AIR WUDUK PERHIASAN MUKMIN
Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata: “Aku telah
mendengar kekasihku Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:
“Perhiasan orang mukmin pada hari kiamat akan
sampai sehingga ke tempat yang sampai air wuduk.” (Yakni setakat mana air wuduk
sampai pada anggota manusia setakat itulah seseorang itu akan dipakaikan
perhiasan pada hari kiamat).” (Muslim)
MENAMBAHKAN CAHAYA
Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa
beliau mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:
“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat
dalam keadaan tangan, kaki dan wajah
mereka bercahaya kerana kesan daripada wuduk yang mereka ambil.
Oleh sebab itu, sesiapa yang ingin menambahkan
cahayanya maka lakukanlah (dengan cara menambahkan kawasan basuhan anggota
wuduknya).” (Bukhari)
Keterangan: Maksudnya ialah hendaklah mengambil wuduk
dengan mengambil berat segala adab dan tertibnya sehingga tiada satu bahagian
pun daripada anggota wuduk itu yang dibiarkan tidak dibasuh. (Mazahir ul-Haq)
WUDUK YANG PALING SEMPURNA
Daripada Humran rahimahullahu ta’ala, hamba sahaya Sayyidina
‘Usman bin ‘Affan radhiallahu ‘anh yang telah dibebaskan meriwayatkan bahawa
Sayyidina ‘Usman radhiallahu ‘anh telah meminta seseorang mengambil air untuk
berwuduk.
Beliau membasuh kedua-dua tangannya tiga kali kemudian beliau
berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung.
Kemudian beliau membasuh mukanya tiga kali dan membasuh
tangan kanannya hingga ke siku tiga kali dan beliau membasuh tangan kirinya
demikian juga.
Kemudian beliau menyapu kepalanya dan kemudian beliau
membasuh kaki kanannya sehingga ke buku lali tiga kali dan kemudian beliau
membasuh kaki kirinya demikian juga.
Kemudian beliau berkata: “Saya telah melihat Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berwuduk sebagaimana wuduk saya ini kemudian
Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Sesiapa yang berwuduk sebagaimana wudukku ini
kemudian dia mendirikan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak memikirkan
tentang apa-apa pun maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.”
Ibnu Syihab rahimahullahu ta’ala berkata: “Para ulama kita
selalu berkata bahawa wuduk sebegini ialah wuduk yang paling sempurna untuk
solat.” (Muslim)
Hari Juma’at
15 Syawal 1436 Hijriyah
31 Julai 2015
31 Julai 2015