Friday, October 2, 2015

MARAHKAN SEMUT




Peribahasa Melayu menyebut: “Marahkan nyamuk, bakar kelambu”.  Zaman sekarang ini bagi orang-orang yang tinggal di bandar-bandar jarang memakai kelambu lagi.  Kalau mereka marahkan nyamuk, mereka akan menggunakan semburan racun Aerosol (AE).

Peribahasa tersebut menunjukkan betapa bengisnya manusia apabila ia marah atas sesuatu perkara.  Ia tidak dapat menahankan lagi perasaannya dan ia sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan perasaan marahnya itu, walaupun perbuatannya itu boleh merosakkan diri atau harta bendanya sendiri.

Peribahasa Melayu mengenai semut ialah: “Di mana ada gula adalah semut”.  Gula biasa disimpan orang di dapur.  Namun  tiada pula peribahasa yang menyatakan manusia “marahkan semut, bakar dapur”.

Walau bagaimanapun, bila seekor semut, sama ada semut merah, semut gatal, kerengga, semut hitam, semut tiong, semut api atau apa-apa lagi semut, manusia tidak dapat menahan marahnya.

Untuk melepaskan perasaan marahnya, manusia sanggup membakar semut-semut yang menggigitnya.  Misalnya seekor kerengga menggigitnya, maka ia akan membuat jamung api mencucuh sarang kerengga tersebut sehingga habis mati dan terbakar telur-telurnya.  Ada juga manusia membakar semut gatal atau semut api dengan menyiram minyak dan dibakar sarang semut-semut itu. Ganasnya manusia.

Islam tidak melarang manusia membunuh binatang-binatang atau serangga yang menjadi perosak kepada tanaman, makanan dan sebagainya ketika ianya melakukan kerosakan. 

Sungguhpun begitu, Islam melarang orang menyakiti dan menganiayai atau membunuh dengan api, haiwan atau serangga atau binatang-binatang kecil dan sebagainya, sepertimana tersebut dalam Hadis-Hadis berikut:


Dari Abdullah bin Mas’ud, dia berkata:

“Kami pernah bersama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam satu perjalanan, lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pergi untuk melaksanakan hajatnya, kemudian kami melihat seekor burung yang berbulu merah dengan dua telurnya dan langsung kami mengambil kedua telurnya, kemudian datanglah burung  itu dan mengembangkan sayapnya.  Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam datang dan bersabda: “Siapakah yang telah  menyakiti burung ini demi anaknya?  Kembalikanlah anak tersebut kepadanya.” 

(Sejurus itu) Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat sarang semut yang telah kami bakar, lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Siapakah  yang membakar ini?  Kami berkata: “Kami.”  Maka Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “ Sesungguhnya tidak layak bagi sesiapapun untuk menyeksa dengan api, kecuali Dzat (Allah) yang memiliki api.”   (Sahih Sunan Abu Daud)


Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sabdanya:

“ Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para Nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh bakar sarang semut itu, lalu dibakarlah. 

Kemudian Allah Subhanahu  Wata’ala mewahyukan  kepadanya: “Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan suatu umat yang selalu membaca tasbih.”   (Sahih Muslim)



Hari Juma’at
18 DzulHijjah 1436 Hijriyah
2 Oktober 2015