Friday, March 30, 2012

INGKAR DAN HASAD DENGKI MENJADI DINDING...

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Israa’, Ayat 45 dan Ayat 46, maksudnya:
“Dan apabila engkau membaca Al-Quran ( wahai Muhammad), Kami (Allah) jadikan perasaan ingkar dan  hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.”  Ayat 45
“Dan Kami (Allah) jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al-Quran;  dan sebab itulah apabila engkau menyebut (Allah) nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur  melarikan diri.”  Ayat 46

Al-marhum Syaikh Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah  (Prof. Dr. HAMKA) telah menafsirkan kedua-dua ayat tersebut  seperti berikut:
“Al-Quran dibaca oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka terbukalah hati (orang-orang) yang beriman.  Al-Quran bisa (boleh) menjadi Syifa’, ubat penawar hati.  Fikiran yang keruh dapat jadi jernih, akal yang kusut bisa (boleh) jadi selesai.   Tetapi kalau hati telah menolak, tidak mahu percaya bahawa  dibelakang(kemudian) hidup yang sekarang ini ada YAUMUL-HISAB, terdapatlah hijab atau dinding yang menyebabkan hati itu tertutup.”
“Pada hati mereka (yang menolak Al-Quran) ada penutup yakni semacam materai, sehingga tertutup, walaupun kebenaran macam apa yang hendak dimasukkan ke dalam, namun penutup itu telah menghambatnya (menolaknya).  Apa juapun macam kebenaran dan betapapun kuat alasan, akan selalu diartikannya lain.  Pada telinga  ada tekanan, yakni ada semacam penyumbat, sehingga kebenaran pun tak masuk ke dalam telinganya.”

Hari Jumaat
7 JamadilAwwal 1433 Hijriyah
30 Mac 2012


Friday, March 23, 2012

MINDA DAN AKAL YANG SIHAT PADA BADAN YANG SIHAT

JAGA KEBERSIHAN

Setiap manusia mempunyai dua unsur iaitu rohani dan jasmani atau minda dan fizikal. Rohani mempunyai penyakit begitu juga jasmani ada penyakit, yang masing-masing berlainan bentuk dan sifatnya.

Dalam penulisan ini, hanya akan disentuh mengenai penyakit-penyakit jasmani atau fizikal sahaja. Walaupun penyakit yang menyerang jasmani itu, ada sesetengahnya berpunca daripada panyakit-penyakit yang tumbuh atau berpunca dari dalam hati dan rohani seseorang.

Tidak ada cerdik pandai, tidak ada cendiakawan, tidak ada penyair, tidak ada ahli falsafah, tidak ada doktor, tidak ada ahli sains, tidak ada ahli politik yang berkuasa menafikan bahawa kesihatan badan dan minda itu amat penting bagi seseorang.

Tanpa kesihatan badan dan minda, seseorang itu bukan sahaja tidak berguna kepada dirinya tetapi juga memberati atau menjadi kesusahan bagi orang lain menanggungnya.

Orang-orang yang mengidap penyakit akan menjadi stres,risau, gelisah serta dukacita.

GANGGUAN KEHIDUPAN

Orang yang tidak sihat, susah untuk bergerak bagi menjalankan urusan kehidupan sehariannya. Namun begitu, tidak ada seorangpun yang terlepas daripada sakit, walaupun orang itu benci kepada penyakit atau benci untuk jatuh sakit dan berusaha bersungguh-sungguh menjaga kesihatannya.

Misalannya:

Seorang doktor yang tahu cara menjaga kesihatan disamping ia menasihati ramai pesakitnya supaya menjaga kesihatan, doktor tersebut tidak terlepas dirinya daripada jatuh sakit. Mereka menjadikan orang-orang sekeliling mereka, kaum keluarga, pakar-pakar perubatan, doktor-doktor dan kakitangan perubatan dan bukan perubatan menjadi kalut dengan sebabnya.

Di antara orang-orang yang boleh dijadikan iktibar dan sebagai contoh:

1. Seorang pakar bedah jantung (First Human Heart Transplant) yang ternama pada suatu masa, iaitu Dr. Christiaan Neethling Barnard (Sir Prof Magdi Yacoub), dari Africa Selatan, beliau tidak dapat meneruskan kerjanya kerana ia mendapat penyakit di mana tangannya menggeletar dan meninggal pada 2 September 2001 (8 November 1922-2 September 2001).

2. Seorang mantan perdana menteri Malaysia iaitu Dr. Mahathir Mohamad, seorang doktor tidak dapat menolak sakit jantung dan telah mendapat rawatan dan pembedahan koronari beberapa kali di Institut Jantung Negara Malaysia, sedangkan ia adalah seorang doktor dan isterinya Dr. Hasmah Mohd. Ali juga seorang doktor sebagai doktor peribadi bagi Dr. Mahathir Mohamad dan menjaganya 24 jam tiap-tiap hari.

3. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan (6 February 1911 – 5 June 2004), iaitu presiden sebuah negara yang kononnya negara “Super Power” yang memilikki segala teknologi dan sains, ekonomi, bidang perubatan dan lain-lain lagi. Amerika Syarikat juga menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Namun begitu mereka tidak dapat menyelamatkan presiden mereka dari penyakit Alzheimer yang merosakkan sel-sel saraf otak yang menjadi sebab presiden itu mati.

4. Professor Stephen Hawking, seorang ahli sains fizik yang lumpuh seluruh anggotanya, tidak berkuasa menjadikan tubuh badannya sendiri sihat dan sempurna.

5. Sigmund Freud, seorang Yahudi dari United Kingdom adalah seorang pakar dalam Neurology, Psychotherapy dan Psychoanalysis. Ia diserang penyakit Leukoplakia iaitu sejenis cancer.

Kerana ia tidak dapat mengatasi penyakitnya itu, ia telah cuba membunuh diri sendiri. Dengan bantuan anaknya, Anna Freud telah menyuntik morfin ke dalam badan bapanya itu dan mati pada 22 September 1939.

ORANG MUKMIN YANG KUAT LEBIH BAIK

Setiap orang mukmin perlu berusaha dan berdoa supaya dirinya diberi Allah Ta’ala sihat dan panjang umur sebagai wadah baginya mendapat rezeki untuk beribadat kepada Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala lebih suka kepada orang mukmin yang kuat dari segi rohani, minda, akal fikiran dan fizikal badan, jasmani dalam keadaan mana pun mengikut fizikal kejadian yang Allah Yang Maha Bijaksana telah jadikan dan anugerahkan kapada seseorang itu, daripada orang mukmin yang lemah semangat, akal fikiran dan lemah keadaan fizikal untuk bergerak, sepertimana tersebut dalam Hadis berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Orang mukmin yang kuat lebih baikdan lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah. Namun dua-duanya baik. Oleh itu hendaklah engkau berusaha bersungguh-sungguh memperolehi apa yang memberi manafaat kepadamu, serta hendaklah memohon pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan jika sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku berbuat begini, tentu akan jadi begini”, tetapi katakanlah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaanNya, Ia (Allah) lakukan” Ingatlah bahawa perkataan “Kalau” itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” Muslim

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menasihatkan umatnya supaya sentiasa bersih, suci, rapi dalam segala gaya hidupnya supaya diberi Allah Ta’ala sihat dan selesa, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah adalah Maha Indah menyukai keindahan. Allah adalah Maha Bersih menyukai kebersihan. Allah Maha Pemurah menyukai kepemurahan, Maha Dermawan dan menyukai kedermawanan. Oleh kerana itu hendaklah kamu membersihkan halaman rumah-rumah kamu dan janganlah meniru orang-orang Yahudi.” At-Tarmidzi

BERUBAT ITU ADALAH TAKDIR

Berubat penyakit adalah sunat. Berusaha untuk berubat itu adalah takdir Allah Ta’ala jua, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi:

“Daripada Abi Khuzamah katanya: “Telah aku tanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka kataku : “Ya Rasulullah! Apa fikiran tuan hamba akan jampi yang kami jampi dengan dia dan ubat yang kami berubat dengan dia dan peliharaan yang kami pelihara dengan dia, adakah menolak daripada qadar (takdir) Allah sesuatu?” Sabda Baginda: “Ia daripada qadar (takdir) Allah.” Hasan Sahih

Bagi orang-orang yang beriman, berubat itu adalah sunat dan sebagai usaha. Oleh itu, berubatlah dengan apa-apa cawangan perubatan yang dibenarkan lagi halal yang boleh menyembuhkan penyakit, kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:
“Allah Ta’ala tidak menurunkan suatu penyakit kecuali diturunkan bersamanya ubat.” Ibnu Majah

PANTANG ITU KEPALA UBAT

Kepala ubat itu pula ialah berpantang serta mencegah daripada minum dan makan benda-benda yang merbahaya dan yang menyebabkan sesuatu penyakit itu bertambah sakitnya.

Maka dengan berpantang dan mencegah, seseorang itu terlepas daripada sakit, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi:

“Daripada Umm Al-Munzir katanya: “Masuk atasku (yakni datang kerumahnya) Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan bersamanya Ali, dan bagi kami tandan-tandan bergantung (yakni tandan kurma digantung menunggu masak dan dimakan buah yang mana-mana masak dahulu), maka tampil Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (yakni Baginda datang menziarah ke rumah perawi) dan makan, dan Ali (yang ada bersamanya) mahu makan, maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam makan ia (kurma) dan Ali sertanya mahu makan. Maka bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Ali: “Berhenti! Berhenti! Ya Ali, maka bahawasanya engkau baru sembuh sakit (yakni baru sembuh daripada sakit mata).” Kata perawi: “Maka duduk Ali dan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam makan Baginda seorang diri.” Kata perawi: “Maka aku masakan bagi mereka itu “silqa dan syai’r”. Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Ya Ali! Daripada (masakan) ini, maka ambillah makan akan dia, (kerana) bahawasanya ia bersetuju bagimu (sesuai lagi serasi) dengan sakit engkau itu.” Hasan, Gharib

Orang-orang Inggeris telah mengutip daripada pengajaran yang tersebut di atas, digunakan dalam dunia perubatan, sepertimana tersebut dalam peribahasanya:

“Prevention is better than cure.” (Berpantang serta mencegah itu lebih baik daripada berubat).

“An ounce of prevention is worth a pound of cure.” (Satu auns berpantang serta mencegah itu nilainya satu pound berubat).

ALLAH MAHA PENGASIH

Allah Ta’ala, kerana kasihNya kepada hamba-hambaNya, melarang hamba-hambaNya yakni mencegah mereka itu supaya tidak meminum dan memakan benda-benda yang diharamkan kerana di antara benda-benda yang dilarang (diharamkan)itu, ada di antaranya memberi mudarat yang tidak diketahui oleh manusia atau ianya mengandungi unsur-unsur yang tidak baik seperti mengandungi toksik, racun, benda-benda yang memabukkan, bahan-bahan yang basi, hodoh lagi jijik, dan lain-lain lagi.

Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang yang beriman supaya makan benda-benda yang halal lagi baik sahaja, sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 114, maksudnya:

“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya (Allah) semata-mata.” Ayat 114

BUKAN UBAT PADA BENDA YANG HARAM

Di antara pelbagai cara perubatan yang diketahui seperti perubatan yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan lain-lain cara perubatan, kecuali ubat-ubatan atau bahan-bahan yang berasaskan benda-benda yang haram seperti enzim-enzim dari babi dan anjing dan lain-lain bahan yang diharamkan Allah Ta’ala, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis:

Daripada Abu Darda’ radhiallahu ‘anh, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan ubatnya, dan menjadikan bagi setiap penyakit ada ubat, maka berubatlah tetapi jangan sesekali berubat dengan sesuatu yang diharamkan.” Abu Daud

Walau apa usaha sekalipun untuk mengubatkan penyakit, ada satu penyakit yang tidak ada ubat, seperti tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi:

“Daripada Usamah bin Syuraik katanya: “Telah berkata seorang Al-A’rab: “Ya Rasulullah! Tidakkah boleh kita berubat? Sabda Baginda: “Bahkan, hai hamba-hamba Allah hendaklah berubat kerana bahawasanya Allah itu tiada menghantarkan satu penyakit melainkan dihantarkan baginya menyembuhnya, atau sabda Baginda: “Ubat melainkan penyakit yang satu.” Kata mereka itu: “Ya Rasulullah! Dan apa ia?” Sabda Baginda: “Tua.”” Hasan Sahih

Tua itu, mengapakah dinamakan dia penyakit? Jawabnya, sebabpun dinamakan penyakit kerana tua itulah membawa kepada binasa, sebab tua itulah yang mendaifkan badan dengan berbagai sakit sampai dibawanya mati.

KESUDAHAN PERUBATAN

Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah, tatkala mereka mendapat bala dan sakit, mereka berubat serta berdoa kepada Allah Ta’ala bagi menolakkan bala dan menyembuhkan penyakit mereka.

Nabi Aiyub ‘Alaihissalam berdoa dan berubat bagi menghapuskan penyakitnya, sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Saad, Ayat 41 dan Ayat 42, maksudnya:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami (Allah): Aiyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab siksa (penyakit).” Ayat 41

“(Maka Kami (Allah) kabulkan permohonannya serta Kami(Allah) perintahkan kepadanya): “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu,” (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami (Allah) berfirman kepadanya): “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (sebagai ubat bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).” Ayat 42

Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berkata sepertimana tersebut dalam firman Allah Ta’ala, dalam Surah Asy-Syu’araa, Ayat 78, Ayat 79, Ayat 80, Ayat 81, Ayat 82 dan Ayat 83, maksudnya:

Tuhan (Allah) yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada) maka Dialah (Allah) yang memimpin dan memberi pertunjuk kepadaku;” Ayat 78

“Dan Tuhan (Allah) yang Dialah (Allah) jua memberiku makan dan memberi minum,” Ayat 79

“Dan apabila aku sakit, maka Dialah (Allah) yang menyembuhkan penyakitku;”
Ayat 80


Hari Jumaat
30 Rabi’ulAkhir 1433 Hijriyah
23 Mac 2012

Friday, March 16, 2012

MEMBERI CONTOH YANG BAIK

Daripada Jarir radhiallahu ‘anh, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Barang siapa yang di dalam Islam memberi contoh perbuatan baik ia memperoleh pahalanya sendiri dan pahala dari orang-orang yang mengikuti perbuatan baik itu sepeninggal dia, tanpa dikurangi sedikit pun juga. Barang siapa yang memberi contoh perbuatan buruk di dalam Islam ia akan memikul dosanya sendiri dan dosa orang-orang yang mengikuti perbuatan buruknya, tanpa dikurangi dari dosa-dosanya sedikit pun juga.” Muslim

Hari Jumaat
23 Rabi‘ulAkhir 1433 Hijriyah
16 Mac 2012

PAKAIAN KE KANDANG HAIWAN

MENERIMA BR1M500.00

Pada suatu hari, (iaitu pada 27 Januari 2012) aku pergi ke sebuah bank berdekatan dengan rumahku sebanyak dua kali. Kali pertama pada jam 9.30 pagi. Oleh kerana aku lihat ramai orang bersesak-sesak di dalam bank, aku tangguhkan urusanku dan bercadang datang semula pada sebelah petang dengan harapan kurang orang waktu itu.

Kali kedua aku pergi ke bank itu selepas solat zuhur, kurang lebih jam 2.30 petang. Anggapanku silap kerana orang masih ramai juga. Kali ini aku tidak pulang dan terus masuk berurusan dalam keadaan kesesakan orang.

Sementara menunggu giliranku, aku memandang ke sana sini melihat iklan-iklan di dinding dan pergerakan orang di dalam bank itu dan memandang ke panel nombor giliran yang dipanggil satu persatu.

Orang ramai yang datang pada hari itu rupa-rupanya kebanyakan daripada mereka, orang-orang yang menerima BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA (BR1M) sebanyak 500.00 Ringgit seorang.

Suasana dalam bank menjadi bising dengan suara percakapan dalam berbagai bahasa; Melayu, China (Mandarin, Hokkien, Hakka, Kantonis), India (Tamil, Malayalam, Benggali, Teleggu).

Untuk tidak menambahkan lagi hingar bingar dengan keriuhan di sekelilingku itu, aku diam sahaja selain daripada sekali sekala berdiri dan berjalan-jalan menghilangkan lenguh.

Cuba bayangkan bagaimana suasana di dalam bank yang sederhana besar itu, kedengaran suara-suara percakapan orang berbagai bahasa yang tidak boleh difahami sesetengahnya tuturan bahasanya.

BAHASA MELAYU PASAR

Di tengah-tengah hingar bingar suara orang ramai itu, aku terdengar suara orang bercakap melayu mengikut telor Ah Pek, berbual dengan seorang cina setengah umur.

Aku pernah dengar orang berkata bahawa lidah orang-orang melayu itu lembut dan ada juga yang melebih-lebih memuji mengatakan bahawa lidah melayu itu adalah lidah emas yang mana boleh mengikut loghat “accent” apa-apa gaya bahasa asing dengan fasih.

Tetapi, pelik juga, apabila kebanyakan orang melayu yang mendapat didikan Inggeris pun masih bercakap gaya MANGLISH (MALAYSIA-ENGLISH). Ada juga yang terus bertutur Inggeris macam loghat Kelantan atau bertutur Inggeris dengan loghat Kedah, atau dengan loghat Terengganu. Apapun asalkan dapat faham sudahlah.

“BOXER SHORTS”

Dalam suasana sesak di dalam bank itu, aku tidak dapat mengelak mataku dari memandang beberapa orang pelanggan muda lelaki dan perempuan yang memakai singlet iaitu baju dalam yang tidak berlengan dan berseluar pendek “boxer shorts” atau seluar dalam pendek.

Salah seorang daripada mereka meletakkan sikunya ke atas kaunter bank tersebut sehingga ternampak bulu ketiaknya bercacak serabut menjijikkan di hadapan pekerja bank, seorang perempuan yang memakai pakaian seragam bank yang sopan.

Melihatkan keadaan itu, terlintas dalam fikiranku, walaupun gaya pakaian rakyat Malaysia bebas untuk dipakai dengan apa cara pun, alangkah eloknya pihak berkuasa dapat menetapkan suatu “dress code” untuk orang ramai pakai ketika bertemu menteri, berlanggan dengan pejabat-pejabat kerajaan, badan-badan berkanun dan swasta, supaya ianya tidak kelihatan pakaian-pakaian itu seperti pakaian orang-orang ke reban ayam, ke ladang-ladang lembu dan kambing atau ke kandang babi.

Hari Jumaat
23 Rabi’ulAkhir 1433 Hijriyah
16 Mac 2012

SIAPAKAH YANG GILA?

SALAH GUNA WANG

Terdapat berita yang menyebutkan bahawa pihak kementerian ada menjalankan “Healthy Mind Screening Programme” ke atas murid-murid sekolah.

Pada hemat aku, elok juga perkara itu dibuat untuk mengelakkan banyak perkara-perkara jenayah atau “vandalism” atau buli dan lain-lain lagi jenayah yang berlaku, dikatakan berpunca daripada murid-murid sekolah.

Apa yang perlu bagi pihak-pihak yang berkenaan, di samping mengadakan “Healthy Mind Screening Programme” ke atas murid-murid sekolah, haruslah juga pihak-pihak yang berkenaan itu memperluaskan program tersebut ke atas orang-orang yang bekerja di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan serta pejabat-pejabat di bawahnya, kerana gejala “unhealthy mind and mentally sick” itu bukan pada murid-murid sekolah sahaja.

Bila disebut jenayah, haruslah dilihat dalam semua aspek atau skop yang luas. Umpamanya, jenayah-jenayah bukan sahaja terhad kepada bunuh membunuh tanpa hak, bunuh membunuh sesama manusia atau membunuh perempuan untuk mengelakkan dari terbongkarnya rahsia perlakuan jahat tetapi juga merangkumi jenayah-jenayah lain seperti menyalahgunakan wang kerajaan “misuse public funds”, rasuah , pecah amanah, curi wang dan harta kerajaan dan lain-lain lagi.

Semasa seseorang itu berada dalam keadaan “mentally sick”, ia sanggup melakukan apa sahaja jenayah tanpa mengira tempat, masa dan siapa mangsanya.

“ESCAPISM”

Adalah dilihat bahawa telah menjadi “trend” di mana-mana negara, bagi orang-orang yang mempunyai kuasa bagi melepaskan diri dari perlakuan jenayahnya, mereka menggunakan jentera-jentera dalam pentadbirannya untuk mencari salah dan menuduh orang-orang lain di bawah kuasanya sebagai pelaku jenayah yang telah dilakukannya.

Mangsa-mangsa yang dikatakan pelaku jenayah itu akan menerima berbagai-bagai tuduhan yang seolah-olahnya menunjukkan bahawa mangsa-mangsa itulah yang benar-benar bersalah di kaca mata orang ramai.

Orang-orang yang melakukan jenayah dalam apa bentuk sekalipun, ia adalah terdiri daripada orang-orang yang “mentally sick” mengikut tinggi rendah tahap “mentally sick” atau gila masing-masing.

Jadi sekarang, apakah orang-orang yang berkuasa di kementerian berkenaan dapat menjaminkan bahawa pakar-pakar yang membuat “Healthy Mind Screening Programme” ke atas murid-murid di sekolah-sekolah, benar-benar tidak mengidap penyakit “mentally sick”?

SIAPAKAH YANG SEBENARNYA GILA

Pernah diceritakan kepada aku pada suatu masa dahulu oleh orang-orang yang bertugas di sebuah hospital bahagia yakni hospital yang merawat orang-orang yang berpenyakit “mentally sick” atau orang-orang gila, menceritakan bahawa penghuni-penghuni di hospital berkenaan akan menjerit-jerit dengan suara yang kuat: “Orang gila dah datang!” “Orang gila dah datang!” “Orang gila dah datang!!!”, ketika mereka melihat para doktor yang memakai tali leher dengan stetoskop yang di gantung di leher mereka dan memakai kot labuh putih berlengan pendek yang dilepaskan tanpa berbutang terhayun-hayun, datang membuat “round” bersama-sama dengan staf mereka.
.
Hari Jumaat
23 Rabi’ulAkhir 1433 Hijriyah
16 Mac 2012

KENALI ANTARA "SYMPTOMS" MUNAFIQ PADA DIRI

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 142, maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu melakukan tipu daya (terhadap Agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka KAFIR PADA BATINNYA), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka ( dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafiq). Mereka pula apabila berdiri hendak SOLAT , mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan SOLATnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang-orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan SOLAT) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” Ayat 142

Catatan: Orang-orang Islam lelaki dan perempuan, di antaranya ada yang beriman, ada yang munafiq, ada yang fasik dan ada yang fasid.


Hari Jumaat
23 Rabi’ulAkhir 1433 Hijriyah
16 Mac 2012

WAJIB IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU AGAMA ISLAM

Dari Ka’ab bin Malik r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya :

“Sesiapa yang menuntut ilmu, dengan tujuan bermegah-megah menandingi alim ‘ulama dengan ilmunya itu, atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang-orang yang jahil dengan ilmunya itu, atau pun dengan tujuan menarik dengan ilmunya itu perhatian orang ramai memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.” At-Tirmidzi dan Ibnu Majah

Dalam Hadis tersebut di atas, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengingatkan tiga perkara yang tidak sepatutnya dijadikan tujuan bagi menuntut ilmu agama:

1. Bermegah-megah menandingi ‘Ulama
2. Bertengkar dengan orang-orang jahil, dan
3. Untuk mendapat pujian orang ramai

Sesiapa yang menjadikan salah satu dari tiga perkara yang tersebut sebagai tujuannya dalam mempelajari ilmu agama, maka amatlah buruk balasannya, kerana sikap dan tujuannya yang demikian bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri bahkan juga membawa kerosakan kepada agama Allah yang dibawa oleh RasulNya.

Kejadian yang demikian dapat disaksikan di mana-mana; ada di antara orang-orang yang mempelajari ilmu Agama Islam daripada orang-orang kafir Yahudi dan Nasrani semata-mata untuk mendapatkan ijazah tinggi dan untuk mendapatkan kedudukan dalam pentadbiran pihak-pihak yang berkuasa atau sebagai pengajar dalam negara.

Terdapat sesetengah daripada mereka itu bertopengkan Agama Islam untuk memecahbelahkan umat Islam di samping memburuk-burukkan agama Islam dengan menolak hukum-hukum yang diperintahkan Allah Ta’ala, kerana katanya hukum-hukum itu tidak sesuai mengikut zaman atau belum sesuai diamalkan sekarang.


Hari Jumaat
23 Rabi ‘ulAkhir 1433 Hijriyah
16 Mac 2012