Peribahasa Melayu menyebut: “Marahkan
nyamuk, bakar kelambu”. Zaman sekarang ini bagi orang-orang yang
tinggal di bandar-bandar jarang memakai kelambu lagi. Kalau mereka
marahkan nyamuk, mereka akan menggunakan semburan racun Aerosol (AE).
Peribahasa tersebut menunjukkan betapa bengisnya
manusia apabila ia marah atas sesuatu perkara. Ia tidak dapat menahankan
lagi perasaannya dan ia sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan perasaan
marahnya itu, walaupun perbuatannya itu boleh merosakkan diri atau harta
bendanya sendiri.
Peribahasa Melayu mengenai semut ialah: “Di mana
ada gula adalah semut”. Gula biasa disimpan orang di
dapur. Namun tiada pula peribahasa yang menyatakan manusia “marahkan semut, bakar dapur”.
Walau bagaimanapun, bila seekor semut, sama ada semut
merah, semut gatal, kerengga, semut hitam, semut tiong, semut api atau apa-apa
lagi semut, manusia tidak dapat menahan marahnya.
Untuk melepaskan perasaan marahnya, manusia sanggup
membakar semut-semut yang menggigitnya. Misalnya seekor kerengga menggigitnya,
maka ia akan membuat jamung api mencucuh sarang kerengga tersebut sehingga
habis mati dan terbakar telur-telurnya. Ada juga manusia membakar semut
gatal atau semut api dengan menyiram minyak dan dibakar sarang semut-semut itu.
Ganasnya manusia.
Islam tidak melarang manusia membunuh
binatang-binatang atau serangga yang menjadi perosak kepada tanaman, makanan
dan sebagainya ketika ianya melakukan kerosakan.
Sungguhpun begitu, Islam melarang orang menyakiti dan
menganiayai atau membunuh dengan api, haiwan atau serangga atau
binatang-binatang kecil dan sebagainya, sepertimana tersebut dalam Hadis-Hadis
berikut:
Dari Abdullah bin Mas’ud, dia berkata:
“Kami pernah bersama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam dalam satu perjalanan, lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pergi
untuk melaksanakan hajatnya, kemudian kami melihat seekor burung yang berbulu
merah dengan dua telurnya dan langsung kami mengambil kedua telurnya, kemudian
datanglah burung itu dan mengembangkan sayapnya. Maka Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam datang dan bersabda: “Siapakah yang telah
menyakiti burung ini demi anaknya? Kembalikanlah anak tersebut
kepadanya.”
(Sejurus itu) Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat
sarang semut yang telah kami bakar, lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Siapakah yang membakar ini? Kami berkata: “Kami.” Maka
Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “ Sesungguhnya tidak layak bagi
sesiapapun untuk menyeksa dengan api, kecuali Dzat (Allah) yang memiliki
api.” (Sahih Sunan Abu Daud)
Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dari
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sabdanya:
“ Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para
Nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh bakar sarang semut itu, lalu
dibakarlah.
Kemudian Allah Subhanahu Wata’ala mewahyukan
kepadanya: “Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan
suatu umat yang selalu membaca tasbih.” (Sahih
Muslim)
Hari Juma’at
18 DzulHijjah 1436 Hijriyah
2 Oktober 2015
2 Oktober 2015