HIDANGAN DARI LANGIT
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 112, Ayat 113, Ayat 114, dan Ayat 115,
maksudnya:
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang Hawariyiin
berkata: “Wahai ‘Isa Ibn Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan
kepada kami satu hidangan dari langit?”
Nabi ‘Isa menjawab: “Bertaqwalah
kamu kepada Allah jika benar kamu
orang-orang yang beriman.” Ayat
112
“Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan
itu (untuk mengambil berat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga
supaya kami ketahui dengan yaqin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata
benar kepada kami, dan supaya menjadilah
kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri.”
Ayat 113
“’Isa Ibn Maryam (pun berdoa ke hadhrat Allah
Ta’ala dengan) berkata: “Ya Allah, Tuhan
kami! Turunkanlah kiranya kepada kami
satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang
ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu
tanda (mukjizat) daripadaMu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana
Engkau (Allah) jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.” Ayat 114
“Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku (Allah) akan menurunkan
hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur
ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku (Allah) akan
menyiksanya dengan azab sengsara yang
tidak pernah Aku (Allah) siksakan seseorang pun dari sekalian makhluk.” Ayat 115
ROTI DAN DAGING IKAN
Sesungguhnya isi hidangan yang turun dari langit itu ada
banyak riwayatnya. Satu daripadanya yang
dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi katanya:
“Daripada ‘Ammar bin Yasir katanya: “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam: Diturunkan hidangan dari langit akan roti dan daging ikan dan disuruh
mereka itu bahawa tiada khianat mereka itu dan jangan disimpan mereka itu bagi
(untuk) besok. Maka khianat mereka itu
dan disimpan oleh mereka itu dan diangkat mereka itu untuk besok, maka
dihapuskan mereka itu menjadi kera dan babi.” Gharib.
Apabila diturunkan hidangan dari langit yang berisi dengan
roti dan daging ikan itu, maka dimakan oleh orang fakir dan orang miskin dan
orang sakit dan lain-lainnya kecuali orang-orang kaya. Mereka sombong dan enggan memakannya kerana
pada pandangan mereka makanan roti dan daging ikan itu tidak layak dimakan oleh
mereka.
Setiap orang fakir, orang miskin, yang sakit, yang makan
makanan hidangan itu, semuanya menjadi sihat.
ORANG-ORANG KAYA KHIANAT
Sesudah dilihat oleh orang-orang kaya akan orang-orang fakir
dan orang-orang miskin, apabila mereka makan makanan itu sembuh segala penyakitnya
dan berkat, maka orang-orang kaya mula
iri hati dan mahu makan makanan hidangan itu pula.
Apa kala turun hidangan itu pada hari yang lain, maka orang-orang
kaya pun makan makanan hidangan tersebut.
Oleh kerana hidangan tersebut tidak turun tiap-tiap hari
bahkan turunnya berselang hari, maka ada orang-orang kaya yang mula kufur dan membuat
khianat iaitu mereka menyimpan hidangan itu bagi diri mereka untuk dimakan pada
besok harinya iaitu pada hari di mana hidangan itu tidak turun.
Selepas empat puluh hari turunnya hidangan itu, maka
diwahikan Allah Ta’ala kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam menjadikan hidangan itu
hanya bagi orang-orang fakir dan orang-orang miskin sahaja dan tidak bagi makanan
itu kepada orang-orang kaya.
Maka dengan sebab perintahNya itu, maka menjadi iri hati
orang-orang kaya dan bermusuh mereka itu dengan orang-orang fakir dan
orang-orang miskin.
Setelah orang-orang kaya itu melakukan khianat dan derhaka kerana menyimpan makanan
hidangan dari langit itu serta dendam hati, maka diturunkan Allah Ta’ala ke
atas mereka itu azabNya dengan menghapuskan kejadian manusia mereka itu bertukar menjadi kera dan babi.
Bermalam mereka itu berserta isteri-isteri mereka kemudian
datang pagi hari sudahlah menjadi kera dan babi.
Apa kala dilihat oleh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam akan orang-orang
kaya itu jadi kera dan babi, maka menangislah Baginda, dan Baginda panggil akan
nama-nama mereka itu, maka diangguk oleh mereka itu dengan kepala mereka kerana
mereka itu tidak berupaya berkata-kata
atau bertutur seperti manusia.
DAGING DAN DARAH JESUS
Berkaitan dengan kisah hidangan dari langit ini, orang-orang
Kristian, mengikut apa yang dibawa oleh pendita-pendita mereka, telah membuat
upacara sembahyang memecah-mecah roti dan membahagi-bahagikan air anggur merah,
yang menurut kepercayaan sesetengah mereka itu bahawa roti yang mereka makan itu benar-benar menjadi daging Jesus (Nabi
‘Isa ‘Alaihissalam) dan air anggur yang mereka minum itu benar-benar menjadi
darah Jesus.
LANGGAR PERINTAH LARANGAN
TANGKAPAN IKAN
Selain daripada kisah orang-orang kaya zaman Nabi ‘Isa
‘Alaihissalam yang disebut telah menjadi kera dan babi, maka pada zaman Nabi
Musa ‘Alaihissalam kaum Yahudi telah disumpah menjadi kera dan babi yang hina
kerana mereka merasai diri mereka lebih pandai
dan bijak dapat menipu Allah Ta’ala, serta melanggar perjanjian dan perintahNya.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 63, Ayat 64, Ayat 65 dan Ayat 66, maksudnya:
“Dan (ingatlah), ketika Kami (Allah) mengambil
perjanjian setia kamu semasa Kami (Allah) angkatkan gunung Thursina di atas
kamu (sambil Kami (Allah) berfirman):
“Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah)
dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di
dalamnya, supaya kamu bertaqwa.” Ayat 63
“Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan
perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana
limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu
taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.” Ayat 64
“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui
(bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar
(larangan) paa hari Sabtu (yakni kaum Yahudi telah dilarang oleh Allah Ta’ala
menangkap ikan pada hari Sabtu untuk menguji iman mereka, tetapi kerana tamak,
mereka telah melanggar perintah Allah itu), lalu Kami (Allah) berfirman kepada
mereka: “Jadilah kamu kera yang
hina.” Ayat 65
“Maka Kami (Allah) jadikan apa yang berlaku itu
sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang ada pada masa itu dan orang-orang
yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak)
bertaqwa.” Ayat 66
Ibnu Kathir memberi tafsiran mengenai Ayat-ayat tersebut:
Pelanggaran yang dilakukan orang-orang Yahudi pada hari
Sabtu dan diubahNya bentuk mereka menjadi kera dan babi.
Allah Ta’ala berfirman:
“Dan sesungguhnya kamu (kaum Yahudi) sudah mengetahui.”, hai orang-orang Yahudi, azab yang telah ditimpakan
kepada penduduk negeri yang menderhakai perintah Allah dan melanggar perjanjian
yang telah diambilNya dari mereka agar menghormati hari Sabtu, serta
melaksanakan perintah yang telah disyari’atkanNya bagi mereka.
Lalu orang-orang Yahudi mencari-cari alasan untuk dapat
menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu
dengan memasang pancing, jala, dan perangkap sebelum hari Sabtu.
Ketika ikan-ikan itu datang pada hari Sabtu dalam jumlah
yang banyak seperti biasanya, maka ikan-ikan itu pun tertangkap dan tidak boleh
keluar dari jaring dan perangkapnya.
Pada waktu malam setelah hari Sabtu berlalu, mereka pun
segera mengambil ikan-ikan tersebut.
Ketika mereka melakukannya, maka Allah mengubah rupa mereka
menjadi kera, haiwan yang lebih menyerupai manusia dalam bentuk, namun tidak
seperti manusia sesungguhnya.
Demikian pula tindakan dan alasan yang mereka buat-buat yang
secara lahiriyah nampak benar, akan tetapi sesungguhnya bertentangan. Kerana itulah mereka mendapatkan balasan yang
setimpal dengan jenis perbuatannya.
Kisah ini tersebut dalam Surah
Al-A’raaf, Ayat 163, Allah Ta’ala berfirman:
“Dan bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad)
mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar
larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu
ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka
air; sedang pada hari-hari yang lain,
ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka.
Demikianlah Kami (Allah) menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana
mereka sentiasa berlaku fasik.” Ayat 163
Hingga kisah selengkapnya:
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 65, maksudnya:
“………….., lalu Kami (Allah) berfirman kepada
mereka: “Jadilah kamu kera yang
hina.” Ayat 65
Al-‘Aufi meriwayatkan dalam tafsirnya dari Ibnu
‘Abbas, dia mengatakan: “Maka Allah
mengubah sebahagian dari mereka menjadi kera dan sebahagian lainnya menjadi babi.
Diduga bahawa para pemuda dari kaum tersebut diubahNya menjadi kera sedang
orang-orang tua menjadi babi.” Ibnu
Abi Hatim.
WALLAHU A’LAMU BISSAWAB
Hari Jumaat
7 Ramadhan 1433 Hijriyah
27 Julai 2012