harus memahami heraki tersebut. 

Bagi anak-anak perempuan, ibu bapa mereka menjadi keutamaan yang terkemudian selepas suami mereka, ibu bapa mertua mereka.  Inilah heraki yang telah ditetapkan bagi orang Melayu Islam.


BUKAN TEMPAT PERSINGGAHAN

Anak-anak lelaki hendaklah meletakkan niat hajat hasrat secara khusus untuk semata-mata hendak berjumpa dan melihat kedua-dua atau salah seorang orang tuanya yang masih hidup dan menjadikannya “the top most priority” dalam kehidupannya, bukan menjadikan ziarah tersebut sebagai tempat persinggahan “transit” dalam perjalanan ke destinasi lain atau sebagai sampingan dalam menjalankan urusan-urusan lain. 


PERINTAH ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA

ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah Al-Israa’, Ayat 23, maksudnya:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik (berbakti) kepada kedua ibu bapa.”   ( Ayat 23)

Susunan tingkat keutamaan berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa juga diatur mengikut susunan taraf martabat di antara bapa, ibu, kerabat (saudara-saudara) terdekat dan kerabat (saudara mara) yang jauh sebagaimana tersebut dalam Hadis-Hadis dan di antaranya adalah seperti tersebut di bawah ini:

1.  Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru, daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Redho Tuhan Rabb pada redho bapanya, dan marah Tuhan Rabb pada marah bapanya.” (atTirmizi)

2.  Daripada Miqdam bin Ma’dikarib,  dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada bapamu,

sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu,

sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada keluarga-keluargamu, yang lebih dekat sebelum yang lebih jauh.”   (Ahmad)


3.  Daripada Abi Hurairah radhiallahu ‘anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!”

Lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya orang:

“Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?”

Jawab Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

“Siapa yang mendapati kedua ibu bapanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berbuat baik dan berbakti kepada mereka).”   (Muslim)  


Hari Juma’at
23 Jun 2017


Monday, October 24, 2016

BERSENANG HATI, BERKASIH SAYANG DAN BELAS KASIHAN


(mawaddatan wa rahmatan)

ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah Ar-Ruum, Ayat 20 dan Ayat 21, maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNYA (menghidupkan kamu semula), bahawa IA (ALLAH) menciptakan kamu dari tanah;  setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.”   (Ayat 20)

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNYA dan rahmatNYA, bahawa IA (ALLAH) menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis diri kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNYA di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”   (Ayat 21)


ALLAH TA’ALA says:

“And among His Signs is this, that He (ALLAH) created you (Adam) from dust, and then [Hawa (Eve) from Adam’s rib, and then his offspring from the semen, and] - behold you are human beings scattered!”   (V30: 20)

“And among His Signs is this, that He (ALLAH) created for you wives from among yourselves, that you may find repose in them, and He (ALLAH) has put between you affection and mercy.

Verily, in that are indeed signs for a people who reflect.”   (V30: 21)



Prof. Dr. Syaikh Abdulmalik bin Abdulkarim Amrullah (HAMKA) menafsirkan Ayat 21, (Tafsir Al-Azhar Juzu’ ke 21, muka surat 84-85), di antaranya seperti berikut:
  
“Tentang mawaddatan wa rahmatan. Cinta dan kasih sayang yang tersebut dalam ayat itu, dapatlah kita menafsirkan bahwa mawaddatan yang kita artinya dengan cinta, ialah kerinduan seorang laki-laki kepada seorang perempan dan seorang perempuan kepada seorang laki-laki  yang dijadikan Allah thabi’at atau kewajaran dari hidup itu sendiri.

Tiap-tiap laki-laki yang sehat dan perempuan yang sehat, senantiasa mencari teman hidup yang disertai keinginan menumpahkan kasih yang disertai kepuasan bersetubuh.

Bertambah terdapat kepuasan bersetubuh, bertambah termeterailah mawaddatan atau cinta kedua belah pihak.

Oleh sebab itu maka tidak ada salahnya dalam pandangan ajaran Islam jika kedua belah pihak suami isteri membersihkan badan, bersolek, berharum-haruman, wangi-wangian, hingga kasih mesra mawaddatan itu bertambah mendalam kedua belah pihak.

Tetapi sudahlah nyata bahwa syahwat setubuh itu tidaklah terus menerus selama hidup.

Apabila badan sudah mulai tua, laki-laki sudah lebih dari 60 tahun dan perempuan sudah mencapai 50 tahun, syahwat setubuh dengan sendirinya mulailah mengendor.

Tetapi kerana hidup bersuami isteri itu bukan semata-mata mawaddatan, bertambah mereka tua, bertambahlah kasih mesra kedua pihaknya bertambah dalam.

Itulah dia rahmatan yang kita artikan kasih sayang. Kasih sayang lebih mendalam dari cinta.

Bertambah mereka tua bangka, bertambah mendalam rahmatan kedua belah pihak. Apatah lagi bila melihat anak-anak dan cucu-cucu sudah besar-besar, sudah dewasa, bahkan sudah tegak pula ke tengah masyarakat.

Teranglah di sini bahwa hubungan laki-laki dan perempuan adalah satu di antara ayat-ayat ALLAH TA’ALA atau satu di antara berbagai ragam kebesaran Tuhan.”



Hari Isnin
23 Muharram 1438 Hijriyah
24 Oktober 2016