Adalah menjadi kebiasaan apabila seseorang atau sesebuah
famili membina atau membeli rumah atau memasukki rumah baru, memikirkan
berkaitan dengan persiapan-persiapan kelengkapan serta perhiasan dalaman dan
luar rumah.
Mereka juga merancang memagarkan rumah itu sama ada dengan
pagar keselamatan seperti membina tembok batu, besi, pagar elektronik dan sebagainya, atau pagar
pokok-pokok hiasan.
Selain daripada pagar-pagar yang tersebut di atas, khususnya
bagi sesetengah orang Melayu di Malaysia, mereka memagarkan rumah-rumah mereka dengan
bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Al-Kariim dengan mengguna perkhidmatan orang
luar dengan tujuan menjaga keselamatan rumah, harta benda dan ahli-ahli rumah
berkenaan dari gangguan manusia juga gangguan makhluk halus.
Segala usaha untuk menjaga keselamatan diri, famili dan
harta benda harus dilakukan supaya jangan ditimpa kecelakaan yang tidak
diingini. Namun begitu keterlaluan
mempercayai bahawa dengan usaha-usaha itu, dikhuatiri seseorang itu terjerumus
melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA.
Oleh itu harus diingati
bahawa usaha-usaha memagar rumah dengan jampi serapah atau menggunakan
benda-benda tertentu perlu diawasi jika dilakukan oleh orang-orang luar, sama
ada yang dikenali atau orang-orang yang
diperkenalkan kerana dalam saat-saat tertentu syaitan manusia juga menipu.
Mereka akan melakukan sesuatu perkara di luar pengetahuan pemilik rumah, seperti
meninggalkan sesuatu yang akan mengganggu hidup orang-orang yang berada di dalam
rumah berkenaan, di antaranya yang mungkin dilakukan dalam kawasan rumah ialah
seperti:
·
Menabur beras kunyit dan lain-lain bahan.
·
Menanam benda-benda seperti kertas, kulit haiwan
yang bertulis atau berajah tertentu atau logam: besi, tembaga, emas, perak dan
lain-lain.
·
Mengikat benang-benang mengelilingi kawasan
rumah.
·
Mengasapi rumah dengan bahan-bahan bakaran
tertentu.
Oleh yang demikian, adalah disarankan bahawa kerja-kerja
memagar rumah atau kediaman baru itu sebaik-baiknya dilakukan sendiri atau
bersama-sama ahli keluarga yang menduduki rumah atau kediaman berkenaan dengan
doa-doa yang diajar oleh junjungan kita Baginda Nabi Muhammad Sallallahu
‘Alaihi Wasallam, dengan ikhlas dan yakin bahawa ALLAH SUBHANAHU
WATA’ALA sahaja yang menjadi Penjaga, Pelindung dan Pemelihara.
WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.
Hari Juma’at
10 JamadilAwwal 1437 Hijriyah
19 Februari 2016