Friday, August 26, 2011

SALAWAT ADALAH IBADAT

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Ucapan Salawat dan Salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah satu ibadat yang sangat dituntut dari setiap orang Islam dalam setiap masa.

Orang yang mencuaikan ibadat ini adalah dicapkan sebagai bakhil menurut pandangan syara’ kerana menurut perintah Allah Ta’ala, sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 56, maksudnya:

“Sesungguh Allah dan Malaikat-MalaikatNYA bersalawat kepada Nabi (Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam); Wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Ayat 56

Berdasarkan firman-firman Allah Ta’ala dan Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka ‘Alim ‘Ulama Muktabar, Ahlissunnah Wal-Jamaah telah sekata bahawa bersalawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah dituntut dan masa-masa bersalawat itu di antaranya:

1. Bersalawat dalam masa mengerjakan Solat

2. Bersalawat dalam masa membaca tasyahhud

3. Bersalawat setelah habis menjawab azan

4. Bersalawat pada masa berdoa iaitu pada permulaannya, pertengahannya dan pada penghabisannya.

5. Bersalawat setelah selesai mengambil wudhu’

6. Bersalawat pada ketika telinga berdering

7. Bersalawat pada malam Jumaat

8. Bersalawat pada hari Jumaat

9. Bersalawat pada mana-mana perhimpunan baik dan pada masa meninggalkan perhimpunan itu

10. Bersalawat pada masa masuk ke masjid dan pada masa keluarnya.

Di antara lain, dituntut juga bersalawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, atau ganti namanya, ataupun pangkat kenabiannya, atau pangkat kerasulannya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Adalah perlu ingatkan bahawa meringkaskan susunan kata “Sallallahu ‘Alaihi Wasallam” dengan huruf Hijaiyah ‘Arab iaitu “Sod” atau huruf-huruf “SOD-LAAM-‘AIN-MIIM” dicantumkan menjadi “SOL’AM”; Atau dalam tulisan rumi “SAW” atau “S.A.W.” atau dalam tulisan Inggeris “P.U.H. (PEACE UPON HIM)”, adalah CARA PERBUATAN ORANG BAKHIL.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat
26 Ramadhan 1432 Hijriyah
26 Ogos 2011

DOKTRIN TOKSIK

PETANDA-PETANDA WAHABI

Telah disedarkan bahawa pengikut-pengikut mazhab baru iaitu Mazhab Wahabi atau Mazhab Salafi Wahabi yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ( 1114H/1703M-1206H/1792M), dapat dikenali melalui petanda-petanda pembawaan mereka, di antaranya seperti berikut:

1. Menghina, memperleceh dan mengkritik ‘Ulama-‘ulama Muktabar.

2. Menderita kepanasan, naik berang dan hilang pertimbangan akal apabila tokoh-tokoh Wahabi atau Salafi Wahabi ditegur oleh ‘ulama-‘ulama Ahlissunnah Wal-Jamaah.

3. Merasa dan menunjukkan bahawa mereka lebih daripada ‘Ulama-‘ulama Muktabar dan orang-orang lain yang bukan dalam golongan Wahabi dalam hal pegangan Sunnah.

4. Suka dan cepat menuduh orang-orang Islam lain sebagai KAFIR, BID’AH, SESAT DAN MUSYRIK.

5. Meletakkan tangan di atas dada paras jantung ketika Qiam serta mengangkang dua kaki dengan luas, menempelkan jari kaki dengan makmum-makmum yang berada di sebelahnya semasa bersolat.

6. Menggerak-gerakkan jari telunjuk kanan dalam solat dengan pelbagai gaya yang pelik.

7. Sesetengah pendakyah Wahabi berjalan-jalan berpaling dari Qiblat, bergerak dengan sengaja, membetul-betulkan pakaian atau serban, membuka pintu rumah, menutup cerek atas dapur, menjawab panggilan telefon ketika mereka solat. Cara tersebut ada menyerupai sembahyang cara YAHUDI. Dalam keadaan rukuk, orang-orang Yahudi dibenarkan untuk bergerak ke arah berbagai sudut yang dikehendaki mereka.

8. Cabut lari yakni terus bangkit sebaik sahaja selesai menunaikan solat. Bagi mereka zikir dan wirid berjemaah tidak dilakukan dan jika ia dilakukan, ia adalah bid’ah yang sesat (dhalalah).

9. Menghukumkan bahawa majlis-majlis zikir, tahlil, talqin, kenduri arwah, membaca Yasin malam Jumaat, membaca do’a selamat, bacaan qasidah, burdah, majlis bersalawat dan lain-lain, semuanya bid’ah yang sesat.

10. Takbir raya (‘Aidul Fitri dan ‘Aidul Adhha) berlagu seperti yang diamalkan di Malaysia dan Nusantara, mereka hukumkan SYIRIK.

11. Berlaku kasar terhadap orang-orang Islam yang tidak sealiran dengan fahaman mereka dan sebaliknya berlemah lembut dan mesra dengan orang-orang kafir Yahudi dan Nasrani.

12. Tidak beradab dan tidak sopan terhadap Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, semasa mereka menyebut dan memanggil namanya. Mereka hanya memanggil Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan menggunakan sebutan “Muhammad” atau mengguna perkataan ganti nama seperti “nabi” atau “dia” sahaja. Jika dalam suasana tertentu mereka terpaksa bersalawat, maka mereka akan bersalawat secara sambil lewa dan main-main.

13. Tidak bersalawat langsung apabila mereka mendengar nama Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, atau ganti nama Baginda atau gelaran Baginda disebut orang.

Jika didapati petanda-petanda atau di antara petanda-petanda tersebut di atas ada pada seseorang, maka benarlah ia seorang yang telah dijangkiti virus WAHABI atau SALAFI WAHABI sama ada ia seorang WAHABI TEGAR atau WAHABI PERTENGAHAN atau WAHABI AWAM yakni pengikut biasa.

TERIKUT-IKUT

Virus Wahabi juga boleh meresap kepada sesiapa sahaja secara tidak disedari jika seseorang itu tidak mengambil tahu tentang apa yang diamalkannya. Perkara ini boleh berlaku atas beberapa sebab, di antaranya:

1. Kerana terikut-ikut akan apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa ilmu,

2. Kerana terikut sahabat-sahabat sesama belajar atau kawan-kawan lama yang pernah belajar bersama tanpa menyedari bahawa sahabat atau kawan lama itu pengamalannya dalam agama telah berubah kepada amalan yang salah dan diam-diam dia menjadi pendakyah fahamannya.

3. Salah memilih bahan-bahan bacaan, sama ada ianya kerana tertarik “intocicated” dengan tajuk-tajuk yang agak sesuai dengan apa yang dicari tanpa menyelidiki latar belakang siapakah pengarang buku-buku itu. Isi kandungan buku-buku yang ditulis oleh mereka itu kebanyakannya berselindung di bawah tajuk-tajuk yang menarik itu.

Zaman ini telah ramai orang-orang yang pandai menulis dan berceramah mengenai teori-teori yang menggunakan tutur kata dan bahasa yang menarik dalam hal-hal agama Islam.

Ada di antara mereka itu, terdiri daripada pensyarah-pensyarah, pendakwah-pendakwah, atau bukan sahaja oleh pendakyah-pendakyah agama yang salah aqidah dari Agama Islam yang sebenar, bahkan juga oleh orang-orang kafir Kristian dan Yahudi yang mempunyai pengetahuan dalam Agama Islam dengan tujuan untuk memesongkan ‘Aqidah Umat Islam.

PENGGIAT-PENGGIAT WAHABI DI MALAYSIA

Nama-nama penggiat Wahabi tegar di Malaysia yang mana diketahui,di antaranya seperti tersebut di bawah ini:

1. Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin@Abdul Talib (Nama asal ialah Mohd Asri bin Abdul Talib). Memakai gelaran Dr MAZA.

2. Dr Azwira Abdul Aziz

3. Hafiz Firdaus Abdullah

4. Ust Rasul Dahari

5. Ust Aizam Mas’od

6. Ust Eizul A’la bin Bajuri

7. Abdulfatah Haron bin Ibrahim

8. Dr Ismail Lutfi

9. Dr Johari Mat Isa

10. Dr Abdullah Yasin

11. Dr Zakaria@Mahmood Daud

12. Dr Juanda Jaya

13. Ust Fathul Bari Mat Jahaya

SUNTIKAN TOKSIK

Untuk mendapat tarikan dan sambutan, golongan mazhab Wahabi ini menggunakan berbagai-bagai jenama dan cara bagi mengelakkan identiti mereka cepat dikenali sebelum mereka dapat memerangkap dan menyuntik toksik Wahabi ke dalam badan dan otak mangsa mereka yakni orang-orang Islam lain supaya mengikuti mazhab yang dibawa mereka.

Di antara jenama-jenama itu ialah Mazhab Salaf, Salafiah, Salafus Sholihin, Ansar Al-Sunnah, Ittiba’ Al-Sunnah, Golongan Tajdid, Golongan Islah dan Muslim Progresif.

Oleh yang demikian, adalah mustahak bagi seseorang muslim memilih kitab-kitab yang ditulis oleh Ahlissunnah Wal-Jamaah yang warak yakni oleh ‘Ulama-‘ulama Muktabar atau orang-orang yang kekal beramal dengan ilmu Agama Islam (Agama Tauhid).

GOLONGAN SALAFI BUKAN WAHABI

Lafaz atau sebutan SALAFI atau SALAFIAH, sebenarnya bukan golongan mazhab WAHABI tetapi di guna pakai secara meluas bagi tarikan dalam mendakyahkan orang Islam lain. Maksud SALAFI yang sebenarnya ialah hanya ditujukan kepada golongan generasi Umat Islam yang terawal yakni golongan yang terdiri daripada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in atau dengan kata lain, golongan terawal Umat Islam yang hidup sebelum Hijrah sehingga 300 (tiga ratus) atau 500 (lima ratus) tahun selepas Hijrah sahaja.

Oleh itu, maka SALAFI atau SALAFIAH itu bukan terdiri dari golongan Wahabi atau Salafi Wahabi dan pengikut-pengikutnya kerana ajaran mazhab Wahabi yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhabi lahir pada tahun 1114 Hijriyah/1703 Masihi.

BALIK KE PANGKAL JALAN

Justeru itu, jika seseorang itu telah terlanjur membuat kesalahan terikut mazhab Wahabi sama ada sedar atau tidak sedar, maka hendaklah ia cepat-cepat kembali ke pangkal jalan dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepada Allah Ta’ala dan ingatlah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Semoga mendapat hidayah dan taufiq daripadaNya.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.

Hari Jumaat
26 Ramadhan 1432 Hijriyah
26 Ogos 2011

Friday, August 12, 2011

PEMILIHAN JODOH MUKMIN DAN MUKMINAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

BERCINTA DAHULU KEMUDIAN NIKAH

INTIM

Dalam menggalakkan pernikahan, Islam tidak mengizinkan teruna dan dara, atau lelaki dan wanita yang bukan mahram berjumpa rapat sebelum bernikah untuk membuat perhubungan cinta sama cinta, suka sama suka, bercinta dahulu kemudian nikah, sehingga ada di antara mereka terbabas dengan perlakuan maksiat yang hina.

Islam juga tidak membenarkan pasangan lelaki dan wanita yang sudah bertunang keluar tanpa mahram, bersiar-siar atau menjalankan urusan-urusan bersama-sama kerana pertunangan itu bukanlah kelulusan atau paspot yang membolehkan pasangan tersebut bebas bergerak sebagai suami isteri.

ASMARA DANA

Bila syaitan menguasai jiwa raga pasangan yang berasmara dana dan bercinta sebelum nikah itu, maka tiada lagi batasan-batasan halal dan haram di sana. Walaupun pasangan itu “’abid” iaitu orang yang kuat beribadat, atau orang-orang yang berkuasa dalam pentadbiran agama Islam, mereka juga tidak terlepas dari “talbis syaitan” yakni tidak terlepas dari jerat syaitan la’natullah.

Islam tidak mensyaratkan bahawa “bercinta dahulu kemudian nikah”, atau “bercinta sebelum nikah” yang mana kononnya cara itu membolehkan seseorang itu mengenali peribadi lelaki dan wanita pasangan masing-masing secara khusus.

BAGAIKAN SAMPAH

Budaya “bercinta dahulu kemudian nikah”, atau “bercinta sebelum nikah” itu adalah budaya kafir semata-mata. Ada di antara mereka yang “bercinta sebelum nikah” bertahun-tahun lama, akhirnya ada di antaranya jadi bernikah dan ada juga pasangan yang tidak jadi bernikah. Dan tidak kurang pula terdapat wanita-wanita itu yang telah terlanjur dan terpaksa mendaftar pernikahan kerana mengandung.

Ada juga di antaranya yang melahirkan anak di luar nikah setelah ditinggalkan lelaki pasangannya bagaikan sampah yang amat hina, kerana telah habis nafsu syahwat bercinta, putus kasih mesra, hilang cinta sama cinta “I love you no more, you love me no more”.

“SINGLE PARENT”

Bagi orang kafir, wanita-wanita yang melahirkan anak di luar nikah itu dipanggil “single mother” atau “ibu tunggal” yakni ibu yang ditinggalkan pasangannya dan melahirkan anak tanpa bapa yang sah.

Untuk membezakan panggilan “single mother” atau “ibu tunggal” dengan ibu yang melahirkan anak melalui pernikahan yang sah, maka wanita-wanita ini pula dipanggil “single parent” atau “single parent family”, dan mengikut istilah dalam Bahasa Melayu dipanggil “janda” atau “duda” yang menjaga anak-anaknya bersendirian.

Konsep panggilan “single mother” atau “ibu tunggal” walau bagaimanpun adalah bertujuan untuk menutup status ibu kepada anak luar nikah, maka panggilan tersebut digunakan juga secara meluas dan menyeluruh terhadap ibu-ibu yang melahirkan anak melalui pernikahan yang sah oleh orang-orang kafir dan orang-orang Melayu, dan panggilan tersebut sudah tidak menjadi janggal lagi.

Penggunaan perkataan “ibu tunggal” diguna pakai oleh semua media dan janda-janda yang menjaga anak yang lahir melalui pernikahan yang sah juga suka, berbangga dan ghairah dengan panggilan diri mereka “single mother” dan “ibu tunggal”.

PEMILIHAN JODOH

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’alaa dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 221, maksudnya:

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman; dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan mukminah) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNYA. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNYA kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran.” Ayat 221

Dalam bab pernikahan “munakahaat”, Islam tidak melarang lelaki bakal suami melihat wanita bakal isterinya dalam batas-batas dan keadaan yang diizinkan syara’.

Dalam memilih jodoh, Islam adakan empat garis panduan yang perlu diikuti; dan tidak ada panduan atau istilah “bercinta sebelum kahwin” atau “bercinta dahulu kemudian kahwin”.

Empat garis panduan itu adalah sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“(Alasan) wanita itu dinikahi adalah empat hal: kerana harta, keturunan, kecantikan, dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang beragama, nescaya engkau beruntung.” Bukhari dan Muslim

Adalah diriwayatkan dari Ibnu ‘Amr, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Dunia ini adalah harta benda, dan sebaik-baik harta benda dunia adalah wanita solehah.” Muslim

Bagaimana pula dengan wanita, dengan siapakah dia harus bernikah? Sebagai panduan kepada persoalan itu ikutilah sabda Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, mafhumnya:

“Apabila datang kepada kamu orang yang kamu sukai agamanya dan budi pekertinya, maka nikahkanlah dia. Kalau tidak, nescaya akan timbullah fitnah dan kerosakan yang besar.” At-Tarmidzi

Dr.HAMKA, telah menulis dalam “Tafsir Al-Azhar, Juzu’ 26, muka surat 245 dan 246”, berhubung dengan hadis tersebut di atas, seperti berikut:

“Dengan Hadis ini jelaslah bahawasanya yang pokok pada ajaran Allah dan pembawaan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada mendirikan kafa-ah, atau mencari jodoh, bukanlah keturunan, melainkan agama dan budi, dan inilah yang cocok dengan hikmat agama. Kerana agama dan budi timbul dari sebab taqwa kepada Allah, maka taqwa itulah yang meninggikan gengsi dan martabat manusia. Tetapi setengah manusia tidak memperdulikan agama itu.”

Wallahu 'Alamu Bissawab


Hari Jumaat
12 Ramadhan 1432 Hijriyah
12 Ogos 2011