Friday, July 26, 2013

NAZAR IBU SAYIDATINA MARYAM



Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Anbiyaa’, Ayat 91, maksudnya:

“Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya.” Ayat 91 - Yang dimaksud dengan itu ialah Maryam anak perempuan ‘Imraan.

Ibunya ketika mendapati dirinya mengandung, bernazar apabila anaknya lahir, akan diserahkan menjadi penyelenggara Baitul Maqdis, agar kehidupan keluarganya terus berada dalam agama Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 35, Ayat 36 dan Ayat 37, maksudnya:

“(Ingatlah) ketika isteri ‘Imraan berkata: “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku;  sesungguhnya Engkaulah (Allah) Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”  Ayat 35

“Maka apabila ia melahirkannya berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu, - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu (Allah), demikian juga zuriyat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).”  Ayat 36

“Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakariya.  Tiap-tiap kali Nabi Zakariya masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) disisinya (Maryam).  Nabi Zakariya bertanya: “Wahai Maryam! Dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?”  Maryam menjawab: “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.”  Ayat 37
  
Sebagaimana tersebut dalam Ayat-ayat di atas, maka lahirlah anak itu setelah genap bulannya.  Ternyata bahawa anak itu perempuan.  Tentu yang diharapkannya anak laki-laki sebab penyelenggara rumah suci Baitul Maqdis adalah orang lelaki belaka. 

Namun begitu, nazarnya diteruskan juga dan ia (ibu Maryam) berdoa kepada Allah agar anaknya dilindungi. Dan kelak keturunannya dilindungi Allah dari segala tipu daya dan pengaruh syaitan yang terkutuk.

Anaknya dihantar ke rumah suci Baitul Maqdis yang kebetulannya di bawah penyelenggaraan  Nabi Zakariya ‘Alaihissalam, suami saudara perempuan kepada ibu Maryam.

Maka Maryam anak perempuan ‘Imraan, sejak dari kecilnya dalam asuhan Nabi Zakariya ‘Alaihissalam yang menjadi Imam dan pemelihara Baitul Maqdis.

Justeru itu,  pengasuhan dan didikan Sayidatina Maryam yang suci itu di bawah jagaan Nabi Zakariya ‘Alaihissalam terjamin keselamatan dan pertumbuhan rohani dan jasmaninya.

Oleh kerana ibu Maryam seorang perempuan yang solehah dan Nabi Zakariya ‘Alaihissalam pendidik Sayidatina Maryam seorang Nabi yang utama, maka masuklah ke dalam diri Sayidatina Maryam didikan agama yang mendalam.

‘Imraan ayah Sayidatina Maryam adalah keturunan Nabi Daud ‘Alaihissalam sebab itu boleh dikatakan keluarga ini seluruhnya keluarga beragama.

Keluarga Nabi Zakariya ‘Alaihissalam dan anakandanya Nabi Yahya ‘Alaihissalam, keluarga ‘Imraan, isterinya dan anakandanya Sayidatina Maryam terkenal sebagai keluarga beragama yang ta’at.  
  
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 33 dan Ayat 34, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga ‘Imraan, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).”  Ayat 33

“(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriyat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain.  Dan (ingatlah), Allah senantiasa Mendengar, lagi senantiasa Mengetahui.”  Ayat 34



Hari Juma’at
17 Ramadhan 1434 Hijriyah
26 Julai 2013


Friday, July 19, 2013

BERMAIN DADU ATAS HURUF AL-QURAN AL-KARIIM



Pada masa akhir zaman ini, terdapat berbagai-bagai cara atau kaedah-kaedah mengajar mengaji Al-Quran Al-Kariim direka orang.

Salah satu daripada cara atau kaedah yang diajar ialah belajar sambil bermain-main dengan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim yang mulia.

Satu cara yang pernah ditayangkan ialah kanak-kanak melambung buah dadu yang menyerupai sejenis alat mainan judi, ke atas kepingan-kepingan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim.

Permainan ini dimulakan dengan guru membahagikan kanak-kanak itu kepada dua kumpulan iaitu kumpulan “A” kanak-kanak lelaki dan kumpulan “B” pula kanak-kanak perempuan.

Guru akan menentukan kumpulan mana yang terlebih dahulu melambung buah dadu dan seterusnya permainan itu dimainkan secara bergilir-gilir.

Guru akan meminta salah seorang daripada kanak-kanak tersebut melambung buah dadu di atas susunan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim yang telah diatur di atas lantai kemudian meletakkan tanda atau sekeping bulatan kecil di atas huruf Al-Quran Al-Kariim mengikut kiraan nombor buah dadu tersebut ala permainan “snake and ladder”.

Kanak-kanak itu akan memberitahu apa huruf Al-Quran tersebut dan kumpulannya akan menyebut huruf Al-Quran itu sambil bertepuk tangan.

Begitulah seterusnya, dan jika huruf Al-Quran Al-Kariim itu berada ditengah susunan tersebut, maka kanak-kanak tersebut terpaksa merangkak di atas susunan-susunan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim itu untuk mengambil buah dadu atau meletakkan tanda atau kepingan bulatan kecil tersebut.

Sayugia diingatkan bahawa semua huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim mengandungi  maknanya sendiri, tidak ada sesiapapun yang mengetahuinya hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 

Sebagai contoh, pada awal Surah Al-Baqarah, dimulakan dengan huruf “Alif” huruf “Laam” dan huruf “Miim” dan begitu juga lain-lain Surah tertentu yang dimulakan dengan huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim yang mulia.

Justeru itu, walaupun ianya terletak bukan di dalam mus-haf, namun huruf-huruf itu adalah sebahagian daripada Al-Quran Al-Kariim yang harus dijaga, dimulia dan dihormati setiap masa dan di mana sahaja.

Allah Ta’ala berfirman bahawa orang-orang kafir menjadikan perkara-perkara Agama sebagai hiburan dan mainan, sepertimana firmanNya dalam Surah Al-A’raaf, Ayat 51, maksudnya:

“(Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terperdaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).” Ayat 51



Hari Juma’at
10 Ramadhan 1434 Hijriyah
19 Julai 2013

Friday, July 12, 2013

JAGA ADAB MENGAJI AL-QURAN AL-KARIIM



TADIKA CINA

Bagi ibu bapa yang menghantar atau yang pernah menghantar anak-anak mereka ke TADIKA Cina, mereka tahu bahawa di sana anak-anak mereka diajar bahasa Cina melalui nyanyian yang diikuti dengan muzik atau lakonan atau mengikut rentak bunyian “ketuk-ketuk” di atas alat-alat ketuk tertentu. 

Kanak-kanak ini akan menyebut perkataan-perkataan yang disusun mengikut rentak muzik atau rentak bunyian “ketuk-ketuk” itu.

Kanak-kanak ini juga bergerak menggaya dengan tangan, bertepuk-tepuk sambil menggoyang-goyangkan tangan, kaki dan badan mereka.   Dikatakan bahawa tujuan membuat sedemikian rupa ialah supaya kanak-kanak tersebut menjadi cergas dan minat untuk belajar.


BELAJAR BACA MELALUI “KETUK-KETUK”

Kebelakangan ini terdapat kaedah-kaedah sesetengah orang yang mengajar bacaan Al-Quran Al-Kariim yang disiarkan melalui saluran-saluran televisyen, yang dibawa oleh guru-guru lelaki atau perempuan adalah  tidak jauh bezanya dengan cara mendidik dan mengajar di TADIKA-TADIKA Cina, Inggeris atau lain-lain bangsa bukan Islam. 

Di samping mengajar Al-Quran Al-Kariim, guru-guru akan bercakap serta membuat gurau-gurauan dengan membawa cerita-cerita.  Ianya dilakukan semasa Mus-haf Al-Quran Al-Kariim sedang terbuka padahal cerita-cerita atau perbuatan tersebut boleh dibuat di luar masa mengaji Al-Quran Al-Kariim.

Jika kanak-kanak di TADIKA Cina, Inggeris dan lain-lain bangsa bukan Islam mengadakan muzik  dan alat “ketuk-ketuk” untuk dijadikan rentak bagi kanak-kanak tersebut menyebut perkataan yang diajar, maka sekarang ini terdapat suatu kaedah yang diketengahkan oleh segolongan guru-guru yang mengajar Al-Quran Al-Kariim menggunakan rentak bunyi “ketuk-ketuk”. Ianya diatur dan disusun supaya kanak-kanak belajar dan menyebut Kalimah-kalimah atau Huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim  selari dengan bunyi “ketuk-ketuk” itu. 

Adalah dilihat disini, kelas-kelas belajar Al-Quran Al-Kariim seolah-olah kelas-kelas  muzik, kelas lakonan lawak atau kelas-kelas bercerita di hadapan Al-Quran Al-Kariim yang mulia, walaupun cerita-cerita itu mungkin ada kaitan dengan kisah-kisah benar dalam sejarah Islam.

Jika kaedah dan cara mengajar  Al-Quran Al-Kariim itu sudah dimulakan orang dengan bercerita atau menggunakan alat “ketuk-ketuk”, maka tidak mustahil pada suatu masa nanti, ada guru-guru yang terpedaya dengan hasutan syaitan, melihat baik dan berkesan dengan menggunakan alat-alat “key-board”, piano, gitar, dan lain-lain alat muzik yang dibunyikan untuk kanak-kanak mengikuti rentaknya bila menyebut huruf-huruf atau makhraj atau idh-gham atau ikhfaa’ atau mad dan lain-lain hukum-hukum Tajwid.

Perbuatan-perbuatan seumpama itu adalah jelas menunjukkan bahawa guru-guru tersebut telah diperdaya dan ditipu syaitan melakukan perbuatan-perbuatan yang hodoh dan biadap serta tidak sopan terhadap Kalimah-kalimah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak menghormati kesucian Al-Quran Al-Kariim yang mulia itu.

Perubahan kaedah dan cara belajar bukanlah tidak boleh dilakukan, akan tetapi apa-apa perubahan kaedah dan cara mengajar Al-Quran Al-Kariim hendaklah sesuai dan sejajar dengan kaedah-kaedah yang dibawa dan diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat-sahabat Baginda radhiallahu ‘anhum dan para-para ’Ulamaa’ yang mu’tabar.


BELAJAR MENGAJI

Bila disebut “belajar mengaji”, kebanyakkan orang-orang Melayu khususnya di Tanah Melayu ini faham bahawa kanak-kanak atau orang dewasa mengikuti pelajaran membaca Al-Quran Al-Kariim di masjid, surau atau dengan orang-orang perseorangan di rumah masing-masing.

Cara mengajar Al-Quran Al-Kariim itu mengikut kebolehan kanak-kanak yang  membacanya dan mereka ditempatkan dalam satu ruang atau tempat yang sama walaupun mereka itu berbeza umur atau berbeza bacaan surahnya.

Mana-mana kanak-kanak yang cepat membaca Al-Quran Al-Kariim dengan lancar, mereka akan diubah bacaannya ke surah yang baru.  Adapun bagi kanak-kanak yang kurang lancar bacaannya, mereka  akan diubah ke surah yang baru selepas mereka benar-benar lancar dan fasih bacaan mereka.

Cara atau kaedah tersebut adalah sesuai dengan fitrah dan tabi’e pertumbuhan minda dan fizikal manusia yang ditakdirkan Allah Ta’ala Yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana ke atas hambaNya mengikut kemampuan masing-masing.

Guru-guru Al-Quran itu pula senantiasa menjaga akhlak dan adab-adab ketika sedang mengajar atau mengadap Al-Quran Al-Kariim bagi menghormati Kalimah-kalimah Allah Tuhan Yang Maha Agong dan Maha Tinggi, Tuhan sekalian ‘alam (jinn dan manusia).


MENJAGA KEMULIAAN AL-QURAN AL-KARIIM


BERSIH SUCI

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 77 hingga Ayat 80, maksudnya:

“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),”  Ayat 77

“Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,”  Ayat 78

“Yang tidak disentuh melainkan oleh  makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;”  Ayat 79

“Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.”  Ayat 80


MEMOHON PERLINDUNGAN KEPADA ALLAH

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nahl, Ayat 98, maksudnya:

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam.”  Ayat 98


BACAAN AL-QURAN DENGAN TARTIIL

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Furqaan, Ayat 32, maksudnya:

“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad - semuanya sekali (dengan sekali gus)?”  Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami (Allah) hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami (Allah) nyatakan bacaannya kepadamu dengan “Tartiil” (yakni dengan bacaan yang sempurna dan lengkap menurut hukum Tajwid).”  Ayat 32

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Muzzammil, Ayat 4, maksudnya:

“Dan bacalah Al-Quran dengan “Tartiil”.  Ayat 4


MEMAHAMI AL-QURAN DENGAN TELITI

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Saad, Ayat 29, maksudnya:

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami (Allah) turunkan kepadamu (dan umatmu, wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfa’atnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil i’tibar.”  Ayat 29


MENGGANGGU DENGAN NYANYIAN DAN TEPUK SORAK

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Fussilat, Ayat 26, maksudnya:

“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya).”  Ayat 26


Wallahu A’lamu Bissawaab.



Hari Jumaat
3 Ramadhan 1434 Hijriyah
12 Julai 2013

Friday, July 5, 2013

DIALOG KEHARMONIAN




Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 19, maksudnya:

“Sesungguhnya Addin (Agama) di sisi Allah ialah ISLAM.” 
Ayat 19


Dari ‘Aidh bin ‘Amr radhiallahu ‘anh, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Islam itu tinggi dan tidak ada (agama) yang lebih tinggi daripadanya.” Al-Baihaqi


Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 83, maksudnya:

“Patutkah sesudah itu, mereka mencari lain dari agama Allah?  Padahal kepadaNya(Allah)lah tunduk ta’at sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya(Allah)lah mereka dikembalikan.”  Ayat 83


Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 42, maksudnya:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah “bathil”, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula, padahal kamu semua mengetahuinya.”  Ayat 42


Sekarang ini terdapat orang-orang Islam yang kononnya disebut “Islamic Scholars” telah tertarik dengan gagasan agama yang dinamakan “INTERFAITH” iaitu gabungan beberapa agama termasuk ISLAM.

Pada bulan Julai, tahun 2008, King Abdullah dari Kerajaan Saudi Wahhabi, telah menganjurkan persidangan “Dialog Interfaith” di Saudi, dan disebut bahawa dialog itu berjaya.

Orang-orang Islam yang membawa fahaman “Interfaith” itu adalah mereka yang  terdiri daripada orientalis-orientalis Islam, ulamak-ulamak Wahhabi, Ahmadiyah, dan lain-lain serta sesetengah daripada mereka yang memegang jawatan agama Islam dalam sesebuah negara orang-orang Islam.

Kebelakangan ini terdapat saluran-saluran televisyen yang mengadakan rancangan “Dialog Interfaith” di mana ahli-ahli agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain akan berdialog kononnya bagi tujuan penyatuan dan keharmonian nilai-nilai kepercayaan dalam agama masing-masing.

Adalah dilihat bahawa rancangan “interfaith” ini menjadi satu lagi projek di antara projek-projek penipuan kafir, Yahudi dan Nasrani untuk memesongkan ‘aqidah orang-orang lslam kepada kesesatan dan dengan itu menjatuhkan martabat  satu-satunya agama di sisi Allah iaitu Agama Islam Agama Tauhid.

Justeru itu, dijadikan agama Islam sama taraf dengan agama-agama orang-orang musyrik dan orang-orang yang dimurkai ke atasnya “Al-Maghdhubi ‘alaihim” iaitu Yahudi dan orang-orang yang sesat “Adh-dhaaliin” iaitu Nasrani, sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Faatihah, Ayat 7, maksudnya:

“Iaitu jalan orang-orang yang Engkau (Allah) telah kurniakan ni’mat kepada mereka (Nabi-nabi, Rasul-rasul dan orang-orang yang beriman serta beramal salih), bukan (jalan) orang-orang yang Engkau (Allah) telah murkai (Yahudi), dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (Nasrani).”  Ayat 7


Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 109, maksudnya:

“Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam).”  Ayat 109



Hari Jumaat
26 Sya’aban 1434 Hijriyah
5 Julai 2013