RAHMAT ALLAH
Syurga adalah perkara ghaib yang wajib bagi tiap-tiap orang
Islam beriman dengannya. Syurga diciptakan khusus bagi orang-orang
yang berbahagia di akhirat.
Sifat-sifat dan keadaannya adalah di luar ilmu dan pengetahuan
manusia dan jinn kecuali apa yang diwahikan
oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Quran dan melalui Hadis Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wasallam.
Beriman bahawa adanya syurga adalah tingkatan perasaan cinta
dan rindu seseorang itu kepada Allah Yang Maha Pencipta sekalian alam ini.
Begitu juga tidak sesiapa pun yang mengetahui sama ada ia
akan dimasukkan ke dalam syurga atau tidak kerana seseorang itu dimasukkan ke dalam
syurga hanya bergantung kepada semata-mata dengan rahmat Allah Ta’ala sahaja
setelah ia beriman dan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala
laranganNya semasa ia hidup di dunia ini.
TERUNA-TERUNA
Segala nikmat yang disediakan Allah Ta’ala di dalam syurga untuk
ahli-ahli syurga tidak dapat diceritakan, mahupun digambarkan sifat-sifatnya
dan keadaannya di atas muka bumi ini kerana semua yang ada di dalam syurga itu
tidak menyerupai apa yang terdapat di dalam dunia ini.
Allah Ta’ala telah menwahikan melalui firman-firmanNya dan
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda melalui Hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
secara bandingan, “parables” dan analogi supaya dapat difahami dan dibayangkan
nikmat-nikmat yang disediakan di dalam syurga itu khas untuk ahli-ahli syurga
lelaki dan perempuan.
Nikmat-nikmat Allah Ta’ala sediakan bagi ahli-ahli syurga itu tidak dapat dihitung dan
dibilang dan di antara cerita-cerita nikmat yang dikhabarkan ialah mengenai
teruna-teruna dan gadis-gadis ahli syurga.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 14,
Ayat 15, Ayat 16 dan Ayat 17, maksudnya:
“Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang
datang kemudian.” Ayat 14,
Yakni
semenjak Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam hingga hari qiamat.
“(Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas
takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;” Ayat 15
“Sambil bertelegu di atasnya dengan
berhadap-hadapan.” Ayat 16
“Mereka dilayani oleh teruna-teruna yang tetap
kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka,” Ayat 17
Kebanyakan orang Islam jarang mendengar dan ada di antara
mereka yang tidak tahu tentang adanya teruna-teruna yang sentiasa muda dan
kacak di dalam syurga.
Perkara ini berlaku, kerana di antara sebab-sebabnya ialah
hal tersebut jarang diceritakan dan disampaikan oleh penceramah-penceramah
Agama.
Apa yang mereka selalu dengar ialah di dalam syurga itu
selalu disebut orang, gadis-gadis di dalam syurga itu sebagai “bidadari-bidadari”,
sedangkan di dalam syurga Allah Ta’ala ciptakan juga teruna-teruna sebagaimana tersebut
di dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 17 di atas.
Maka dengan Ayat 17 ini terjawablah bahawa di dalam syurga
ada terdapat teruna-teruna yang elok dan sentiasa muda, tidak tua, tidak
beruban dan tidak berubah rupa; yakni sentiasa segak dan kacak rupanya yang
disebut “Wildaanun”.
Oleh itu bagi perempuan-perempuan Islam yang beriman dan
beramal soleh dengan rahmat Allah Ta’ala akan ketemu mereka di sana.
PERAWAN-PERAWAN MATA JELI
Bagi lelaki-lelaki Islam yang beriman dan beramal soleh,
dengan rahmat Allah Ta’ala, ia akan dijodohkan dengan gadis-gadis perawan
“bidadari-bidadari” yang jelita dan rupawan sebagaimana tersebut dalam firman
Allah Ta’ala dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 22 dan Ayat 23, maksudnya:
“Dan (mereka dilayani) gadis-gadis yang bermata
jeli.” Ayat 22
“Laksana mutiara yang tersimpan (terjaga)
dengan sebaik-baiknya.” Ayat 23
Yakni,
mereka seolah-olah mutiara yang basah dalam warna (kulit)nya yang putih bersih,
sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah
As-Saaffaat, Ayat 49, maksudnya:
“Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta)
yang tersimpan dengan baik.” Ayat
49
Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 24,
maksudnya:
“(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal
baik) yang mereka telah kerjakan.” Ayat
24
Dan, Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Ar-Ruum, Ayat 60,
maksudnya:
“Oleh itu, bersabarlah (Wahai Muhammad),
sesungguhnya janji Allah itu benar; dan
janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu
menjadikan engkau resah gelisah.” Ayat
60
WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.
Hari Jumaat
25 Rejab 1433 Hijriyah
15 Jun 2012