Friday, May 4, 2012

RATNA MUTU MANIKAM



CINCIN

Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissalam memakai cincin.   Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakai cincin yang diperbuat daripada perak. 

Raja-raja di dunia ini, biasanya memakai cincin yang bertatahkan permata intan, berlian, manikam seperti zamrud, berlian, delima, nilam, dan lain-lain lagi.

Cincin juga merupakan lambang-lambang kemegahan, kekayaan, kekuasaan, tanda ikatan perjanjian dan lain-lain lagi.

Cincin yang bertatahkan permata itu adalah yang amat disukai oleh kaum wanita di semua zaman, tidak kira sama ada mereka itu ratu, kaya atau miskin.   Cuma apa yang menjadi pilihannya ialah mengikut kemampuan mereka mendapatkan cincin tersebut.

Namun begitu orang-orang lelaki juga ada yang berminat memakai cincin sama ada yang bertatah dengan permata intan, berlian, manikam atau tidak. 

Terdapat sesetengah orang-orang lelaki memakai cincin sepenuh sepuluh jarinya yakni kesemua jari tangan kanan dan kirinya.

Kebanyakan perempuan India Hindu memakai cincin di jari dan juga di hidung dan di jari kakinya.


CARA CINCIN DIPAKAI

Cara memakai cincin bagi orang-orang Islam adalah seperti tersebut di bawah ini:

LELAKI MEMAKAI CINCIN

·          Orang lelaki Islam adalah haram memakai cincin emas atau suasa (campuran emas dan tembaga atau   campuran emas dan perak).

·          Makruh bagi lelaki Islam memakai cincin tembaga dan besi.

·          Orang lelaki Islam boleh mengikut sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakai  cincinperak, dan afdhal memakai pada jari tangan sebelah kanan.

·          Harus bagi lelaki Islam memakai apa-apa cincin sama ada  diikat bertatahkan dengan ratna mutu manikam atau tidak yang mana ianya diperbuat daripada kayu,  tempurung, batu, kristal  dan lain-lain bahan yang tidak  haram mengikut syarak.

·          Makruh bagi lelaki Islam memakai cincin pada jari telunjuk atau jari tengah (jari hantu) tangan kanan atau tangan kiri.

·          Sunat bagi orang lelaki memakai cincin pada jari kelengkeng tangan kanan atau pada jari kelengkeng tangan kiri.


PEREMPUAN MEMAKAI  CINCIN SEPULUH JARI

·          Bagi orang-orang perempuan Islam harus memakai cincin emas atau suasa sama ada bertatahkan dengan ratna mutu manikam atau tidak.

·          Harus bagi orang-orang perempuan Islam memakai apa-apa cincin yang diperbuat daripada apa-apa bahan yang tidak haram  seperti kayu, gading, tempurung, batu, kristal dan lain-lain bahan.

·          Orang-orang perempuan Islam harus memakai cincin pada mana-mana jari tangan kanan dan kiri.

·          Harus bagi orang-orang perempuan Islam memakai cincin pada kesemua sepuluh jari tangannya.


PERKARA-PERKARA LAIN MENGENAI CINCIN

·          Harus membuat ukiran nama dan ukiran-ukiran lain bagi mencantikkan cincin.

·          Harus memakai cincin masuk ke jamban atau tandas jika tiada ukiran perkataan Allah padanya.




Hari Jumaat
12 JamadilAkhir 1433 Hijriyah
4 Mei 2012