BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM
Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad S.A.W. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.
Aku daripada sari pati tanah
Daripada air dan darah
Dilimpahkan Allah dengan qudrah
Allah menciptakan aku dengan irodah
Ditatahkan aku dengan pendengaran, pandangan, hati dan deria
Dilengkapkan aku akal dan minda
Disiratkan tulang tenaga dan daya
Semoga aku menjadi hamba Allah yang berguna
Habis nyawa jiwa dan raga
Tiadaku dapat menghitung nikmatMu semua
Aku mengaku benar firmanMu amat nyata
Dalam Al-Quran Al-Karim yang mulia
Surah An-Nahl ayat lapan belas mafhumnya
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya)
tiada kamu dapat menghitungnya"
Sehembusan nafasku segerak nadi
Dalam genggaman Allah yang Maha Suci
Nilai harganya teramat tinggi
Lebih dari segala isi dunia, langit dan bumi
Sudah 24,471 hariku berlalu
Amal ibadatku amat kurang terhadapMu
Segala kekurangan adalah kelemahan diriku
Ya Allah, ampunilah dan rahmatilah daku
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah
Aku bersaksi bahawa Muhammad pesuruh Allah
Solatku, ibadatku, hidupku, matiku, aku serah
Segala-galanya bagiMu, terimalah dariku Ya Allah