Friday, February 19, 2016

MEMAGAR RUMAH


Adalah menjadi kebiasaan apabila seseorang atau sesebuah famili membina atau membeli rumah atau memasukki rumah baru, memikirkan berkaitan dengan persiapan-persiapan kelengkapan serta perhiasan dalaman dan luar rumah.

Mereka juga merancang memagarkan rumah itu sama ada dengan pagar keselamatan seperti membina tembok batu, besi,  pagar elektronik dan sebagainya, atau pagar pokok-pokok hiasan.

Selain daripada pagar-pagar yang tersebut di atas, khususnya bagi sesetengah orang Melayu di Malaysia, mereka memagarkan rumah-rumah mereka dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Al-Kariim dengan mengguna perkhidmatan orang luar dengan tujuan menjaga keselamatan rumah, harta benda dan ahli-ahli rumah berkenaan dari gangguan manusia juga gangguan makhluk halus.

Segala usaha untuk menjaga keselamatan diri, famili dan harta benda harus dilakukan supaya jangan ditimpa kecelakaan yang tidak diingini.  Namun begitu keterlaluan mempercayai bahawa dengan usaha-usaha itu, dikhuatiri seseorang itu terjerumus melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA.

Oleh itu harus diingati  bahawa usaha-usaha memagar rumah dengan jampi serapah atau menggunakan benda-benda tertentu perlu diawasi jika dilakukan oleh orang-orang luar, sama ada yang dikenali  atau orang-orang yang diperkenalkan kerana dalam saat-saat tertentu syaitan manusia juga menipu.

Mereka akan melakukan sesuatu perkara  di luar pengetahuan pemilik rumah, seperti meninggalkan sesuatu yang akan mengganggu hidup orang-orang yang berada di dalam rumah berkenaan, di antaranya yang mungkin dilakukan dalam kawasan rumah ialah seperti:

·      Menabur beras kunyit dan lain-lain bahan.
·      Menanam benda-benda seperti kertas, kulit haiwan yang bertulis atau berajah tertentu atau logam: besi, tembaga, emas, perak dan lain-lain.
·      Mengikat benang-benang mengelilingi kawasan rumah.
·      Mengasapi rumah dengan bahan-bahan bakaran tertentu.

Oleh yang demikian, adalah disarankan bahawa kerja-kerja memagar rumah atau kediaman baru itu sebaik-baiknya dilakukan sendiri atau bersama-sama ahli keluarga yang menduduki rumah atau kediaman berkenaan dengan doa-doa yang diajar oleh junjungan kita Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dengan ikhlas dan yakin bahawa ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA sahaja yang menjadi Penjaga, Pelindung dan Pemelihara.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.



Hari Juma’at
10 JamadilAwwal 1437 Hijriyah
19 Februari 2016