Friday, April 13, 2012

INDAHNYA LAKONAN




FILEM AKSI

Kebetulan pada suatu malam, aku sempat menonton pertengahan sebuah filem aksi.   Aku terlupa nama tajuk filem itu.

Apa yang membuat aku tertarik menonton filem itu ialah aku melihat kehebatan seorang pelakon budak perempuan dalam lengkungan umur belasan tahun berlawan dengan ramai kumpulan lelaki dan ia dapat mengalahkan lelaki-lelaki lawannya itu.

Aksi-aksi budak perempuan itu pada pandanganku nampak lincah, gerak geri “martial arts”nya pun setanding dengan pelakon-pelakon lelaki.

Aku terus menonton filem itu sampai ke penghujungnya hingga ke senarai nama pengarah, nama-nama pelakon-pelakon dan kru-kru yang menjayakan filem tersebut.

Semasa nama-nama tersebut dipaparkan di penghujung filem, ditunjukkan juga beberapa kerat adegan (scene) yang ada kesilapan dialog, aksi-aksi yang salah yang perlu di ulangi lakonannya sebelum filem tersebut diedit dan ditayangkan agar nampak sempurna dan tiada kecacatan “flaw”. 

Rupa-rupanya filem yang amat menarik pada pandanganku itu, terdapat banyak lakonan-lakonan yang salah dan silap semasa penggambaran sebelum dirakam, diedit dan ditayangkan kepada penonton-penonton. 

Hal seperti itu, sebelum ini aku tidak mengambil kisah kerana menganggap apa yang aku tonton itu benar belaka.


SEBAGAI HIBURAN

Dengan menonton filem tersebut, aku dengan tidak semena-mena mula memikirkan tentang filem-filem dan video-video yang berunsurkan Agama Islam seperti cerita-cerita masyarakat, pendidikan, ceramah-ceramah dan lain-lain yang dilakonkan.

Di antara filem-filem dan video-video itu dilakonkan oleh budak-budak yang mana ianya ditayangkan di televisyen-televisyen dan lain-lain media elektronik yang, biasanya, akan kelihatan elok dan menarik. 

Rupa budak-budak yang berlakon itu juga kelihatan lebih cantik dan lebih tampan daripada biasa kerana mukanya telah disolek “make-up” oleh juru-juru solek lelaki dan perempuan yang bukan mahram kepada budak-budak tersebut.  Mereka juga dipakaikan dengan pakaian-pakaian yang menarik bagi menyesuaikannya dengan jalan-jalan ceritanya atau ceramahnya.

Filem-filem tersebut juga tidak terlepas daripada diadakan latihan “rehearsal” terlebih dahulu dan di “cut”, dirakam dan di  “edit”  dan sebagainya sebelum ditayangkan kepada umum supaya filem-filem yang berunsurkan Agama Islam itu dilihat baik dan benar yang menjadi bawaan pelakon-pelakon itu di kaca mata penonton. 

Kebanyakan penonton-penonton amat tertarik dengan kefasihan sebutan dialog-dialog yang telah disediakan dan yang telah dihafal oleh pelakon-pelakon atau artis-artis dan pelakon budak-budak untuk filem-filem dan video-video yang berkenaan.

Dengan yang demikian itu, pelakon-pelakon, artis-artis, pengarah, produser dan lain-lain orang yang terlibat dengan filem-filem dan video-video yang berunsurkan Agama Islam itu akan diberi pujian atas hasil mereka itu kerana berjaya mempermain-mainkan dan menjadikan Agama Islam itu sebagai hiburan.  

Bagi sesetengah penonton, walaupun mereka  tahu bahawa gaya hidup pelakon-pelakon, artis-artis, pengarah, produser dan lain-lain orang yang terlibat dengan pembuatan filem-filem yang berunsur Agama Islam itu tidak mengamalkan apa yang dilakonkan, dicakapkan dan apa yang ditulis mengenai Agama Islam yang boleh dijadikan tauladan dan iktibar; penonton-penonton masih boleh menerima karya mereka itu dengan penuh minat dan menjadikan mereka itu sebagai idola.

Justeru itu, maka dunia ini adalah pentas lakonan, tempat tipu menipu, tempat mencari hiburan yang melalaikan dan tempat “cari makan” bagi orang-orang yang tidak beriman kepada Allah Ta’ala.


Hari Jumaat
21 JamadilAwwal 1433 Hijriyah
13 April 2012







DR.MANMOHAN SINGH PAKAI SERBAN



Sekali sekala, bila aku menonton television ternampak seorang pembaca berita yang tidak pernah buang serban bila membaca berita.  Ia adalah Harjit Singh Hullon yang kemas dan rapi memakai serban besar menutup kedua-dua telinganya.

Cara memakai serban seperti itu adalah mengikut pakaian serban agama yang dibawa oleh GURU NANAK (15 April 1469 – 22 September 1539).

Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh juga memakai serban yang sama bentuknya dengan Harjit Singh Hullon dan orang-orang yang patuh kepada agama Guru Nanak tersebut.

Dalam siaran saluran television yang lain pula, aku melihat ada penceramah Agama yang memakai serban besar yang menutup kedua-dua belah telinganya dan ekor serbannya panjang,  ada kala ditarik ke hadapan di atas bahu sebelah kanannya. 

Bentuk ikatannya pula sama seperti Dr. Manmohan Singh atau Harjit Singh Hullon iaitu ikatan serban di atas dahinya berbentuk sudut seperti huruf  “A”.

Aku perhatikan orang itu menulis huruf-huruf Al-Quran Al-Kariim di mana tulisannya yang amat buruk tidak setaraf dengan kemuliaan Al-Quran Al-Kariim.

Jika dibandingkan tulisannya itu, kanak-kanak sekolah rendah Arab kelas “Ibtida-iyah” lebih baik khatnya daripada orang itu.  Bahkan kanak-kanak dari sekolah rendah Arab kelas “Ibtida-iyah” juga jika diberi peluang memberi ceramah di television, mereka juga mampu berbuat demikian kerana mereka hanya perlu ikut skrip sahaja.  Gambar-gambarnya pula dirakam dan diedit terlebih dahulu sebelum disiarkan di television.


Namun begitu, ada sesetengah orang tidak memandang atau tidak sedar akan hal tersebut di atas kerana mereka memandang ceramahnya, kononnya menarik.    Sesiapa yang ingin memberi ceramah Agama Islam haruslah ia belajar ilmu Agama dengan cara yang betul dan mengamalnya sebelum ia memberi ceramah kepada orang ramai. Begitu juga dengan akhlak serta cara penampilan/pakaiannya, haruslah betul di sisi Agama Islam.


Pada hematku, bagi penceramah-penceramah Agama yang tidak  tahu menulis dengan cara khat yang betul, huruf-huruf Al-Quran dan tidak pandai mengikat serban dengan betul mengikut Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam; mereka boleh memilih dengan menulis dalam huruf Rumi, huruf Tamil atau huruf-huruf lain, dan dengan itu adalah lebih baik daripada menulis huruf-huruf Al-Quran yang buruk juga tidak perlu memakai serban secara olok-olok.


Bagi orang-orang yang hendak pakai serban mengikut Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka ia hendaklah belajar daripada orang-orang yang beramal memakai serban dengan cara yang betul; jangan memakai serban mengikut sesuka hati tanpa ilmu.



Hari Jumaat
21 JamadilAwwal 1433 Hijriyah 
13 April 2012

PUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN ORANG YANG DERHAKAKAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA


Jika didapati seseorang itu melalui gerakgeri dan kata-katanya tidak mentaati Allah Ta’ala dan RasulNya, maka tidak ada apa lagi padanya untuk dihormati orang itu.  Sama ada orang itu ibu bapa , isteri atau suami atau saudara mara sendiri tidak seharus dimuliakan.
Memutuskan hubungan dengan orang-orang yang  menderhakai perintah dan larangan Allah Ta’ala, atau orang-orang yang tidak mengendahkan hukum-hukum Allah Ta’ala, tidak merupakan perbuatan dosa. 
Orang Islam  yang membenci mereka itu tidak disalahkan oleh Agama Islam, demikian juga bila ia menyatakan rasa permusuhan secara terus-terang.  Bahkan sikap orang Islam yang seperti itu merupakan tanda keluhuran imannya dan menunjukkan keikhlasan serta kesetiaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah At-Taubah, Ayat 23, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.” Ayat 23

Hari Jumaat
21 JamadilAwwal 1433 Hijriyah
13 April 2012