CINCIN
Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissalam memakai cincin. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakai cincin yang diperbuat daripada perak.
Raja-raja di dunia ini, biasanya memakai cincin yang
bertatahkan permata intan, berlian, manikam seperti zamrud, berlian, delima,
nilam, dan lain-lain lagi.
Cincin juga merupakan lambang-lambang kemegahan, kekayaan,
kekuasaan, tanda ikatan perjanjian dan lain-lain lagi.
Cincin yang bertatahkan permata itu adalah yang amat disukai
oleh kaum wanita di semua zaman, tidak kira sama ada mereka itu ratu, kaya atau
miskin. Cuma apa yang menjadi
pilihannya ialah mengikut kemampuan mereka mendapatkan cincin tersebut.
Namun begitu orang-orang lelaki juga ada yang berminat
memakai cincin sama ada yang bertatah dengan permata intan, berlian, manikam
atau tidak.
Terdapat sesetengah orang-orang lelaki memakai cincin
sepenuh sepuluh jarinya yakni kesemua jari tangan kanan dan kirinya.
Kebanyakan perempuan India Hindu memakai cincin di jari dan
juga di hidung dan di jari kakinya.
CARA CINCIN DIPAKAI
Cara memakai cincin bagi orang-orang Islam adalah seperti
tersebut di bawah ini:
LELAKI MEMAKAI CINCIN
· Orang lelaki Islam adalah haram memakai cincin
emas atau suasa (campuran emas dan tembaga atau campuran emas dan perak).
· Makruh bagi lelaki Islam memakai cincin tembaga
dan besi.
· Orang lelaki Islam boleh mengikut sunnah Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakai cincinperak, dan afdhal memakai pada jari
tangan sebelah kanan.
· Harus bagi lelaki Islam memakai apa-apa cincin sama
ada diikat bertatahkan dengan ratna mutu
manikam atau tidak yang mana ianya diperbuat daripada kayu, tempurung, batu, kristal dan lain-lain bahan yang tidak haram mengikut syarak.
· Makruh bagi lelaki Islam memakai cincin pada
jari telunjuk atau jari tengah (jari hantu) tangan kanan atau tangan kiri.
· Sunat bagi orang lelaki memakai cincin pada jari
kelengkeng tangan kanan atau pada jari kelengkeng tangan kiri.
PEREMPUAN MEMAKAI
CINCIN SEPULUH JARI
· Bagi orang-orang perempuan Islam harus memakai
cincin emas atau suasa sama ada bertatahkan dengan ratna mutu manikam atau
tidak.
· Harus bagi orang-orang perempuan Islam memakai
apa-apa cincin yang diperbuat daripada apa-apa bahan yang tidak haram seperti kayu, gading, tempurung, batu, kristal
dan lain-lain bahan.
· Orang-orang perempuan Islam harus memakai cincin
pada mana-mana jari tangan kanan dan kiri.
· Harus bagi orang-orang perempuan Islam memakai cincin
pada kesemua sepuluh jari tangannya.
PERKARA-PERKARA LAIN MENGENAI CINCIN
· Harus membuat ukiran nama dan ukiran-ukiran lain
bagi mencantikkan cincin.
· Harus memakai cincin masuk ke jamban atau tandas
jika tiada ukiran perkataan Allah padanya.
Hari Jumaat
12 JamadilAkhir 1433 Hijriyah
4 Mei 2012