Friday, January 13, 2012

KAHWINKANLAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nur, Ayat 32, dan Surah Al-Baqarah, Ayat 221, maksudnya:

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNYA, kerana Allah Maha Luas (rahmatNYA dan limpah kurniaNYA), lagi Maha Mengetahui.” Ayat 32, An-Nur.

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan KAFIR musyrik sebelum mereka BERIMAN, dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang BERIMAN itu lebih baik daripada perempuan KAFIR musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan BERIMAN) dengan lelaki-lelaki KAFIR musyrik sebelum mereka BERIMAN. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang BERIMAN lebih baik daripada seorang lelaki KAFIR musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana) orang-orang KAFIR itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNYA. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNYA (keterangan-keterangan hukum-hukumNYA) kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pengajaran (daripadanya)." Ayat 221, Al-Baqarah.

PERBEZAAN DI ANTARA ISLAM DAN IMAN

Dari Ma’mar, ia berkata: “Az-Zuhri pernah membaca firman Allah: “Katakanlah (Wahai Muhammad)(kepada mereka): “Kamu belum BERIMAN, tetapi sementara IMAN belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam.” Ayat 14, Al-Hujaraat.

Az-Zuhri berkata: “Kami memahami bahawa ISLAM adalah ucapan, dan IMAN adalah amalan (perbuatan)." Sahih, Abu Daud.


Hari Jumaat
19 Safar 1433 Hijriyah
13 Januari 2012

Friday, January 6, 2012

DOA TAHAJJUD


BELUM HAFAZ DOA TAHAJJUD

Begitu baik bagi seseorang yang boleh mengedar dan menjual buku-buku agama Islam untuk memudahkan pembeli-pembeli buku agama Islam mendapatkannya.

Terdapat di antara penjual-penjual buku agama Islam di jalanan yang petah memberitahu tentang buku-buku agama Islam yang dibawanya dengan gaya yang menarik.

Pada suatu hari, sedang aku bersarapan di sebuah kedai makan, sekonyong-konyong datanglah seorang lelaki membawa beberapa buah buku agama Islam dan ia terus menghampiriku. Ia menunjukkan kepadaku nama-nama buku-buku yang dibawanya kepadaku. Aku tidak sedar dari arah mana ia datang dengan tiba-tiba dah menghampiriku.

Aku sedang menikmati makanan tanpa memperdulikan keadaan dan pergerakan sekelilingku.

Penjual buku agama Islam itu menghulurkan sebuah buku yang bertajuk “Fadhilat Sembahyang Tahajjud”. Aku tidak banyak mengambil perhatian tentang buku itu, mengenai siapa penulis dan siapa pengeluarnya.

Aku juga tidak tahu bahasa yang digunakan dalam buku itu sama ada Bahasa Melayu Malaysia atau Bahasa Melayu Indonesia yang mana sekarang ini disebut Bahasa Indonesia.

Sambil aku membelek-belek buku “Fadhilat Sembahyang Tahajjud” yang ada di tangannya, ia terus berceramah dengan lancar dan tersusun kata-katanya dalam bahasa yang baik pula.

Aku sudah tertarik dengannya. Aku terus mendengar sambil makan dan sekali sekala aku menyampuk ceramahnya itu dengan mengiakan apa yang disebutkannya mengenai “Sembahyang Tahajjud”. Aku mengiakannya kerana ceramah lelaki itu benar, tidak ada apa yang silap.

Setelah hampir habis ceramahnya itu, lelaki tersebut sekali lagi meminta aku membeli buku tersebut supaya dapat aku mengamal “Sembahyang Tahajjud”.

Oleh kerana lelaki itu petah berceramah dan fasih cara-cara mengamal “Sembahyang Tahajjud”, aku meminta ia membacakan doa “Sembahyang Tahajjud” secara hafazan.

Lelaki itu terhenti sejenak dan diam tanpa apa-apa reaksi seolah-olah terkaku.

Lelaki itu kemudiannya berkata: “Saya minta maaf, sebenarnya saya belum lagi menghafaz doa “Sembahyang Tahajjud”.

Ia meminta diri dan terus beredar dariku.

Begitulah keadaannya bila seseorang itu pandai dan petah berceramah/bercakap hal agama Islam tetapi ia sendiri tidak mengamalkannya.

Hari Jumaat
12 Safar 1433 Hijriyah
6 Januari 2012

Tuesday, January 3, 2012

REMINISCENCE














Bismillah. Hari ini hari Selasa 9 Safar 1433 Hijriyah/3 Januari 2012, Ayah dan Kak Azian membawa cucunda Muhammad Nur Zubair mendaftar masuk ke sekolah dan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Kuala Selangor, yang terletak kurang lebih 80.5 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.


Pihak sekolah mengadakan pendaftaran masuk sekolah dan perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga murid-murid pada pagi ini hari Selasa, 9 Safar 1433 Hijriyah/3hb Januari 2012, pada jam 8.00 pagi. Ayah bertiga bertolak lebih awal sehari iaitu pada hari Isnin 8 Safar 1433 Hijriyah/2 Januari 2012 selepas solat dzuhur dan bermalam di pekan Bandar Malawati, Kuala Selangor agar perjalanan lebih selesa dan ada ruang masa untuk berehat.


Bila Ayah menjejaki dewan perjumpaan sekolah tersebut pada pagi ini 3 Januari 2012, Ayah terimbas kembali kepada masa kira-kira 33 tahun yang lalu di mana Ayah dan arwah Emak menghantar Dzil Razman memasuki Asrama Tun Doktor Ismail (ATDI) di Kampung Nakhoda , Kuala Lumpur. Selepas Dzil tamat tingkatan lima, Ayah dan arwah Emak sekali lagi menghantar Dzil masuk Institut Teknologi Mara dan tinggal di Asrama (Asrama Jati) di Shah Alam.


Dalam masa 33 tahun dan penitian usia Ayah mencapai 71 tahun sekarang ini, dengan rahmat Allah Ta’ala, Ayah dikurniakan 15 orang cucu iaitu 6 orang lelaki dan 9 orang perempuan. Anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda adalah pewaris zuriyat, pembawa amal yang soleh.
Ayah mengimbas kembali urusan-urusan mendaftar masuk sekolah, pusat matrikulasi, maktab dan asrama-asrama anakanda-anakanda Ayah bermula 33 tahun yang lalu dan yang terakhir sekali adalah kira-kira 19 tahun yang lepas.


Harapan dan bayangan kisah-kisah kenangan manis Ayah sepanjang 33 tahun yang lalu akan kembali menjelma dan menghiburkan hati Ayah bila dapat menghantar dan melihat ramai lagi cucunda-cucunda Ayah ke sekolah, asrama, maktab dan universiti, InsyaAllah.

Hari Selasa
9 Safar 1433 Hijriyah
3 Januari 2012