Monday, May 31, 2010

EKONOMI KAMPUNG BUNGA RAYA


FORUM MANGGA, EPAL DAN BINJAI

Ketua Kampung Kampung Bunga Raya baru menanam anak-anak pokok mangga, epal dan binjai yang kononnya mengikut penasihat pertanian dari luar negeri, bakanya baik dan hasilnya lumayan.

Ketua Kampung tersebut belum tentu lagi dapat mengutip hasil tanaman pokok-pokok mangga, epal dan binjai yang ditanamnya itu.

Namun begitu, kerana ghairah dan optimis dengan penanamannya itu, dia menjemput lain-lain ketua kampung datang ke satu majlis forum penanaman Mangga, Epal dan Binjai, di samping membawa mereka ke dusunnya untuk melihat sendiri tanamannya serta meminta ketua-ketua kampung yang lain itu turut serta menanam mangga, epal dan binjai baka yang dibawa oleh pakar luar negeri itu.

Dalam ucapan pembukaan forum tersebut, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya menyatakan bahawa dia merancang untuk menubuhkan sebuah bank mengikut sistem Yahudi yang bertaraf antarabangsa. Tujuan menubuhkan bank itu ialah untuk menguruskan hal-hal kewangan ekspot buah-buah mangga, epal dan binjai dari kampungnya dan kampung-kampung yang lain yang turut serta menanamnya.

Ketua-ketua kampung yang hadir di majlis forum itu diminta menjadi ahli bank yang akan ditubuhkan nanti.

MACAM “WALL STREET”

“Apabila perdagangan ekspot mangga, epal dan binjai itu menjadi maju, kita akan adakan sebuah bursa saham seperti “WALL STREET”, yang mana akan mengendalikan urusan-urusan saham kita”, ujar Ketua Kampung Kampung Bunga Raya itu.

Bursa saham “WALL STREET” di New York itu adalah bursa saham yang terpengaruh yang memainkan peranan mengawal ekonomi Amerika Syarikat. Bursa saham “WALL STREET” dikuasai oleh kaum kafir Yahudi.

Walau bagaimanapun sebelum pasaran bursa saham ditubuhkan, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya mencadangkan supaya diadakan tempat judi yang terancang dan berlesen untuk membolehkan anak-anak muda dan orang-orang Kampung Bunga Raya bermain bermacam-macam jenis judi seperti judi kuda, judi tiga nombor dan empat nombor ekor, lotto, sport toto, kasino, judi sukan dan judi-judi yang lain lagi sama seperti yang ada di Las Vegas, Monaco dan Macau.

Dengan itu Kampung Bunga Raya akan menjadi makmur dan kaya raya hasil daripada kutipan cukai judi dan kedatangan pelancung-pelancung kaki judi dari seluruh dunia termasuk juga dari Timur Tengah.

FLOTILLA

Ada di antara Ketua-ketua Kampung yang menyertai forum itu bertanya sama ada usaha itu boleh diteruskan atau tidak kerana pakar yang menasihati rancangan penanaman mangga, epal dan binjai itu orang Yahudi dari negara haram Israel.

Dan sekarang pula, Yahudi telah mengepung Gaza lebih daripada 1,000 hari dan meletakkan penduduk Gaza dalam kesengsaraan kerana kekurangan bahan makanan, tenaga dan berbagai-bagai lagi.

Tindakan Yahudi yang tidak ada perikemanusiaan itu menjadikan penduduk-penduduk Gaza yang berjumlah 1.7 juta tinggal dalam penjara Yahudi yang terbesar di atas muka bumi ini.

Negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi kemanusiaan “Human Rights”, dan negara-negara yang menggelarkan diri mereka sebagai “international community” yang terdiri daripada Amerika dan Kesatuan Eropah senantiasa bermain silap mata “magic show” kepada dunia dan negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam hal Palestin.

Berbagai-bagai misi damai telah dan sedang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun Yahudi terus melanggar segala undang-undang antarabangsa dan membunuh rakyat Palestin hampir setiap hari. Mereka juga merampas dan membina perumahan-perumahan haram di atas tanah-tanah milik penduduk Palestin.

Tindakan ganas yang terakhir sekali, tentera-tentera laut Yahudi telah mengepung beberapa hari kapal Flotilla dan beberapa buah kapal yang lain yang membawa bantuan dari beberapa buah negara ke Gaza.

Di malam yang gelap pada hari Isnin 31 Mei 2010, komando-komando Yahudi dengan menggunakan helikopter-helikopter telah terjun dari udara masuk ke dalam kapal Flotilla dan menyerang orang-orang di atas kapal tersebut.

Adalah dilaporkan bahawa pada malam kejadian itu seramai 16 orang peserta konvoi dalam kapal Flotilla mati dibunuh dan ramai yang cedera parah.

Mendengar berita kapal Flotilla diserang, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya memberi akuan bahawa apa-apa yang berlaku itu akan ditangani dengan mengadakan “press conference” dan mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan Yahudi itu supaya penduduk-penduduk kampung tidak bertindak memprotes rancangan penanaman mangga, epal dan binjai.

Sebenarnya kenyataan yang akan dikeluarkan itu adalah sebagai pertunjukan sandiwara Ketua Kampung Kampung Bunga Raya itu kepada penduduk-penduduk kampung.

Seterusnya Ketua Kampung Kampung Bunga Raya mencadangkan supaya semua Ketua-ketua Kampung yang lain yang hadir bersama-sama menganjurkan pesta-pesta nyanyian dan tarian sepanjang tahun secara besar-besaran dan mengadakan tempat-tempat hiburan. Dengan itu, muda mudi serta penduduk-penduduk kampung boleh minum arak dan menggunakan benda-benda yang memabukkan supaya mereka senantiasa tenggelam dalam kemabukkan dan hanyut dengan keseronokan. Mereka akan menjadi lalai dan lupa akan tanggungjawab dan kehidupan mereka.

Dengan membuat sedemikian, Ketua Kampung Kampung Bunga Raya dengan tegasnya menyatakan bahawa semua kampung-kampung akan dapat ditadbirkan dengan senang dan selesa.

Walau bagaimanapun rancangannya itu telah mendapat tentangan daripada segolongan penduduk Kampung Bunga Raya yang masih waras fikiran mereka dan sedar akan kewajiban yang diamanahkan kepada mereka untuk menjaga keselamatan Kampung Bunga Raya sebagai satu-satunya kampung warisan untuk anak cucu zuriat yang akan datang.

Hari Isnin

17 Jamadil Akhir 1431 Hijriyah

31 Mei 2010

Friday, May 7, 2010

PADA DENGAN SATU ISTERI


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

ISTERI WAJIB MENUNTUT ILMU FARDHU ‘AIN

Sebagai seorang lelaki yang bergelar suami adalah wajib bertanggungjawab memimpin isteri dan bukan dipimpin isteri.

Adalah juga menjadi tanggungjawab seorang suami yang mukmin mendidik isterinya supaya isterinya menjadi isteri yang solehah.

Suami itu juga wajib mengajar isterinya ilmu fardhu ‘ain. Jika suami itu tidak ada ilmu Agama, maka dia wajib membenarkan isterinya keluar untuk menuntut ilmu fardhu ‘ain sahaja dengan orang yang berilmu Agama.

Seseorang isteri yang ada ilmu Agama pula hendaklah mengajar ilmu fardhu ‘ain kepada anak-anaknya dan harus keluar mengajar anak-anak dan perempuan-perempuan Islam yang lain yang memerlukannya.

Maka dia adalah isteri yang mukminah yang mampu atas daya usahanya mengamalkan dengan baik rukun-rukun Islam dan rukun-rukun iman di samping menjalankan tanggungjawabnya yang wajib terhadap suami dan anak-anaknya.

MENJADIKAN SUAMI PECACAL

Bagi isteri-isteri yang tidak mengamalkan hukum-hukum yang diperintah Allah Ta’ala mengikut syarat-syarat sebagai seorang wanita mukminah dan isteri kepada seorang suami yang mukmin, maka wanita itu derhaka kepada suami dan Allah Ta’ala.

Isteri itu tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai ibu yang mengandung, melahirkan anak, menyusu, dan memberi makan dan pakaian serta membesarkan anak.

Terdapat juga isteri yang hanya menjadi ibu yang mengandung dan melahirkan anak sahaja tetapi anak-anaknya disusu, dijaga, diasuh dan sebagainya oleh orang lain seperti “nanny” atau “babysitter”. Wanita seumpama itu tidak layak diberi gelaran sebagai seorang isteri dan ibu yang beriman dan solehah.

Mana-mana isteri yang derhaka dan menjadikan suaminya pecacal, walaupun nampak ia bersolat, berpuasa di bulan Ramadhan dan membaca serta mengajar Al-Quran; dia tidak boleh digelarkan sebagai seorang isteri yang mukminah dan solehah.

Kata Imam Al-Ghazali bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya: “Binasa dan jahat lelaki yang menjadi pecacal kepada isterinya”.

MEMBAWA ISTERI BERSAMA-SAMANYA

Allah Ta’ala membenarkan seseorang lelaki Islam berkahwin, satu, dua, tiga dan empat, sepertimana firmanNya dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 3, maksudnya: “…maka kahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan: Dua, tiga atau empat, kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) ( berkahwinlah dengan) seorang sahaja,..” (Ayat 3)

Ini bermakna bahawa lelaki dibolehkan berkahwin lebih daripada satu dan tidak lebih daripada empat dalam satu-satu masa.

Jika seseorang lelaki mendapati isterinya yang satu itu adalah seorang yang beriman serta mengamalkan segala perintah Allah Ta’ala dan RasulNya dengan amalan yang solehah, memadailah bagi seseorang lelaki itu menjaga semasa hayat isterinya itu dengan penuh kebajikan dan keberkatan daripada Allah Ta’ala dan dengan rahmatNya dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama isterinya.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Az-Zukhruf, Ayat 70, maksudnya: “(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.’” (Ayat 70)

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Ar-Ra’d, Ayat 22, Ayat 23 dan Ayat 24, maksudnya: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata , dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan ; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.” (Ayat 22)

“Iaitu syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal salih dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” (Ayat 23)

“(Memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.’ (Ayat 24)

ISTERI YANG TIDAK CAKNA TERHADAP SUAMI DAN ANAK-ANAKNYA

Ramai di antara wanita-wanita yang bergelar isteri sekarang ini menganggap serta yakin bahawa isteri perlu meninggalkan kewajiban terhadap suami dan anak-anak untuk bekerja dan meneruskan kerjayanya yang kononnya boleh menjamin kehidupan dan dapat meninggikan tarap hidup keluarga, walaupun dalam masa menjalankan kerja itu seseorang isteri itu terpaksa bergaul dengan lelaki yang bukan mahram dan melanggar hukum-hukum syarak.

Walaupun dengan izin suaminya, ketika isteri itu menjalankan kerja terdapat perkara-perkara yang dilarang Allah Ta’ala dan RasulNya serta jatuh kepada haram pula dari segi hukum, maka hasil yang dibawa balik oleh isteri itu tidaklah boleh dikategorikan baik bahkan boleh terjatuh kepada haram untuk dibelanjakan kepada keluarga.

Justeru itu, segala hasil daripada usaha-usaha siang dan malam yang dijalankan oleh isteri sehingga menjadi kaya raya; memiliki istana dan gedung-gedung besar, jika ia tidak mendapat keredhaan Allah Ta’ala atas harta kekayaan itu; maka semuanya itu menjadi hiasan yang melalaikan dan akan hilang bila-bila masa.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Fathir, Ayat 5, maksudnya: “Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amalan kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).” (Ayat5)

PENTINGKAN GAYA HIDUP DUNIA

Sekiranya isteri tersebut tidak juga dapat dididik, ditunduk nafsu hodohnya oleh suami yang beriman kerana keras hatinya yang penuh dengan keegoan dalam gaya hidup dan pemikirannya yang mana meracuni sarafnya, maka suami itu hendaklah berkahwin lain; dua, tiga atau empat yang terdiri daripada perempuan-perempuan yang solehah dan redha.

Mudah-mudahan dengan yang demikian, suami mendapat ketenangan hati dan jiwa serta mendapat keredhaan daripada Allah Ta’ala dengan melepaskan diri daripada menanggung tekanan jiwa dan dosa-dosa yang dilakukan oleh isterinya yang degil itu.

Dosa-dosa itu ialah dosa-dosa yang dilakukan oleh isterinya itu ketika keluar bekerja atau semasa isteri itu berada di luar kota semasa menjalankan urusan kerjanya tanpa kehadiran suami atau mahramnya.

Oleh hal yang demikian, seseorang suami hendaklah bersungguh-sungguh mengawasi isterinya daripada menjalankan segala pekerjaan yang ditegah oleh syarak dan hendaklah mengamat-amati daripada pekerjaannya itu setiap masa kerana perempuan itu banyak karenah dan tarikannya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengingatkan supaya seseorang lelaki memelihara dan mengawal diri daripada runtunan dan daya penarik perempuan yang menjadi alat pemancing syaitan. Lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, titisan air mata yang mencairkan hati, gerak geri yang menarik, pakaian yang memberahikan yang membawa kepada berlakunya maksiat dan melalaikannya daripada menjalankan tanggungjawabnya.

Mengenai ini Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, pernah berkata (maksudnya): “Kebanyakan lelaki dari umat-umat yang telah lalu menjadi kafir adalah berpunca daripada perempuan, dan pada masa yang akan datang pun ada juga orang-orang lelaki berlaku kufur disebabkan angkara perempuan.”

Oleh kerana daya penarik perempuan yang amat kuat sehingga ada lelaki yang berpendirian tegas dan bijak pandai jatuh tersungkur sehingga sanggup memusuhi akal fikirannya, menentang ilmu pengetahuannya, meruntuh rumahtangganya, dan melanggar hukum-hukum Allah dan undang-undang negara. Perkara itu telah banyak terbukti dalam sejarah manusia dari zaman ke zaman.

Peringatan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam itu terkandung dalam Hadis yang berikut:

Dari Usamah bin Zaid r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya: “Tidak ada sesuatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki, selain daripada fitnah yang berpunca dari kaum perempuan.” (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, Tarmidzi, Nasa-i, dan Ibnu Majah)

TALAK LEBIH BAIK

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya :

“Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah Ta’ala ialah talak”. (Abu Daud dan Ibnu Majah)

Namun begitu, bagi isteri yang mementingkan kerjayanya dan kemewahan serta gaya hidup dunia lebih daripada suaminya, Allah Ta’ala perintahkan supaya lelaki tersebut yang menjadi suaminya mentalakkannya. Dengan itu dapatlah isterinya itu meneruskan kehidupannya mengikut gaya hidup dunia yang dikejarkannya itu. Allah Ta’ala akan melapangkan rezeki kedua-dua mereka yang telah berpisah itu.

Begitu juga sebaliknya, isteri yang beriman dan solehah lebih baik berpisah dengan suaminya, jika didapati lelaki yang menjadi suaminya itu, selepas berkahwin tidak sesuai dengannya.

Perpisahan dikira mustahak bagi kedua-dua belah pihak untuk mengelakkan isteri hidup dengan suaminya itu di alam kepura-puraan yang menipu yang akan menjadi stres dan bebanan kepada mereka; ataupun dijadikan perkahwinan dengan suaminya itu semata-mata sebagai perkahwinan kerana keperluan “marriage of convenience”.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 28 dan Ayat 29, maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: ‘Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Ayat 28)

“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredhaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar.” (Ayat 29)

Imam Asy-Syaf’ie, dalam Kitab Al-Fighul Manhaji, berkata: “Matlamat perkahwinan ialah kehidupan yang berterusan di antara kedua-dua pasangan suami isteri. Allah Subhanahu Wata’ala mensyariatkan banyak hukum hakam dan adab-adab untuk mengekalkan dan menyemarakkan hubungan suami isteri . Tetapi ada kadang-kadang adab-adab dan hukum hakam ini tidak diikuti oleh kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka. Contohnya suami tidak memilih isteri yang sesuai, atau kedua-dua pasangan atau salah seorang tidak iltizam dengan adab-adab pergaulan (hidup bersama) yang telah ditentukan oleh Islam. Ini menyebabkan kerenggangan. Kerenggangan ini semakin melebar dari sehari ke sehari sehingga sukar untuk diperbaiki. Ketika tidak ada cara untuk mengwujudkan persefahaman dalam kehidupan berkeluarga, peraturan yang membolehkan kita menangani masalah tersebut diperlukan. Dengan itu ikatan perkahwinan dapat dirungkaikan dan hak kedua-dua pihak tidak terabai. Ini dilakukan apabila mereka tidak lagi mampu untuk hidup bersama.”

Allah Ta’ala memiliki rezeki yang luas. Seseorang suami dan isteri yang telah berpisah, jika dipanjangkan umur, masing-masing boleh membina semula kehidupan berumahtangga yang baru dengan mendapat keperluan yang cukup daripada Allah Ta’ala.

Oleh hal yang demikian, suami dan isteri yang bercerai itu, masing-masing tidak perlu lagi menanggung beban yang mana boleh membawa mereka ke lembah kecelakaan dengan menyimpan perasaan sentimen terhadap harta kekayaan, rupa paras dan sebagainya yang ada pada suami atau pada isteri kerana semuanya itu adalah bersifat sementara.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 130, maksudnya: “Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.” (Ayat 130)

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB


Hari Jumaat

22 Jamadil Awal 1431 Hijriyah

7 Mei 2010