Friday, September 24, 2010

SPCA

HOMELESS DOGS

Di Amerika Syarikat dan lain-lain negara kafir terdapat persatuan yang dinamakan “Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA).

Objektif dan modus operandi SPCA secara ringkasnya ialah menerima, mengutip dan menjaga haiwan-haiwan peliharaan “pets” khususnya anjing yang dibuang atau yang terbuang (homeless dogs).

Mana-mana anjing yang sedang bunting selepas mengawan di mana-mana tempat dengan apa-apa jantan baka “breed”, SPCA akan mengambil dan menjaga sehingga anjing itu beranak.

Anjing-anjing yang telah dijaga itu akan diserahkan kepada sesiapa yang berminat dan sanggup mengambilnya untuk dijadikan haiwan peliharaan “pet”.

SPCA menjadi sebutan nama yang mudah dikenali oleh orang-orang yang gemarkan haiwan-haiwan peliharaan “pets”.

RUTH SPIERS

Di Malaysia, SPCA telah ditubuhkan oleh Ruth Spiers dalam tahun 1958.

Konsep dan cara penggendalian SPCA itu telah menarik perhatian orang-orang kafir yang melihat baik hal itu mengikut logik fikiran yang dihiasi syaitan yang memberi pandangan bahawa perbuatan itu sebagai kebajikan.

Orang-orang kafir melihat bahawa manusia adalah haiwan dan haiwan adalah manusia; “Man is the only animal that laughs and weeps, for he is the only animal struck with the difference between what things are and what they ought to be .” - William Hazlitt (1778-1830).

Dengan lain perkataan bahawa manusia adalah setaraf, setara dan ada persamaan dengan haiwan, maka dari segi itu apa-apa rancangan yang dibuat oleh SPCA itu diimplemenkan bagi manusia dengan mengadakan apa-apa nama rumah dan tempat tinggal yang teratur untuk menempatkan wanita dan remaja perempuan yang mengandung.

Mana-mana wanita-wanita atau remaja-remaja yang mengandung di luar nikah dengan sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja, boleh mendaftar masuk rumah-rumah khas tersebut.

Pengurus-pengurus rumah-rumah tersebut akan menerima dan menjaga mereka sehingga mereka melahirkan anak.

Begitu juga bagi bayi-bayi yang tidak dikehendaki atau anak-anak hasil daripada penzinaan juga diterima dan dijaga oleh pihak-pihak yang menguruskan rumah-rumah tersebut sehingga bayi-bayi atau kanak-kanak itu diserahkan kepada orang-orang atau pasangan-pasangan yang mahukan anak.

TANPA TAKUT

Penyediaan rumah-rumah seperti yang tersebut di atas, jika dilihat pada sudut yang lain, ianya bukan sahaja menjadi tempat perlindungan tetapi juga menjadi pendorong kepada mereka yang gemarkan perbuatan maksiat atau orang-orang yang menjalani kehidupan berkenaan untuk lebih giat melakukan penzinaan tanpa segan, malu dan takut.

Mereka boleh melakukan dengan bebas penzinaan tanpa ada perasaan malu kepada masyarakat dan tidak takut dengan hukuman kerana mereka akan dilindungi oleh undang-undang kafir.

Hal itu bertepatan dengan sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi, yang menyebutkan bahawa salah satu daripada tanda-tanda Qiamat itu ialah zina berkembang luas dan tersebar merata-rata tempat, sepertimana sabda Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah Hadis yang berikut:

“Daripada Anas bin Malik r.a., berkata ia bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya: “Bahawasanya daripada alamat Qiamat itu bahawa diangkat akan ilmu (agama) dan zahir jahil, dan tersiar zina, dan minum arak, dan banyak perempuan, dan sedikit lelaki, sehingga jadi bagi lima puluh perempuan pengurusnya seorang.” Hasan dan Sahih.

PENTING

Orang-orang kafir melihat bahawa mengadakan rumah-rumah bagi menguruskan “homeless dogs” dan induk tunggal anjing yang perlu dijaga adalah penting kerana kehidupan mereka sama seperti haiwan sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’alaa dalam Surah Muhammad (Sallallahu ‘Alaihi Wasallam), Ayat 12,yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum, sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” Ayat 12.

Wallahu a’lamu bissawaab.

Hari Jumaat
15 Syawal 1431 Hijriyah
24 September 2010 Miladiyah

Monday, September 6, 2010

PAKAIAN POLOS

PAKAIAN POLOS

“TREND”

Menjelang ‘Eidul Fitri ini, kaum muslimin dan muslimat sibuk menyediakan pakaian-pakaian baru untuk diri sendiri dan anak-anak selain daripada menghiasi rumah dan halaman supaya kelihatan ceria di hari raya.

Khusus bagi kaum muslimin dan kanak-kanak lelaki, akhir-akhir ini gemar memakai pakaian yang bercorak-corak dan berwarna warni. Menjadi “trend” kepada mereka memakai baju-baju berjenama yang ada lukisan-lukisan atau tulisan-tulisan yang menjadi minat dan kesukaan mereka. Contohnya seperti jersi-jersi dan baju-T bola sepak, sukan dan iklan-iklan produk-produk tertentu menjadi pakaian remaja-remaja dan sesetengah orang dewasa.

TRADISI

Memakai apapun pakaian yang menutup aurat lelaki tidak menjadi kesalahan asalkan memakainya pada masa dan tempat yang sesuai dengan pakaian tersebut. Islam tidak menetapkan sesuatu pakaian yang khusus untuk dipakai oleh orang-orang lelaki. Mereka boleh memakai pakaian mengikut tradisi keturunan mereka masing-masing. Misalnya bagi orang-orang Arab, mereka gemar memakai gamis yang labuh, bagi orang-orang di benua India pula gemar memakai kurta baju yang sekerat labuh dengan seluar, orang-orang Islam Masai di benua Afrika pula gemar memakai kain panjang membaluti anggota badan.

Bagi orang-orang Melayu pula gemar memakai pakaian baju melayu, samping dan bersongkok. Orang-orang lelaki Melayu memakai pakaian kebangsaan itu di majlis-majlis resmi, adat istiadat, perkahwinan, berjoget tari menari dan juga untuk bersolat.

BERCORAK-CORAK

Namun begitu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang kaum lelaki dan remaja-remaja lelaki memakai pakaian yang bercorak-corak (gambar, lukisan, tulisan dan sebagainya) ketika bersolat, lebih-lebih lagi pada masa bersolat berjemaah, sama ada berjemaah pada hari Jumaat, hari raya ‘Eidul Fitri, hari raya ‘Eidul Adh-ha dan lain-lain lagi.

Mengenai pakaian yang bercorak-corak itu, terdapat Hadis tersebut:

“Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, pernah solat memakai baju bercorak-corak. Lalu baginda bersabda: “Corak baju ini menggangguku ketika sedang solat. Kerana itu bawalah baju ini kepada Abu Jahm, tukar dengan yang polos.” Sahih Muslim.

BERJELA-JELA

“Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Siapa memakai pakaian yang berjela-jela (terlalu panjang menyapu tanah), maka Allah Ta’ala tidak memandangnya kelak di akhirat.” Sahih Muslim.

SUTERA DAN EMAS

“Daripada Abi Musa Al-‘Asy-‘ari, bahawasanya Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Diharamkan pakaian sutera dan emas atas lelaki umatku dan halalkan bagi perempuan-perempuannya.” Hasan dan Sahih.

WARNA-WARNA

Di samping pakaian yang bercorak-corak, kaum lelaki dan remaja lelaki Muslim juga terikut-ikut dengan memakai pakaian yang berwarna-warna seperti di antaranya; Merah, Hijau, Hitam, Kuning dan lain-lain lagi.

Untuk panduan setiap orang lelaki dan remaja lelaki Muslim, berikut terdapat mafhum daripada Hadis-hadis sahih mengenai dengan warna-warna pakaian mengikut sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan pakaian yang dilarang pakai:-

MERAH

“Daripada Jabir bin Samurah, katanya: “Telah aku lihat akan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada satu malam yang terang, (maka jadi) aku memandang kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan kepada bulan dan di atasnya pakaian merah, maka tiba-tiba ia di sisiku lebih bagus daripada bulan.” Hasan dan Ghariib.

HIJAU

“Daripada Abi Rimthah, katanya: “Telah aku lihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan di atasnya dua kain hijau.” Hasan dan Ghariib.

HITAM

“Daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha katanya: “Keluar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada satu pagi dan atasnya pakaian daripada bulu hitam.” Hasan, Sahih dan Ghariib.

KUNING, PAKAIAN PENDITA, CINCIN EMAS, BACA AL-QURAN DALAM RUKU’

“Daripada ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah melarang berpakaian seperti pendita, dan memakai pakaian bercelup dengan warna kuning, memakai cincin emas, dan membaca Al-Quran dalam ruku’.” Sahih Muslim.

PUTIH

"Daripada Samurah ibni Jundab, katanya: "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Pakai olehmu akan putih maka bahawasanya lebih suci dan lebih bagus dan kapan olehmu padanya akan orang-orang mati kamu"." Hasan dan Sohih. (Abu Isa At-Tarmidzi)


Wallahu A’lamu Bissawab


Hari Isnin
27 Ramadhan 1431 Hijriyyah
6 September 2010 Miladiyyah