Thursday, March 19, 2009

GELARAN HAJI DAN HAJJAH


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

HAJI

Haji ialah mengunjungi Baitullah Al Haram di Makkah Al Mukarramah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan tawaf, saie, wukuf di ‘Arafah dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.

HUKUM

Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim dan muslimah yang sudah baligh, berakal, merdeka dan berkuasa. Hukumnya wajib sekali seumur hidup apabila memenuhi syarat-syaratnya.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: (Maksudnya)
”Dan Allah Subhanahu Wata’alaa mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’alaa Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun) dari sekalian makhluk”.

Surah Ali-Imran, Ayat 97.

JIHAD BAGI WANITA

Mengerjakan haji merupakan jihad yang paling utama bagi wanita menundukkan nafsu. Seperti tersebut dalam Hadis berikut: (Mafhumnya)
”Daripada Aisyah radhiallahu ’anha katanya: Aku bertanya wahai Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam, kami (wanita) berpendapat jihad adalah amalan yang paling utama, mengapakah kami (wanita) tidak diberi peluang berjihad? Jawab baginda Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam, bagi kamu (wanita) terdapat jihad yang lebih utama (bagi menundukkan hawa nafsu) iaitu haji mabrur”.

Riwayat Al Nasa’iy.

MANUSIA TERDEDAH KEPADA SALAH DAN SILAP

Manusia adalah makhluk Allah yang paling istimewa sekali berbanding dengan makhluk-makhluk lain kerana dikurniakan kepadanya akal dan nafsu. Dengan itu manusia akan beroleh darjat yang paling tinggi sekiranya ia mempergunakan akalnya itu dengan sempurna. Tetapi sebaliknya pula ia akan menerima padah yang amat menyedihkan kalau hawa nafsu dapat mempengaruhinya. Walau bagaimana pun manusia itu sentiasa terdedah kepada salah silap dan kesilapan menjadi perkara yang tidak dapat dielakkan melainkan sesiapa yang terpelihara oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Oleh yang demikian untuk memohon keampunan dosa –dosa itu dan segera kembali balik ke jalan Allah yang diredhariNya ialah dengan bertaubat nasuha dan menunaikan Fardhu Haji.

Menurut Hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah radhiallahu ’anhu, bersabda Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam (mafhumnya):

”Barangsiapa menunaikan Haji ke Baitullah sedangkan ia tiada melakukan ’rafath’ persetubuhan dan perkara-perkara ’fusuk’ yang dilarang, maka bersihlah ia dari dosa-dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.”
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

TINGKATAN-TINGKATAN UNTUK MENDAPAT HAJI MABRUR

Ada banyak tingkatan atau darjah bagi seseorang itu untuk mendapat haji mabrur di antaranya:

1. Niat yang ikhlas
2. Daging darahnya tidak tumbuh daripada makanan yang haram
3. Bekalan untuk menunaikan ibadat haji itu bukan daripada hasil yang haram
4. Tinggal semua perangai-perangai yang mazmumah iaitu sifat –sifat, akhlak, budi pekerti yang buruk dan hodoh-hodoh dan tercela mengikut syarak
5. Istiqamah mengerjakan semua ibadat yang fardu dan sunat
6. Jauhkan daripada mengerjakan fahsyaa’ dan mungkar


ASAKKAN-ASAKKAN SYAITAN

Dalam pada itu syaitan jinn dan syaitan manusia juga memainkan peranan untuk menggunakan kesempatan kemuliaan itu bagi tujuan keduniaan yang buruk lagi hodoh. Dengan serbuan asakkan syaitan-syaitan terhadap orang-orang yang telah menunaikan fardhu Haji itu terlalai sehingga ada di antaranya berbalik kepada sifat dan akhlak mazmumah seperti sebelum haji.

Perkara seperti itulah wajib diperhatikan benar-benar supaya kita umat Islam tidak tertipu oleh syaitan-syaitan manusia yang bertopengkan dalam pakaian haji dan gelaran al-haj atau haji dan hajjah semata-mata sedangkan pembawakan amalannya tidak secucuk dengan gelarannya.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al-Hijr, Ayat 39 dan 40 (mafhumnya): ”Iblis berkata: ”Wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikan daku sesat , maka demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriyatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya”. Ayat 39.
– ”Kecuali ( di antara zuriyat-zuriyat Adam) hamba-hambaMu yang ikhlas (yang bersih dari sebarang syirik)’.
Ayat 40.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman kepada Iblis (mafhumnya):

”Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan), kemudian sesiapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.”

Surah Al-Israa, Ayat 63.

JANGAN MENYALAHKAN HAJI

Sekiranya terdapat sifat-sifat mazmumah yang tidak secucuk dan selaras dengan syarak ada pada seseorang yang diberi gelaran atau bergelar haji atau hajjah, maka janganlah kita segera menyalahkan ibadat haji yang mulia itu pula dengan berbagai celaan, kerana menolak atau mencela-celakan hukum dan ibadat yang diperintah Allah Subhanahu Wata’ala itu gerun seseorang itu akan jatuh murtad. Na’uzu billahi min zalik.

Ingatlah bahawa jika ada atau terdapat segala sifat, perilaku, budi pekerti, dan akhlak yang buruk-buruk, hodoh, busuk dan jahat pada orang-orang yang menggunakan gelaran al-haj, haji dan hajjah itu, maka itu adalah amalan tak soleh dari mereka sendiri.

Allahu a’lamu bissawaab.

Catatan di Makkah Al Mukarramah
Hari Jumaat
24 Dzilhijjah 1429 Hijriyyah
11 Disember 2008

Friday, March 13, 2009

JAGA KEMULIAAN KA'ABAH




BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Bila mengerjakan tawaf di Ka'abah
Tawaf sunat, tawaf umrah dan tawaf ifadhah
Jaga wudhu' jangan berjanabah
Bahu kiri ke arah Ka'abah jangan berubah


Jaga kaki dan tangan bila berjalan
Jangan terlalu laju dan berkejaran
Setiap bilangan langkah dalam pusingan
Diberi Allah ganjaran dan keberkatan


Simpan marah dan panas baran
Jangan rengus jangan bebal jaga kesabaran
Jangan menerajang jangan bersinggungan
Menyakitkan hati merenggangkan persaudaraan


Tidak dapat dikawal dan tiada kekuasaan
Bila terhimpit tertolak atau tersorongan
Dosa dalam diri segeralah buat perhitungan
Istighfar kepada Allah meminta ampun dan pertolongan


Firman Allah Subhanahu Wata'alaa (maksudnya):
“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa
bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa
yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan)
ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri,
dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar,
dalam masa mengerjakan Haji. Dan apa jua
kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah;
dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya,
kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah
memelihara diri (dari kea'ipan meminta sedekah);
dan bertaqwakah kepadaKU wahai orang-orang yang berakal”.
Surah Al Baqarah, Ayat 197.


Catatan di Makkah Al Mukarramah
Hari Isnin
24 Dzilhijjah 1429 Hijriyyah
22 Disember 2008