Sunday, November 14, 2010

SEPUCUK SURAT DARIPADA SAYANG BAIDURI


50, Jalan Bayu Mas
Wadi Hanna
KEDAH
DARUL AMAN.
7 November 2010

Bismillahirrahmaanirrahiim


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Abang Amiir Walii yang disayangi.

Abang,

Semenjak abang balik ke kampung menziarahi mak dan ayah, sejak itu sayang terasa sesuatu yang hilang di sisi sayang iaitu abang. Walaupun abang kurang bercakap ketika berada di rumah kerana sibuk dengan kerja masing-masing tetapi hati sayang merasa penuh tenteram dan tenang.

Sayang menulis surat ini untuk memberitahu abang tentang keadaan sayang dan anak-anak di rumah.

Abang,

Untuk makluman abang, sayang dan anak-anak di rumah semuanya dalam keadaan sihat. Nisaa’, anak kita yang bongsu itu selalu memanggil abang,” ayah, ayah”. Kadang-kadang bila paksunya Arsyad dating, dia berlari-lari menerpa keluar menjenguk. Dia sangka abang yang balik.

Sayang amat sedih melihat dia. Tentang sayang sendiri, perasaan rindu kepada abang, sayang cuba seboleh-bolehnya menyembunyinya daripada dirasai oleh anak-anak kita, walaupun hati sayang ini hampir hancur remuk, rasa pedih dan rindukan abang, walaupun abang baru sahaja balik ke kampung.

Setiap kali perasaan itu menjelma dalam ingatan, sayang menjadi hanyut dan hampa. Hampa kerana abang yang sayang rindui, jauh dari sisi sayang.

Abang,

Dalam masa sayang duduk berseorangan bila anak-anak sudah tidur, fikiran sayang mengelamun, mengimbau kenangan-kenangan semasa kita diakadnikahkan sebelum ke universiti dulu dan semasa kita di universiti pula, kita selalu bersama dalam bilik kuliah dan di perpustakaan hingga ke tengah malam. Kita selalu bersama ke mana sahaja, jarang sekali kita berenggang. Bila abang ke fakulti lain untuk mengikuti kuliah abang, hati sayang menjadi gelisah rindukan abang bila terpaksa berpisah walau sesaat pun.

Abang,

Kita berkahwin bukan atas dasar cinta sebelum kahwin. Kita berkahwin sebelum berkenalan dan bercinta. Selepas kita berkahwin baru sama-sama kita menerokai tentang latarbelakang, perasaan dan kegemaran masing-masing.

Sayang pun rasa pelik juga perjalanan perkahwinan kita itu berbeza dengan “trend” sekarang ini. Di zaman siber ini, dunia menjadi tanpa sempadan dalam semua hal kehidupan dan sosial. Pergaulan di antara remaja, tua muda, di mana-mana sahaja, berlaku tanpa had dan batas, masa dan waktu.

Bagi kita, selepas berkahwin barulah bermula tumbuhnya benih cinta sayang terhadap abang. Cinta sayang dari hari ke hari bertambah-tambah erat. Semakin kenal, semakin bertambah sayang dan cinta.

Sayang masih ingat kata abang bahawa cinta itu akan kekal hingga ke akhirat, sekiranya cinta itu kerana Allah Ta’ala dan begitu juga kalau kita benci, maka benci itu kerana Allah Ta’ala. Cinta dan benci bukan kerana Allah Ta’ala itu adalah palsu, lahir dari nafsu. Kita cinta atas apa yang Allah Ta’ala suka dan kita benci akan barang yang Allah Ta’ala larang.

Sayang juga membuat catatan sebuah Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang abang bacakan kepada sayang.

Daripada Anas Al-Hujanii berkata bahawa Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda mafhumnya:

“Siapa memberi ia kerana Allah, dan menahan ia kerana Allah, dan cinta ia kerana Allah, dan berkahwin ia kerana Allah, maka sesungguhnya ia menyempurnakan akan IMAN.” - Abu Isa AT-Tarmidzi,( Hasan dan Sahih.)

Abang,

Sekarang di bandar dan di kawasan rumah kita banjir semenjak dua hari yang lepas. Rumah kita dimasukki air. Sayang dan anak-anak bertungkus lumus mengangkat apa-apa jua barang yang terdaya bawa naik ke tingkat atas. Peti ais, tv, sofa, meja makan dan dapur semuanya ditenggelami air. Air naik dengan cepat sekali sedangkan hujan tidak seberapa lebat.

Sayang masih ingat pesanan abang bahawa segala musibah, bencana banjir dan sebagainya, bagi orang-orang mukminin adalah suatu dugaan dan mereka menerimanya dengan rela. Mengingati sabda baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam itu, sayang rasa tenang dan mendapat suntikkan tenaga yang luar biasa yang tidak pernah sayang rasai. Hadis itu juga sayang catitkan, tetapi semasa berlakunya banjir itu sayang hanya ingat-ingat lupa matannya, tak mengapakan, abang.

Setelah berehat dari penat, sayang membaca balik Hadis tersebut seperti berikut:

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah, radhiallahu ‘anhuma, berkata bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Muslim sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan, kedukaan, sesuatu yang menyedihkan, atau kesusahan yang telah berlaku, sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya, melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya sebahagian dari dosa-dosanya.” -Bukhari dan Muslim.

Abang,

Selepas mengangkat barang-barang itu, badan sayang rasa lemah dan amat lesu sekali. Kaki tangan sayang menjadi sejuk dan kebas-kebas kerana terendamlama dalam air banjir semasa mengangkut barang-barang tersebut.

Ketika ini sayang bertambah sedar dan yakin bahawa Allah Ta’ala menjaga dan memberi kita sihat dan Allah Ta’ala juga boleh mengambilnya balik bila-bila masa. Manusia tidak dapat menahan dan menolak segala kehendakNya itu walaupun mereka merasai bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja kerana mereka banyak harta dan boleh menggunakan apa-apa perkhidmatan daripada orang lain dengan hartanya itu.

Abang,

Sayang tidak pergi kerja dan anak-anak juga tidak ke sekolah kerana semua jalan raya ditutup kepada semua kenderaan. Mana-mana sekolah dan universiti yang ada peperiksaan telah dikhabarkan bahawa peperiksaan pada hari-hari banjir itu ditunda ke suatu tarikh lain.

Air tidak surut-surut lagi sampai ke hari ini, yakni hari sayang menulis surat ini. Pihak berkuasa negara melalui berbagai-bagai agensinya tidak dapat menahan air banjir yang melimpah-limpah itu.

Kadang-kadang terlintas di hati, sayang tidak mahu bekerja lagi. Sayang rasa lebih baik sayang menjadi suri rumah sepenuh masa supaya sayang dapat menjalani kewajiban sayang sebagai isteri kepada abang dan ibu yang dapat mendidik anak-anak agar mendapat keredhaan Allah Ta’ala.

Sekali sekala fikiran sayang ini menjadi konflik di antara tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah dengan gaya kehidupan perempuan-perempuan sekarang yang amat mementingkan hal-hal yang tidak kekal dan lupa hari-hari muka yang berat iaitu hari-hari yang tidak ada guna lagi segala kenikmatan yang ada pada seseorang di atas dunia ini. Berbagai andaian dan persepsi diperkatakan orang, di antaranya ialah:

· perempuan perlu bekerja walaupun pendapatan suaminya mencukupi supaya perempuan tidak menjadi susah sekiranya suaminya mati atau menceraikannya

· perempuan yang telah mendapat kelulusan tinggi tidak perlu membuat kerja-kerja rumah kerana dari gajinya ia boleh menggajikan orang lain untuk membuat kerja-kerja rumah tersebut

· perempuan yang bekerja boleh membantu ekonomi keluarga dan dapat membantu ibu bapa dan saudara maranya

· adalah amat rugi belajar hingga ke universiti jika kemudiannya menjadi suri rumah sepenuh masa

· menghampakan harapan ibu bapa yang mengharapkan anak perempuan mereka bekerja dan mendapat gaji yang besar setelah ibu bapa ituberkorban menghantar anak perempuan mereka belajar hingga ke universiti, jika akhirnya anak perempuan mereka berkahwin dan tidak mahu bekerja

Lebih-lebih lagi sekarang ini ada kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan kesetaraan gender “Action Groups for Gender Equality” yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada perempuan-perempuan semua kaum. Mereka itu sangat aktif dan amat lantang suaranya, mendesak perempuan-perempuan supaya mereka dapat berganding bahu” berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dalam segala profesion dan “trade” yang dilakukan oleh kaum lelaki di atas dunia ini dan perempuan-perempuan perlu mengatasi kaum lelaki.

Mereka itu mahukan supaya segala urusan rumah tangga, menjaga, mengasuh anak-anak, jika boleh hendaklah dikendalikan oleh suami, atas perbelanjaan si isteri. Si isteri boleh bergerak bebas ke mana-mana sahaja, tidak kira masa siang atau malam untuk menjalankan urusan profesion dan ” trade” yang sandangnya, dan jika perlu meninggalkan suami dan anak-anak berminggu-minggu dan berbulan-bulan lamanya mengikut keadaan.

Perkara tersebut, walaupun sayang telah dididik oleh abang untuk menjadi seorang isteri yang solehah, fikiran sayang adakala terbawa-bawa juga dengan kata-kata desakkan dari kumpulan-kumpulan tersebut dan membuatkan sayang hanyut seketika, maafkan sayang, abang.

Sayang harap bahawa perkara ini, kita dapat bermesyuarat dan membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya agar mendapat keredhaan Allah Ta’ala. Terserahlah kepada abang membuat keputusan, sayang redha kerana Allah Ta’ala.

Abang,

Dalam rumah kita sekarang ini, makanan masih ada lagi. Air pili dan letrik ketika ini terputus. Alhamdulillah, air dalam tangki di tingkat bawah dan tingkat atas masih penuh, dan pelita-pelita minyak tanah yang telah digunakan pada malam hari raya dulu masih boleh dipakai. Walaupun cemas, sayang tidak lupa berzikir mengingati kuasa Allah Ta’ala di atas perkara-perkara yang berlaku ini.

Terlintas di hati sayang bahawa apa yang berlaku dalam masa dua tiga hari ini adalah amat kecil, jika dibandingkan dengan sepanjang masa sepuluh tahun yang lalu rumah kita tidak pernah kena banjir dan kita suami isteri serta anak-anak diberi Allah Ta’ala sihat. Alhamdulillah.

Abang,

Akhir sekali, sayang berdoa agar abang khususnya dapat menziarah dan berbakti kepada mak dan ayah ketika mana mereka dan kita masih ada.

Sayang bercadang akan ikut abang bersama anak-anak balik ke rumah mak dan ayah sepanjang cuti sekolah nanti mulai daripada hari Ahad, 21 November 2010 ini, InsyaAllah.

Abang,

Hanya setakat ini dulu berita dari sayang dan sampaikan ucapan “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh” untuk mak dan ayah, yang sayang sayangi dan ta’ati.

Isterimu
Sayang Baiduri

Hari Ahad
30 Z’Qaedah 1431 Hijriyah
7 November 2010.

Friday, November 5, 2010

PENDERMAAN ANGGOTA DAN ORGAN MUSLIM


ANGGOTA DAN ORGAN HAK MILIK ALLAH TA’ALAA

Tiap-tiap orang mukmin berpegang dengan penuh yakin bahawa semua anggota badan seseorang itu adalah milik mutlak Allah Ta’alaa dan ianya dipinjamkan kepada orang yang berkenaan dan terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab orang itu. Mereka redha dengan ketetapan anugerah Allah Ta’alaa kepada mereka, maka dengan itu mereka sayang dan menjaga dengan baik setiap anggota dan organ-organ yang menjadi milik tanggungjawab mereka.

Adalah menjadi kesalahan dan berdosa, jika mereka mengabaikan penjagaan, kebersihan, kesucian, dan keselamatan anggota-anggota dan organ-organ yang ada pada diri mereka itu supaya tidak dicacatkan atau dipotong-potongkan.

HARAM BUNUH DIRI SENDIRI

Oleh kerana anggota-anggota dan organ-organ itu milik Allah Ta’alaa secara mutlak, maka ianya menjadi haram bagi seseorang membunuh dirinya sendiri.

Allah Ta’alaa berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 29, maksudnya:

“Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu”. Ayat 29

Ketika membahaskan Ayat tersebut di atas, Ibnu Mardawaih membawakan Hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa bunuh diri dengan sebuah besi, maka besi itu akan ada di tangannya. Ia merobek-robek perutnya dengan besi itu pada hari Kiamat kelak di Neraka Jahannam dan kekal selamanya. Barangsiapa membunuh dirinya dengan racun, nescaya racun itu berada di tangannya, dia meneguknya sedikit-sedikit di Neraka Jahannam dan kekal selamanya. Dan barangsiapa membunuh dirinya dengan menjatuhkan dirinya dari gunung, maka ia akan terus menjatuhkan dirinya di dalam Neraka Jahannam dan kekal selamanya.” (Terdapat dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim)

Dari Abu Qilabah dari Tsabit bin Adh- Dan diriwayatkan Dhahhak radhiallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa bunuh diri dengan sesuatu, maka ia akan diazab dengan sesuatu itu pada hari Kiamat.”

Oleh kerana it, Allah Ta’alaa berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 30, maksudnya:

“Dan barangsiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam Neraka.” Ayat 30

Artinya, barangsiapa yang melakukan larangan Allah Ta’alaa dengan melampaui batas lagi zalim, yakni mengetahui haramnya tetapi berani melanggarnya, maka ini merupakan peringatan yang tegas dan ancaman yang keras.

Justeru itu, Allah Ta’alaa tidak memerintahkan seseorang untuk menderma dan menjual hak milikNya itu kepada orang lain walaupun kepada kaum keluarganya sendiri kerana anggota-anggota dan organ-organ itu dipinjamkan Allah Ta’alaa khusus kepada orang itu sahaja.

Sebagaimana terdapat dalam kitab “Mastika Hadis, Jilid Pertama” yang menyebut bahawa jika terdapat sebahagian (walau yang sekecil-kecilnya) dari anggota orang-orang Islam yang diketahui matinya, maka wajib disembahyangkan sesudah dimandikan dengan niat menyembahyangkan seluruh tubuhnya, dan wajib dibungkus dengan kain, kemudian ditanam.

ANGGOTA MENJADI SAKSI DI HADAPAN ALLAH TA’ALAA

Segala anggota dan organ tetap menjadi saksi di akhirat nanti, ketika perbicaraan dijalankan di hadapan Allah ‘Azza Wa Jalla.

Allah Ta’alaa berfirman, dalam Surah Fussilat, Ayat 20 dan Ayat 21, Ayat 22 dan Ayat 23, maksudnya:

“Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan.” Ayat 20

“Dan mereka berkata kepada kulit mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit mereka menjawab: “Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai (pula) berkata-kata,dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada kali yang pertama dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.” Ayat 21

“Dan semasa kamu berselindung ketika melakukan dosa di dunia dahulu bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).” Ayat 22

“Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhanmu. Prasangka itu telah membinasakan kamu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang rugi.”
Ayat 23

Al-Hafizh Abu Bakar Al-Bazzar meriwayatkan dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, ia mengatakan bahawa pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tertawa dan tersenyum, lalu baginda bersabda, mafhumnya:

“Tidakkah kalian bertanya kepadaku sebab apa aku tertawa?” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, sebab apa engkau tertawa?” Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku merasa takjub dengan pembantahan seorang hamba terhadap Tuhan Rabb-nya pada hari Kiamat. Hamba itu berkata, “Wahai Tuhan Rabb-ku, bukankah Engkau telah berjanji kepadaku untuk tidak berbuat zalim terhadapku?” Allah berfirman: “Benar.” Lalu ia berkata, “Sesungguhnya aku tidak menerima seorang saksi kecuali dari diriku sendiri.” Lalu Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:”Bukankah telah cukup Aku sebagai saksi juga para malaikat mulia yang mencatat?’” Anas berkata Baginda mengulang-ulang perkataan ini terus menerus. Kemudian Baginda bersabda: “Lalu Allah mengunci mulut hamba itu dan berkatalah anggota-anggota tubuhnya. Lalu ia berkata, “Terkutuk dan celakalah kalian (wahai anggota tubuh), padahal demi kalian aku membantah.”

PERKARA SYUBAHAT

Perkara pendermaan anggota dan organ atau perpindahan anggota manusia itu sama ada daripada orang yang hidup atau mati telah lama dibahaskan. Dengan alasan-alasan dan pandangan semasa, manusia menjadi cenderung kepada fikiran dan logik akal mereka sendiri, walaupun Allah Ta’alaa telah menjelaskan sesuatu yang halal dan memberi perincian barangan yang haram itu dengan jelas, sebagaimana firmanNya, dalam Surah Al-An’aam, Ayat 119, maksudnya:

“Dan Dia benar-benar telah menghuraikan kepada kamu apa yang diharamkan kepada kamu.” Ayat 119

Islam mengambil berat kepada sikap yang berhati-hati, di mana seseorang muslim mestinya menjauhkan diri daripada masalah yang masih meragukan agar ia tidak terjerumus ke dalam sesuatu perkara yang haram. Sikap ini merupakan pendidikan berwawasan ke masa hadapan, memahami hakikat dan fenomena dunia manusia yang sebenarnya.

Kaedah berfikiran seperti ini sendiri berlandaskan sebuah Hadis:

“Halal itu jelas. Haram juga jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubahat, di mana ramai manusia yang tidak tahu sama ada dia berasal daripada barangan yang halal atau barangan yang haram. Sesiapa yang meninggalkannya, bererti dia telah berusaha membersihkan agama dan kehormatannya, maka dia akan selamat. Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam sesuatu daripadanya, maka sebentar lagi dia pun akan terjerumus ke dalam sesuatu yang haram, sebagaimana halnya seorang yang menggembala di sekitar tanah larangan, sebentar lagi dia akan jatuh ke dalamnya. Ingatlah, setiap raja memiliki tanah larangan. Ingatlah bahawa tanah larangan Allah Ta’alaa adalah keharaman-keharaman-NYA.” ( Al-Bukhari dan Muslim dan At-Tarmidz)

BUKAN ULAMAA’ SEBENAR

Namun begitu, ada sesetengah golongan termasuk golongan kafir, Yahudi dan Nasrani yang ada pengetahuan Islam “Islamic knowledge” yang mengakui diri mereka sebagai kaum tajdid, kaum hadhari, kaum muda dan lain-lain. Mereka itu bukan Ulamaa’ Yang Sebenar.

Mereka cenderung mengeluarkan fatwa-fatwa yang samar-samar, mengelirukan fahaman yang boleh memecah-belahkan orang ramai.

Di antaranya pendapat dan pandangan golongan-golongan itu, ialah:

1. Keperluan orang sakit menderita bagi meneruskan kehidupan mereka

2. Tidak memudharatkan diri penderma yang masih hidup

3. Pendermaan anggota atau organ kepada orang kafir zimmi adalah harus dan pendermaan anggota atau organ kepada orang-orang murtad adalah haram

4. Adalah harus perpindahan mana-mana anggota dan organ; seperti kidney, mata, gigi dan lain-lain, daripada si mati kepada orang-orang yang hidup dengan syarat mendapat izin terlebih dahulu sama ada daripada si mati atau kaum keluarga si mati.

MEMBELAKANGKAN AKHIRAT

Allah Ta’alaa berfirman mencela orang-orang kafir dan orang-orang yang serupa dengannya dalam kehidupan yang sama-sama mencintai dunia, berkonsentrasi kepadanya, memfokuskan diri kepadanya dan meninggalkan hal-hal Akhirat di balik belakang mereka, seperti firman Allah Ta’alaa dalam Surah Al-Insaan, Ayat 27, maksudnya:

“Sesungguhnya mereka (orang-orang kafir) mencintai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan kesudahan mereka pada hari yang berat (hari Akhirat).” Ayat 27

WALLAHU A’LAMU BISSAWAAB

Hari Jumaat
28 Dzil Kaedah 1431 Hijriyah
5 November 2010