Friday, March 29, 2013

DILEMA SEORANG GADIS



IBUKU AMAT BERBANGGA SEKALI

Aku berusia 17 tahun dan telah berjaya dalam peperiksaan SPM tahun 2012 dengan mendapat “straight ‘As’ ” dalam semua mata pelajaran yang aku ambil.

Sahabat handai dan kenalan yang berjumpa denganku mengucapkan tahniah kepadaku,  khususnya ibu bapaku yang amat gembira sekali atas kejayaanku itu kerana memberi kebanggaan kepada mereka.  Ramai daripada sanak saudara dan sahabat handai ibu bapaku mengucapkan tahniah kepada mereka.


KEHENDAK IBUKU

Melihat kepada kejayaanku itu, ibuku  meminta supaya aku terus belajar sehingga ke peringkat Ph.D, dan selepas itu bolehlah aku berkahwin.  Bapaku tidak memberi apa-apa komen dan berdiam diri sahaja.

Ibuku terus memberi alasan bahawa dengan berkelulusan tinggi, aku boleh mendapat  pekerjaan yang bergaji tinggi.    

Kata ibuku lagi, bila seseorang itu bergaji tinggi, maka kedudukannya akan disanjung dan dihormati orang.  Disamping itu, orang yang bergaji tinggi itu tidak akan merasa susah kerana dapat membeli rumah yang besar dan memiliki kenderaan berjenama yang mahal harganya dan tidak berkehendakkan kepada orang lain kerana boleh menggunakan wang gaji sendiri untuk mendapatkan apa sahaja perkhidmatan yang diperlukan.

Aku selalu juga mendengar kebanyakan orang bercakap mengenai dengan  kehidupan yang baik bergantung kepada ijazah kelulusan seseorang itu.  Mereka terlalu yakin dengan pemikiran bahawa ijazah kelulusan itulah yang menjaminkan rezeki bagi seseorang.


SUKAR MEMBUAT PILIHAN

Aku sedar bahawa pemikiran ibuku itu baik dan aku juga tertarik dengan kata-katanya itu.

Namun begitu aku sekarang menghadapi dilema  di antara berkahwin dan terus belajar atau belajar tanpa berkahwin sebagaimana kata-kata ibuku itu.

Sekiranya aku memilih berkahwin dan belajar, bagaimana pula dengan tanggungjawabku terhadap suamiku?  Apakah aku boleh membahagi masaku dengan baik di antara belajar dan kewajiban aku terhadap suamiku?

Bagaimana pula jika aku terus belajar tanpa berkahwin sehingga ke peringkat Ph.D, yang sudah tentu memakan masa kurang lebih 7 atau 8 tahun, mengikut jurusan yang akan aku ambil nanti.  Ini bererti umurku akan mencapai 26 tahun pada masa itu, jika aku lulus dan kesihatanku baik.  Memandangkan umurku  pada ketika itu masih lagi muda dan masih boleh bergaya, dan jika ada jodoh, barulah aku kahwin. 

Terlintas juga di fikiranku, bagaimana pula keadaannya sekiranya aku tidak ada jodoh atau lambat mendapat jodoh, sedangkan umurku semakin hari semakin bertambah, dan kesihatanku pula tidak dapat ditentukan.

Mengikut pengajian sains biologi, semakin berumur seseorang perempuan itu, fizikal dan kesuburan produksinya akan menurun lebih cepat daripada lelaki.

Maka inilah menjadi dilemaku dan susah bagiku untuk membuat pilihan yang sesuai dengan naluriku sebagai seorang perempuan Muslimah.


LAIN NASIHAT LAIN YANG TELAH DIBUAT

Dalam memikirkan perkara tersebut, terlintas di pemikiranku juga kepada kehidupan ibu bapaku sekeluarga. 

Mereka berkahwin awal iaitu pada masa mereka berdua masih belajar lagi.  Ibuku berumur 20 tahun ketika melahirkan aku, dan bapaku berusia 22 tahun.  Bapaku telah tamat belajar ketika aku mula masuk sekolah darjah satu dan ibuku lulus dua tahun kemudian.

Mereka sekarang ini boleh dikatakan berjaya dalam kehidupan mereka.  Mereka ada rumah, kenderaan dan mempunyai anak-anak di sekeliling mereka.

Jika ibu bapaku boleh berkahwin semasa mereka masih belajar maka aku pun merasa aku pun boleh begitu jika itu adalah pilihanku kerana  aku merasa bahagia di sisi ibu bapaku sejak kecil sampai sekarang ini.    


Hari Jumaat
17 JamadilAwwal 1434 Hijriyah
29 Mac 2013

Friday, March 22, 2013

TAHAYUL HITAM DAN PUTIH



“MAT SALEH”

Semasa  melancong  ke beberapa negara dalam Kesatuan Eropah (EU), beberapa tahun yang lalu, ternampak ramai orang dalam negara-negara Eropah tersebut mempunyai berbagai-bagai warna kulit;  ada hitam, putih, kuning langsat dan sawo matang. 

Bukan semuanya pelancong tetapi kebanyakan mereka yang berbagai warna kulit itu memiliki gedung-gedung perniagaan dan ada yang bekerja makan gaji. 

Pelancong-pelancong pun ramai juga, di antaranya ada yang “Caucasians” dan ada yang datang dari benua Afrika, Jepun, China dan dari Asia Tenggara termasuklah dari Malaysia.

Menjadi hairan kerana semasa masih kanak-kanak, telah digambarkan orang bahawa orang-orang di negara barat yakni negara-negara di Eropah, orang-orangnya berkulit putih belaka.  

Mereka juga disebut dengan gelaran “Mat Saleh” oleh orang-orang Melayu Malaysia.  Entah macam mana sebutan “Mat Saleh” itu termasuk dalam pertuturan Bahasa Melayu, sedangkan mereka itu bukan baik akhlaknya.


BERKULIT WARNA

Setelah sampai di sesetengah negara di Eropah, maka sedikit demi sedikit terhapuslah tanggapan yang sebelum ini gambaran dan pemikiran bahawa orang-orang di Eropah itu berkulit putih belaka.

Rakyat negara-negara di Eropah itu sebenarnya terdiri dari berbagai warna kulit sama ada yang bekerja dengan kerajaan atau lain-lain sektor dan mereka serupa sahaja dalam aspek kehidupan mereka dengan orang-orang yang berkulit putih.   

Mereka yang berbagai-bagai warna kulit  itu adalah keturunan orang-orang dari luar benua Eropah yang telah lama berpindah dan menetap di negara-negara Eropah.

Cerita-cerita sesetengah daripada mereka yang berkulit warna itu yang sempat di dengar, adalah bahawa mereka sudah beberapa generasi tinggal di Eropah.  Didapati gaya dan cara hidup mereka seperti cara pemakaian, pemakanan lebih kurang sama dengan orang-orang berkulit putih. 

Apapun gaya dan cara hidup mereka, mereka tetap berkulit warna, “coloured” gelaran yang diberi oleh “Mat Saleh” orang-orang yang berkulit putih itu.


KACANG SOYA

Ada sesetengah orang-orang Melayu khususnya wanita-wanita yang terikut-ikut  dengan kepercayaan yang dikutip daripada kaum-kaum Cina, Hindu, Sikh dan lain-lain kaum yang ada di Malaysia ini bahawa untuk mendapatkan anak-anak yang berkulit putih, ibu-ibu yang mengandung hendaklah banyak minum susu, air soya dan makan keju.

Sekiranya orang-orang Melayu yang mempercayai hal-hal tersebut, mempunyai alasan yang kukuh berdasarkan kajian saintifik dengan meminum susu, air soya dan makan keju boleh menjadikan anak-anak mereka putih, maka adalah dicadangkan supaya semua ibu-ibu yang mengandung melakukan yang demikian  supaya semua generasi rakyat Malaysia menjadi putih dan tiada lagi kulit-kulit yang berwarna hitam, gelap atau sawo matang.

Sekiranya semua rakyat Malaysia menjadi putih dengan meminum susu, air soya dan makan keju seperti yang tersebut di atas, maka bagaimana pula ibu-ibu yang mengandung di Malaysia yang makan kicap hitam pekat  yang juga diperbuat dari ramuan kacang soya?  Mungkinkah anak-anak mereka yang lahir nanti berkulit hitam pekat lebih hitam daripada orang-orang yang berkulit hitam?


SUARA DAN GAMBAR

Ada lagi tahayul orang-orang Melayu, bagi sesetengah ibu-ibu yang mengandung dan juga segolongan orang-orang perempuan Melayu menganggapkan bahawa jika mereka mahukan anak-anak perempuan dalam kandungan mereka menjadi cantik dan elok rupa parasnya, ibu-ibu yang mengandung itu hendaklah menonton atau selalu menatap gambar-gambar orang-orang yang cantik seperti artis-artis dan lain-lainnya. 

Begitu juga jika mereka mahukan anak-anak mereka mempunyai suara yang  merdu, mereka hendaklah selalu mendengar nyanyian lagu-lagu yang dinyanyikan oleh orang-orang yang mereka anggap merdu suaranya pada pendengaran mereka.


PERBUATAN SYIRIK

Tahayul-tahayul sepertimana tersebut di atas yang dibawa oleh ahli keluarga atau sahabat handai atau orang-orang luar yang menyampaikannya dengan penuh keyakinan membuat sesetengah ibu-ibu Melayu yang mengandung itu terikut-ikut melakukan kepercayaan tersebut tanpa mengambil kira perbuatan mereka itu adalah perbuatan syirik.



Hari Jumaat
10 JamadilAwwal 1434 Hijriyah
22 Mac 2013  



Friday, March 15, 2013

KERANA KAWAN



KAWAN KARIB YANG RENDAH AKHLAK

Setiap orang sama ada lelaki atau perempuan hidup berkawan.  Apabila ia berkawan ia hendaklah berwaspada supaya ia tidak tersalah berkawan sampai tertipu dengan kata-kata manis dan penampilan seseorang kawan yang boleh menjerumuskan dirinya ke jalan yang sesat dengan perbuatan-perbuatan keji dan maksiat.

Betapa ramainya orang-orang yang dikelabui oleh kawan-kawan yang jahat dan akhirnya akan menyesal, kerana mereka terseret ke jurang kemusnahan kehidupannya.

Sifat atau tabiat buruk seseorang kawan karib boleh menular kepada kawan-kawannya yang lain secara sedar atau tidak.

Sering kali terdengar berita-berita bahawa orang-orang yang lemah pendirian dan kurang akal  dapat dikuasai oleh orang-orang yang kuat pengaruhnya, sehingga ramai yang tertarik dan mengikuti cetusan-cetusan yang muncul dari daya tarikan orang-orang yang berpengaruh itu.

Dapat disaksikan pula bahawa perkara-perkara atau hal-hal yang buruk lebih cepat dan lebih hebat penularannya daripada perkara-perkara atau hal-hal yang baik.

Misalannya, bagi seseorang yang tidak pernah menghisap rokok, jika ia berkawan dengan kumpulan orang-orang yang menghisap rokok, ia akan diajak atau diberi rokok untuk sama-sama menghisapnya.  
Lama kelamaan ketagihan rokok akan menular kepadanya dan ia sendiri akan mula membeli rokok dan menghisapnya.

Selain daripada itu, terdapat berita-berita mengenai penularan perkara-perkara dan hal-hal yang lebih buruk lagi, yang merosak akhlak dan minda seseorang bila berkawan dengan teman-teman yang gemar kepada perkara-perkara lucah seperti memuat turun gambar-gambar lucah dan disebarkan diantara kawan-kawan melalui telefon bimbit atau komputer.

Bila seseorang itu telah sebati dengan kelakuan kawan-kawannya yang telah rosak akhlak mereka, maka ia pun berkelakuan seperti mereka tanpa ada perasaan segan dan silu.  

Begitu juga dengan tabiat berjudi, minum arak dan lain-lain, ianya tidak datang sendiri kepada seseorang itu kecuali setelah diperkenalkan atau dibawa oleh kawan-kawannya ke tempat-tempat judi, arak dan tempat-tempat maksiat yang dilanggani kawan-kawan tersebut.

Bila seseorang itu telah tercemar akhlak dan akalnya dengan gejala-gejala maksiat yang dijangkiti daripada kawan-kawan rapatnya, maka ia akan terus menerus melakukan perkara-perkara maksiat tanpa merasa dirinya bersalah.

Apabila seseorang itu mula terikut-ikut dengan cara dan gaya hidup kawan-kawannya, maka lihatlah betapa cepatnya ia mudah mengikut arah yang dikehendaki oleh kawan-kawan karibnya itu. 


KAWAN SEJATI

Pengaruh kawan terhadap kawannya memang besar.  Oleh sebab itulah, setiap orang Islam dituntut berhati-hati dalam memilih kawan. 

Maka seseorang itu harus menguji kawannya dengan baik supaya dapat diketahui sama ada yang ingin dijadikan kawan itu baik akhlaknya atau sebaliknya agar dapat merasa senang dan tenang berkawan dengannya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Seseorang tergantung pada agama (bawaan gaya hidup) kawan karibnya.  Oleh kerananya setiap orang dari kamu supaya memperhatikan siapa yang menjadi kawannya.”  Abu Daud

Jika orang-orang yang menjadi kawan karib seseorang itu membantunya dalam menunaikan kewajiban agama, menjaga hak-hak orang lain, dan mencegahnya dari perbuatan buruk dan perbuatan dosa dan maksiat, maka mereka itulah benar-benar kawan baik yang wajib dipertahankan dan dipelihara hubungan persahabatannya. 

Kawan sejati adakalanya dapat membimbing seseorang itu ke jalan bahagia di dunia dan  akhirat.  
Sedangkan kawan yang tidak terang sikap dan pendiriannya serta buruk akhlaknya akan banyak menimbulkan kesulitan bagi kawannya. 


KEWAJIBAN MEMILIH KAWAN

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memerintahkan supaya berhati-hati  dalam memilih kawan pergaulan.

Dari Abu Musa radhiallahu ‘anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sabda Baginda:

“Perumpamaan berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat, tak ubahnya seperti berkawan dengan penjual minyak kasturi atau dengan tukang tiup api dibengkel tukang besi. 

Jika berkawan dengan penjual minyak kasturi, adakalanya engkau diberi minyak kasturi atau engkau membeli daripadanya atau setidak-tidaknya engkau dapat tercium bau harum.

Dan jika berkawan dengan peniup api di bengkel tukang besi, adakalanya pakaianmu boleh terbakar atau setidak-tidaknya engkau tercium bau busuk.”  Muslim 


KEINDAHAN IMAN

Oleh kerana cinta demi kerana Allah itu merupakan iman dalam bentuknya yang tertinggi, maka hasilnya akan dapat dinikmati pada saat orang-orang yang berkenaan benar-benar telah merasai keikhlasan cintanya itu. 

Gelojak rasa  cinta yang sedemikian besarnya itu merupakan petanda kesempurnaan dan kejernihan iman seseorang yang memang patut sekali memperoleh imbuhan pahala setinggi-tingginya. 

Mengenai hal ini, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Dua orang  yang saling bercinta kasih demi kerana Allah, sekalipun dalam keadaan tidak saling bertemu, maka di antara dua orang itu yang paling dicintai Allah ialah yang paling mencintai sahabatnya.”  At-Tabrani

Dan, dalam sebuah Hadis yang lain, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Ada tiga hal yang di dalamnya orang akan menemukan keindahan iman dan merasakan kemanisannya: 

(Pertama):  jika orang itu lebih mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada yang lain. 

(Kedua):  jika orang itu mencintai atau membenci sesuatu demi kerana Allah semata-mata. 

(Ketiga):  jika ia lebih suka terjun di  dalam kebakaran api yang menyala-nyala daripada berbuat menyekutukan Allah dengan yang lain.”  Muslim

Maka berkawan dengan orang-orang yang taqwa dan berfikiran matang dapat meningkat sampai ke puncaknya yang paling indah.


Hari Jumaat
3 JamadilAwwal 1434 Hijriyah
15 Mac 2013

Friday, March 8, 2013

RUMAH PENINGGALAN



Cerita pendek yang bertajuk “RUMAH PENINGGALAN” ini ditulis semasa berumur 17 tahun ketika menuntut ilmu di Al-Madrasah Al-‘Alawiyah, Arau, Perlis, Malaysia, telah disiarkan dalam tulisan Jawi oleh akhbar Warta Negara, 56 tahun dahulu.


WARTA NEGARA
Hari Rabu
5 ZulHijjah 1374 Hijriyah
3 Julai 1957

Cerita Pendek

((RUMAH PENINGGALAN))
Oleh: Ghazali M. Nur

Suasana malam sunyi sepi daripada suara manusia atau binatang peliharaan.  Hanya suara-suara binatang hutan sahaja kedengaran dan langit kelihatan gelap hitam diselubungi oleh sang awan, tanda hujan akan turun, sang rambulan pun tiada kelihatan.

Di sana kelihatan sebuah gobok yang kecil sedang berkelip-kelip cahaya pelita tanda penghuninya belum lagi tidur.

“Sudah lelap bang Man?”  Suara isterinya memecah sunyi.

“Oih….belum….” Jawab suami sambil menggeliat.

“Kau sedang buat apa Munah, belum masuk tidur lagi?”  Tanya suaminya serta menarik kain selimut.

“Memadam potong-potong api atas dapur”  Jawab isterinya.

Suasana sunyi sebentar.

“Bang Man!!”  Suara memecah sunyi.

“Ya”.

“Bang Man jangan cepat jendera, Nah tak lena malam ni.”  Kata isteri.

“Ada apa pula……??”  Tanya suami dengan cemas.

Suasana pun sunyi sedia kala.

“Tak jadi beli, bang Man.”

“Apa pula tak jadi beli……?”  Tanya suami dengan hairannya.

“Rumah”

“Rumah….??  Oh…rumah orang Siam yang kita akan beli itu, mengapa pula, tak mahu, bukan dulu kau juga mahu…??  Dah masa  hendak tidur mula tak mahu… macam mana fikiran kau sekarang…??”

“Nah takut, kerana dikata  orang rumah berhantu.”

“Abang dah bersetuju akan beli harganya murah lapan ribu ringgit, rumah semacam itu payah hendak dicari.  Kawasan pun luas ada dengan telaga, kolam bunga teratai dan taman bunga yang teratur.  Abang ingat orang yang menerima pesaka itu tak berapa cukup akal kerana sanggup menjual rumah sebegitu dengan harganya pula murah.”

“Abang tak tahu”  Kata isteri dengan suara halus.

“Apa??"  Tanya suaminya.

"Tadi waktu abang keluar pergi bekerja orang tua penjaga rumah itu datang mencerita kejadian rumah itu kepada Nah.  Ceritanya sangatlah gerun dan ajaib.

Katanya beberapa tahun yang silam di masa pemerintahan Siam memerintah dengan cara diktator dulu undang-undang di bawah  tangan raja. Banyaklah gadis-gadis jelita menjadi korban mangsa untuk raja-raja dan pembesar-pembesar kerajaan apabila mereka berkehendak memuaskan nafsu kebinatangannya, bukan sahaja gadis yang menjadi mangsa mereka bahkan apa sahaja yang mereka berkehendak pasti ditunai, kata orang tua itu dan sambungnya lagi.

Cuba lihat nun …. Jauh di lereng bukit sana, sebuah sisa dangau yang terasing sedikit dengan dangau-dangau yang banyak itu.  Di situlah tempat kediaman seorang anak yatim namanya Adinan.  Bapanya meninggal dunia pada masa ia sedang di dalam bangku pelajaran di sebuah sekolah di kampung  itu, sedangkan ibunya telah meninggal terlebih dahulu daripada bapanya.  Oleh yang demikian ia terpaksa berhenti daripada pelajaran, kerana tak ada waris yang sanggup memeliharanya.  Maka ia tak duduk lagi di situ terus ia merantau.

Tak berapa lama ia diambil oleh seorang datuk panglima raja Siam namanya Waicabun, buat menjaga kebun bunganya.

Namun ia ada seorang anak perempuan namanya Rasmi.  Rupa parasnya payah dibanding di masa itu.

Lapan tahun berlalu, kini Adinan tidak lagi menjaga kebun bunga semacam dulu, ia bekerja sebagai perajurit membela tanahair.

Selalu juga ia balik menjumpai Rasmi yang kini umpama bunga sedang kembang, baunya harum semerbak merata-rata.  Makin hari makin wangi.  Tak ada seekor kumbang pun berani mendekati. Maklumlah bunga jagaan, kecuali Adinan sahaja dapat memiliki hatinya.

Adinan berjanji bahawa ia akan mendiri sebuah rumah bagi siap sebelum ia hantar utusan untuk meminang Rasmi.

Maka rumah pun didiri orang.  Adinan sebagai penjaga orang-orang bekerja.

Masa berjalan hari bertukarkan minggu, minggu bertukarkan bulan, rumah yang didiri telah pun siap, serta ditanam pokok-pokok bunga di sekeliling rumah,  di sebelah hadapan rumah digali buat kolam bunga teratai, dan sebiji telaga di dalam rumah.

Maka Adinan pun mencari utusan untuk menghantar bunga sirih terhadap orang tua Rasmi.  Tetapi malangnya cita-cita itu roboh dengan tak disangka-sangka oleh manusia kejam……..kejam lebih daripada binatang durjana itu ialah utusan datang dari maharaja Siam hendak mengambil Rasmi pergi…..macam manakah perasaan Rasmi di masa itu?  Kau lukislah sendiri Munah, kiranya kau terkena semacam  itu.”  Kata orang tua itu. 

Ia berhenti mencerita sebentar sambil menunduk kepalanya ke bumi, dan sambungnya lagi:

“Maka utusan itu pun berkata: “Besok pagi kamu mesti bersiap sebelum pukul lapan pagi, kereta akan datang mengambil.” 

Utusan maharaja Siam itu pun kembali.

Suasana malam pun datang menyelimuti alam.  Semua unggas-unggas yang tadi berterbangan di angkasa raya, kini masing-masing membawa diri pulang ke sarang. 

Angin malam bertiup halus, semua isi alam sunyi sepi.  Sekali sekala kedengaran pungguk mengigau di dalam rimba raya.

Di anjung rumah yang besar itu kelihatanlah Rasmi termenung, air mata mengalir berderai-derai membasahi pipi yang gebu itu bak mutiara gugur dari talinya.

Pada malam itu ia memutuskan fikirannya untuk menemui Adinan buat kali yang akhir di rumah yang baharu siap itu.  Ia pergi serahkan segala-galanya terhadap kekasihnya.

Tadi dian menyala-nyala dengan megahnya, kini datang angin memadamnya, air yang tenang di dalam kolam di hadapan rumahnya mulai bergerak-gerak.  Dengan beransur-ansur air itu tenang kembali.  Angin tak ada lagi, dian pun dipasang semula.  Kelihatan Rasmi menangis tak berhenti-henti.

“Kanda….! Malam ini ialah malam pertama kali dinda merasai nikmat jumpa dan juga malam yang terakhir buat jiwa adinda”.

Adinan tak dapat berkata umpama ada sesuatu benda datang menyumbat di halkumnya, hanya dipeluk Rasmi merapatkan ke pipinya.

“Dinda akan balik sebelum fajar kerana takut dilihat orang-orang raja yang sedang mengintai-intai.”  Kata Rasmi.

Fajar putih mulai menyinsing , Rasmi turun dari rumah kekasihnya serta ditemani oleh Adinan sekerat jalan, kemudian Adinan balik masuk dan serta dipadamkan dian.

Sekejap sahaja kedengaran suara perempuan menjerit dan senyap tak kedengaran lagi.

Dengan tak membuang masa Adinan terjun turun ke bawah hendak melihat peristiwa itu.  Maka dilihat sebuah kepala perempuan tergantung di dahan jambu dan badannya terbaring di umbi.

Dengan tak memikir panjang ia membelek-belek badan itu.  Tetapi tak dapat ditelah kerana terlampau gelap, lalu ia  naik mengambil kepala yang sedang tergantung itu sambil memerhati.

Miski pun begitu, ia tak bergerak-gerak ke mana sedangkan ia memegang kepala itu.

“Pakngah…..pakngah”  Ia memanggil aku dengan sekuat-kuat suara. 

Aku turun dengan membawa sebuah lampu picit dan sebilah keris, kerana aku ingat kalau pencuri. 

Dengan terperanjat apabila cahaya lampuku sampai ke muka perempuan yang dipegang oleh Adinan itu ialah kepala Rasmi.

“Pakngah….tolong ambil cangkul ke mari, saya akan gali liang malam ini sebelum cerah.”

Aku pun balik mengambil dua bilah cangkul. 

Sudah kami  menggali liang itu, maka ia berkata: “Sekarang pakngah buat ikut saya kata, kambuskan saya serta isteri saya ini, dan tolong persampaikan pesanan saya ini pada mereka yang berhak menerima pesaka ini.  Tanah dan rumah ini kiranya belum cukup empat puluh tahun tak dibenar sesiapa menjual, duduk dan sewa.  Kalau mereka tak mengikut, mereka akan menerima kecelakaan seumur hidup dan saya akan duduk menunggu di sini dengan isteri saya selama empat puluh tahun.”

“Begitulah ceritanya yang diceritakan oleh orang tua penjaga rumah itu.”  Kata isterinya. 



Hari Jumaat
25 Rabi’ulAkhir 1434 Hijriyah
8 Mac 2013