BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM
SIAPA ORANGNYA?
Saban hari siang dan malam, terdapat ramai penceramah-penceramah Agama Islam yang ralit
dan terlalu ghairah ketika berceramah apabila ada pendengar-pendengar dan penonton-penonton
bergelak ketawa semasa mendengar ceramah mereka.
Mereka bukan sahaja ralit ketika berceramah tetapi juga
sombong dan bakhil hendak mengucapkan Solawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam setiap kali mereka menyebut nama Baginda Rasul
Sallallahu ‘Alahi Wasallam atau ganti nama Baginda.
Ada penceramah-penceramah Agama Islam menyebut nama Baginda
Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Muhammad, Ahmad dan lain-lain nama tanpa Solawat, maka sebutan nama yang tidak ada
Solawat, ianya bukan ditujukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
kerana terdapat ramai manusia yang bernama Muhammad atau Ahmad, samada yang masih
hidup ataupun yang telah mati.
Begitu juga terdapat ramai daripada orang-orang Islam yang
jahil, yang jarang-jarang atau sambil lewa bersolawat ke atas Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
ADA TIPU MUSLIHAT
Adapun bagi pembawa-pembawa ajaran politik fahaman Wahabi/Salafi
yang amat taksub kepada pemimpin mereka
iaitu Muhammad bin Abdul Wahab (1703 – 1792), dan begitu juga pengikut-pengikut
fahaman Ahmadiyah yang dibawa oleh Mirza Ahmad Qadiani (1835 – 1908), sering
kali mereka tidak bersolawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
tatkala mereka menyebut nama atau ganti nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam, atau pada masa-masa yang disebut nama atau ganti nama Baginda Rasul Sallallahu
‘Alaihi Wasallam, kecuali solawat mereka itu bagi tujuan tipu muslihat semata-mata.
SOLAWAT ADALAH
PERINTAH ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA
Solawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam adalah perintah Allah Ta’ala ke atas semua orang-orang yang
beriman. Oleh itu mana-mana orang yang
beriman yang tidak melaksanakan perintah tersebut adalah melanggar perintah Allah
Ta’ala.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 56, maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya bersolawat
kepada Nabi (Muhammad Sallallahu ‘Alahi Wasallam); wahai orang-orang yang
beriman, bersolawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan yang sepenuhnya.” Ayat
56
CELAKA ORANG YANG
TIDAK BERSOLAWAT
Diriwayatkan dari Anas radhiAllahu ‘anh, ketika Nabi
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam naik ke atas mimbar, Baginda mengucapkan: “Amiin,
Amiin, Amiin.” Maka ada yang bertanya:
“Apakah yang engkau aminkan, ya Rasulullah?”
Baginda bersabda:
“Aku telah didatangi oleh Jibril a.s., dia
berkata: “Wahai Muhammad, sangat hina orang yang namamu disebutkan di sisinya,
namun ia tidak mengucapkan solawat kepadamu, ucapkanlah: “Amiin (semoga Allah
mengabulkan)!” Maka aku pun
mengucapkannya.
Lalu Jibril a.s. kembali lagi: “Sangat hina
orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan (hingga hari terakhir), namun tidak
ada ampunan baginya, ucapkanlah: “Amiin!”
Maka aku pun mengucapkannya.
Kemudian Jibril a.s. berkata lagi: “Sangat hina
seseorang yang sempat menemui kedua orang tuanya (ketika masih hidup) atau
salah satu di antara keduanya (masih hidup), namun keduanya tidak
menyebabkannya masuk syurga, ucapkanlah: “Amiin!” Maka aku pun mengucapkannya.” At-Tirmidzi
FADHILAT-FADHILAT
SOLAWAT
Terdapat beberapa Hadis-hadis yang menyebutkan fadhilat-fadhilat
dan faedah-faedah bagi sesiapa yang bersolawat
kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, di antaranya:
1. Berganda-ganda rahmat yang dilimpahkan Allah
kepadanya. Rahmat Allah adalah satu
perkara yang sangat-sangat dikehendakki dan yang sungguh-sungguh dipohon oleh
tiap-tiap orang yang beriman, kerana sebarang nikmat, ilmu pengetahuan, anak
pinak, harta benda, pengaruh dan kebesaran, kalau tidak disertai oleh rahmat
Allah akan menjadi bala bencana.
Oleh sebab itu Allah memerintah orang-orang yang beriman bergembira dengan
rahmat kasih sayangNya sahaja.
2. Tempat-tempat yang berdekatan dengan Nabi
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari qiamat kelak di mana sahaja
Baginda berada.
3. Keutamaan beroleh syafa’at yang khas dari Nabi
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari qiamat.
4. Doa Solawat malaikat yang sentiasa bersolawat
kepadanya selama ia bersolawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam.
5. Jaminan terpeliharanya dan terselamatnya
daripada segala apa yang mendukacitakannya dan yang membimbangkannya dari
perkara-perkara dunia dan akhirat.
6. Habuan yang menyelamatkan dia daripada ditimpa
keburukan yang menimpa orang yang tidak bersolawat kepada Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Berikut adalah beberapa Hadis rujukan:
1. “Dari Abi Hurairah
radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Sesiapa yang bersolawat kepadaku sekali
solawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali
solawat itu.” – Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Nasai, Imam Ahmad dan Ibn
Habban.”
2. “Dari Anas radhiAllahu
‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Sesungguhnya orang yang lebih hampir
kepadaku dari kalangan kamu pada hari
qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak
solawatnya kepadaku di dunia.” – AlBaihaqi.”
3. “Dari Ibn Mas’ud
radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Orang yang lebih berhak mendapat syafa’atku
pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak solawatnya kepadaku.” –
AtTarmidzi.”
4 “Dari ‘Amir bin
Rabi’ah radhiAllahu ‘anh, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda:
“Sesiapa yang bersolawat kepadaku dengan
sesuatu Solawat, sentiasalah malaikat berdoa untuknya selama ia bersolawat
kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang samada ia hendak bersolawat
sedikit atau banyak.” – Imam Ahmad dan Ibn Majah.”
5. “Dari Ubai bin
Ka’b radhiAllahu ‘anh, katanya:
“Ya Rasulullah! Aku
banyak menggunakan masa berdoa memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak
untukkan masa bersolawat bagi tuan, maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?
Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Sekadar mana yang engkau suka”;
Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”;
Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; “Sekadar mana yang engkau suka dan jika engkau lebihkan lagi,
maka itu lebih baik untukmu”;
Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku”;
Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Suka hatimulah, dan
jika engkau lebihkan lagi, maka itu
lebih baik untukmu”;
Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari
masaku”;
Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik
untukmu”;
Aku berkata: “(kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku
semuanya untuk bersolawat kepada tuan”;
Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari
apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu,
samada perkara dunia mahupun perkara akhirat, dan diampunkan dosamu.” – AtTirmidzi,
Imam Ahmad, AlHakam.”
Hari Jumaat
28 Rabi’ulAkhir 1435 Hijriyah
28 Februari 2014