Saturday, November 17, 2007

ADHIYAH DAN 'AQIQAH


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM


Bermula ibadat adhiyah (qorban) itu adalah sunat muakad bagi orang yang mengerjakan rukun Haji dan juga bagi orang-orang yang lainnya. Adhiyah (qorban) itu menjadi wajib bila dinazarkan seperti katanya "Bagi Allah atasku bahawa aku perbuatkan adhiyah (qorban) ini nazar.......(nyata apa yang dinazarkan)".


Adhiyah yang wajib (nazar) tersebut itu adalah haram bagi orang yang membuat adhiyah iaitu makan semua apa-apa bahagian daripada binatang adhiyah itu.


Orang yang membuat adhiyah hendaklah mengucap pada ketika menyembelih binatang itu dengan katanya "Bismillahi, Allahumma hazihi adhiyati wataqobbal minni". Ertinya "Dengan nama Allah, Ya Allah Tuhanku inilah adhiyahku maka Engkau terimalah daripadaku", dengan qosad (tujuan) untuk mendapat keberkatan.


Masuk waktu membuat adhiyah ialah apabila naik matahari hari Nahar (10 Dzilhijjah) dan berlalu masa dua rakaat solat Aidul 'Adha dan dua khutbah yang ringan kedua-duanya. Afdal ialah selepas masa yang tersebut tadi daripada naik matahari kadar segalah dan berkekalan waktu adhiyah itu hingga jatuh matahari hari Tasyrik yang ketiga iaitu 13 Dzilhijjah. Kemudian daripada waktu yang ditetapkan itu tidak boleh lagi membuat adhiyah.


Binatang-binatang yang sah dan afdal dibuat adhiyah ialah unta, kemudian lembu dan kerbau, kemudian kibas dan kambing. Tujuh ekor kibas lebih baik daripada seekor unta. Afdal binatang untuk dibuat 'aqiqah pula ialah kibas dan kambing kerana Rasulullah S.A.W. melakukannya. Boleh juga membuat 'aqiqah dengan unta, lembu dan kerbau.

Memadai pembahagian seekor unta atau lembu atau kerbau kepada tujuh orang sama banyak, walaupun masing-masing berlainan qosadnya (tujuan) seperti diantaranya qosad untuk dimakan, dan yang lain pula untuk dijualnya.


Syarat-syarat binatang :-


Pertama : Binatang-binatang yang dijadikan adhiyah atau 'aqiqah itu ialah unta cukup umurnya lima tahun masuk kepada enam tahun. Lembu dan kerbau dan kambing umurnya dua tahun masuk kepada tiga tahun. Kibas umurnya satu tahun atau bersalin gigi, dua gigi hadapannya. Jika dua giginya bersalin, umur kibas itu dikecualikan dengan syarat giginya bersalin selepas enam bulan umurnya.


Kedua : Semua binatang yang dijadikan adhiyah atau 'aqiqah itu hendaklah tidak 'aib iaitu cacat seperti tiada bertelinga yang terpotong jika sedikit sekalipun termasuklah juga binatang yang tiada mahu makan rumput, kurus, sakit, gila dan yang serupa dengannya.


Ketiga : NIAT pada ketika sembelihnya. Jika ia mewakilkan kepada orang lain menyembelihkannya maka hendaklah ia berniat tatkala memberi wakil dengan ucapan "aku mewakilkan dikau menyembelihkan......." dan diterima oleh orang yang menyembelih dengan ucapan "aku terima......".


Keempat : Daging adhiyah atau 'aqiqah boleh disedekahkan mentah atau dimasak hanya kepada orang-orang muslim sahaja dan tidak harus disedekahkan atau dihadiahkan kepada kafir atau orang-orang murtad. Daging 'aqiqah sunat dimasakkan sebelum disedekahkan. Jangan dipatah-patahkan atau dipecah-pecahkan tulang binatang yang dibuat 'aqiqah itu.

(Disini Ayahanda menasihatkan anakanda-anakanda berhati-hati bila melapah binatang-binatang yang dijadikan 'aqiqah. Seelok-eloknya anakanda-anakanda ambillah tulang-tulang binatang itu setelah diambil daging dan isinya untuk dimakan sendiri.)


Kelima : Haram bagi orang-orang yang membuat adhiyah atau 'aqiqah menjual sesuatu daripada dagingnya atau kulitnya atau bulunya. Dan haram menjadikan sebagai pengupah kepada tukang menyembelih tetapi tiada haram jika diberikan dia atas jalan sedekah bagi menyembelihkannya dan harus dihadiahkan dia.


Keenam : Tiada sah diperbuat adhiyah bagi orang lain yang hidup jika tiada dengan izinnya. Tetapi harus bagi walinya iaitu bapa dan nenek dengan hartanya.


Ketujuh : Tiada sah diperbuat adhiyah bagi orang yang telah mati jika ia tiada berwasiat. Adapun apabila berwasiat dengannya maka sah diperbuat adhiyah baginya.


'Aqiqah hukumnya adalah sunat muakad. Afdal dibuat 'aqiqah pada hari ketujuh dari hari diperanakkan (lahir) sehingga aqil baligh. Selepas aqil baligh, gugurlah ke atas walinya membuat 'aqiqah. Sunat bagi kanak-kanak itu membuat 'aqiqahnya sendiri selepas ia aqil baligh.


Bagi anak lelaki 'aqiqahnya dua ekor kibas dan anak perempuan seekor sahaja samada jantan atau betina. Boleh juga dibuat 'aqiqah dengan seekor kambing bagi seorang budak dan seekor unta atau lembu atau kerbau untuk tujuh orang budak.
Menurut Hadith Rasulullah S.A.W. Daripada 'Ali bin Abi Talib r.a. katanya : Telah ber'aqiqah Rasulullah S.A.W daripada Hasan dengan seekor kibas.


Perkara-perkara sunat yang perlu dilakukan ketika lahir kanak-kanak :


Pertama : Azan pada telinga kanannya dan qomat pada telinga kirinya.

Kedua : Baca surah Al-Qodar (Inna anzalnahu.......) pada telinga kanannya

Ketiga : Digosokkan tamar pada lelangit kanak-kanak selepas dimamahkan tamar tersebut.

Keempat : Cukur kepalanya pada hari ketujuh dari hari kelahirannya iaitu selepas sembelihan binatang 'aqiqahnya.

Kelima : Timbangkan rambutnya yang telah dicukur itu dengan emas atau perak kemudian bersedekah dengannya. Rambutnya ditanam.

Keenam : Sunat dinamakan atau diumumkan namanya pada hari ketujuh itu iaitu pada hari 'aqiqah/cukur kepala.

Ketujuh : Sunat dinamakan kanak-kanak itu dengan nama-nama yang baik lagi elok. Tidak harus dinamakan kanak-kanak dengan nama-nama malaikat. Haram dinamakan dengan nama-nama diantaranya 'Abdul Ali, Abdul Hassan, Abdul Ka'bah, Abdul Nabi, Abil Qosim, Jarullah, Malikul Muluk' dan sebagainya. Nama-nama yang hodoh hendaklah dielakkan seperti 'Wati, Laili Wati, Zaniah, Razilah' dan sebagainya.


Wallahu A'lamu Bissawab.







Tuesday, November 13, 2007

HUKUM-HUKUM DI DALAM ISLAM


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Jenis hukum syari'e ada lima

Wajib, Sunat, Haram, Makruh dan Harus sebutannya

Kesan hukum-hukum itu tak dapat dilihat dan tak dapat dirasa

Bagi orang yang beriman berhati-hati senantiasa

Bagi mendapat kerahmatan Allah SWT dan keampunanNya


Wajib perintah Allah SWT mesti dikerjakan semuanya

Jika ditinggalkan berdosa dan mendapat bala

Hukumnya mendapat azab di akhirat dan di dunia

Di akhirat pula tidak terperi seksanya

Contohnya pakai tudung, tutup aurat, solat dan puasa


Sunat adalah melakukan kerja mendapat pahala

Ditinggalkannya tiada dapat apa-apa

Contohnya makan dengan tangan kanan berserta doa

Membanyakkan kerja sunat menghiaskan ibadat yang ada


Haram yakni larangan dan tegahan Allah SWT mesti dijauhi

Melakukannya dilaknat Allah SWT, mendapat azab dan dibenci

Meninggalkannya tetap mendapat pahala yang tinggi

Contohnya minum arak, berzina dan berjudi


Makruh ialah pekerjaan yang dilakukan tiada mendapat apa-apa

Bila ditinggalkannya dipuji dan diberi pahala

Merokok, berdiri ketika makan dan minum contohnya

Orang-orang mukmin dan mukminah benci melakukannya


Harus ertinya tiada pahala dan tiada dosa

Samada dikerjakan atau ditinggalkannya

Seperti makan, minum dan bekerja

Perkara harus perlu berhati-hati bila mengerjakannya



Peringatan : Sayugia diingatkan bahawa perkataan haram yang digunakan dalam hukum syariah sekarang ini disalahgunakan orang. Di Malaysia, perkataan haram digunakan bagi memberi erti illegal, tanpa izin, tanpa lesen, tanpa permit, tanpa persetujuan kerajaan dan sebagainya.

Monday, November 12, 2007

MUSLIM MUSLIMAH TA'ATKAN ALLAH DAN RASUL


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM









Dalam Al-Quran yang ditafsir



Ayat tiga puluh dua Surah Al-Ahzab nyata terukir



Firman Allah yang maha Zahir



"Wahai isteri-isteri Nabi, jangan jadi seperti perempuan-perempuan kafir"




Manusia semasa dalam kafir hidupnya bagai binatang



Makan minum tiada pantang larang



Haram halal dalam syariah tiada galang



Kafir sesat jalan, kafir manusia binatang







Wanita dalam kafir bangga mendedah rambut dan aurat



Suka menunjuk susuk badan dan urat



Putih, kuning, hitam dan berkarat



Melakukan apa yang binatang pun tak buat






Lelaki pakai seluar kompot tak silu-silu



Wanita pakai celana sendat badan pusu-pusu



Pakaian jahiliyah zaman dahulu



Lelaki wanita sekarang menirunya dikatakan maju






Angsa dan itik pun mandi pakai baju



Kambing, ayam dan margasatwa ditutupi bulu



Berkilat bersih dipandang cantik selalu



Lelaki dan wanita kafir badan terdedah tak malu






Tipu helah hiasan syaitan amatlah dahsyat



Menyebut pekerjaan amal tetapi maksiat



Ramailah terperangkap lalai dan sesat



Menjerit melalak bak kera jantan betina meloncat-loncat






Hasil kerja amal maksiat haram hukumnya



Dimakan, dipakai, disedekah kepada kaum keluarga



Berpanjanganlah haram dan dosanya



Bagi orang helat itu semua boleh belaka






Muslim dan muslimah beradab bersopan santun



Menutup aurat supaya bukan mahram tidak dapat tonton



Ikut perintah yang diwajibkan Allah Ta'ala dan Rasul



Selamat di dunia dan dosa diampun






Barang yang baik dibungkus ditutup rapat-rapat



Supaya tidak dipandang jin dan manusia yang helat



Melindungi dari penyakit 'ain yang amat dahsyat



Membutakan mata syaitan sadis yang jahat

















AL 'AIN PENYAKIT MATA (EVIL EYE)


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM


Hadith Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam


Daripada Ibni Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam katanya : Jikalau ada sesuatu itu mendahulu ia qodar (takdir) nescaya mendahulukan dia oleh 'ain (penyakit mata). Hadith dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Termizi


Penyakit 'ain memberi mudharat teruk sekali

Melalui mata iaitu pandangan menubi

Boleh membinasakan tubuh dan diri

Orang yang terkena boleh tak sedar diri

Boleh hilang akal dan mati


Muslim muslimah jagalah diri sepanjang masa

Daripada pandangan Al 'Ain yang mudharat lagi celaka

Bacalah doa ini setiap masa dan di mana-mana

A'uzu bikalimaatillah hittaamaati min syarrima kholaq

Saturday, November 10, 2007

KILIRAN BUDI (1)


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM


Cucunda-cucunda yang dianugerahi Allah Subhanahu Wa Ta'ala bijak bestari.


Angin bertiup dapat dirasa

Tak dapat dipegang, tak dapat dipandang

Air dapat dilihat, dapat dirasa

Dapat dikecap, tak dapat dipegang

Subhanallah


Kegunaan api amatlah nyata

Dalam kehidupan manusia di dunia

Sebelum api menyala, di manakah ia

Selepas api padam, hilang pula ia ke mana

Subhanallah


Ikut kata orang dalam bumi ada graviti

Epal dibaling ke udara pasti jatuh ke bumi

Benda yang berat jatuh awal sekali

Benda yang ringan lambat turun ke bumi

Subhanallah


Hujan turun dari awan

Bentuk air halus dan ringan

Mengapakah air yang besar masih di awangan

Apakah teori graviti berlawanan

Subhanallah


Air laut masin rasanya

Ikan, siput dan yang lain-lain hidup di dalamnya

Isinya enak lembut lagi sedap pula

Mengapakah ia tidak masin dagingnya

Subhanallah


Kuda arab, kuda liar dan kuda padi

Diajar dilatih boleh diguna sendiri

Berlumba, berperang, mengisar gandum dan barli

Mengapa kuda belang tidak boleh diguna sampai hari ini

Subhanallah


Kata orang kuku daripada tulang dalam isi

Dikerat dipotong ia tumbuh lagi

Tumbuhnya dari kecil sampai ke mati

Bolehkah tulang bila dipotong tumbuh kembali

Subhanallah


Bulu kening, rambut, misai dan janggut

Semuanya tumbuh di atas kulit yang lembut

Digunting tumbuh semula panjang janggut dan rambut

Mengapa bulu kening dicukur tumbuh kontot

Subhanallah


Manusia minum dan makan serba aneka

Untuk membesar dan menguatkan tenaga

Lembu, gajah makan rumpai dan daun sahaja

Mengapa badannya kuat besar dan sasa

Subhanallah


Subhanallahi Walhamdulillahi Wala Ilaha Il-lallahu Wallahu Akbar

Thursday, November 1, 2007

JEMPUTAN KENDURI KAHWIN


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM

Cucunda-cucunda yang dijagai Allah Subhanahu Wa Ta'ala.


Cucunda-cucunda haruslah berhati-hati bila menerima jemputan kenduri perkahwinan supaya jemputan-jemputan itu benar-benar boleh memberi pahala kepada orang-orang yang menjemput dan kepada orang-orang yang kena jemput.


Perkara yang biasa dan menjadi adat budaya, apabila diadakan kenduri atau jamuan perkahwinan dan lain-lainnya, orang yang mengadakan kenduri tersebut menjemput para jemputan untuk merai dan memeriahkan majlis berkenaan.


Mengadakan kenduri perkahwinan itu adalah sunat hukumnya. Besar atau kecil pekerjaan kenduri kahwin itu adalah harus mengikut kemampuan masing-masing.


Bagi orang-orang yang menerima jemputan itu pula hukumnya wajib memperkenankan jemputan itu. Hukum ini berubah-ubah mengikut rupa keadaan pekerjaan kenduri kahwin itu diadakan. Ia menjadi wajib bila kenduri kahwin itu memenuhi beberapa syarat seperti berikut :


Pertama - Orang yang menjemput dan orang yang dijemput itu Islam.

Kedua - Orang yang mengadakan kenduri kahwin itu menjemput semua jemputan tak kira para jemputan terdiri daripada orang yang ternama, orang yang kaya dan orang yang miskin pada hari dan waktu yang sama.

Ketiga - Tidak wajib jika orang yang menjemput itu kafir.

Keempat - Jemputan itu hendaklah mutlak tasrifnya yakni khusus (proper invitation).

Kelima - Jemputan itu hendaklah nyata kepada siapa yang dijemput.

Misalnya dijemput "Encik Ali bin Abdullah suami isteri"

atau "Encik Ali bin Abdullah sekeluarga."

Keenam - Jemputan itu hendaklah dibuat oleh orang yang mengadakan kenduri kahwin itu sendiri dan bukan disuruh orang lain mewakili dirinya untuk menjemput para jemputan.

Ketujuh - Jika orang-orang yang menerima jemputan kenduri kahwin itu tidak dapat hadir, maka menjadi tanggungjawab mereka memaklumkan kepada orang yang menjemput seberapa segera.



Hukum jika kenduri kahwin diadakan berperingkat-peringkat :


Pertama - Jika ada pengetahuan kenduri kahwin itu diadakan pada berlainan hari dan masa; hukumnya : jemputan pada hari pertama wajib pergi, hari kedua hukumnya sunat, hari ketiga hukumnya makruh sama juga jika kenduri dibuat pada satu hari tetapi tiga waktu yang berlainan.

Kedua - Jika ada pengetahuan jemputan kenduri kahwin dibuat mengikut status orang-orang yang dijemput misalannya yang kaya dan kenamaan pada satu waktu dan yang miskin itu pada waktu yang lain hukumnya ditegah memperkenankan jemputan tersebut.


Nasihat Tok Ayah kepada cucunda-cucunda supaya tidak menghadiri kenduri kahwin yang berperingkat-peringkat itu lebih selamat dan baik dari segi hukum kerana di sana ada unsur-unsur kasta dan penghinaan.


Adalah ditegah memperkenankan jemputan kenduri kahwin yang dijemput oleh orang-orang zalim, fasik, dan orang-orang jahat yang menuntut cari tanggungan kebesaran dan kemegahan iaitu orang-orang yang mencari nama dan menunjuk-nunjuk kemegahan dan kemewahannya.


Ditegahkan juga memperkenankan jemputan perkahwinan yang dibuat secara umum dan dihadapan khalayak ramai di tempat-tempat tertentu seperti di masjid, surau, balairaya dan sebagainya. Jemputan begini adalah jemputan tidak khusus (improper invitation) misalannya "Saya akan membuat kenduri kahwin anak saya dan sebagainya. Tuan/puan adalah dijemput." Jemputan seumpana ini tidak harus diperkenankan.


Ditegah perempuan-perempuan muda yang belum berkahwin menghadiri kenduri kahwin bersendirian tanpa mahram kerana dikhuatiri bergaul dengan lelaki ajnabi yakni bukan mahram.


Ditegah menghadiri kenduri kahwin jika ada pengetahuan akan berlaku fitnah seperti kata mengata, mengumpat dan sebagainya.

Haram memperkenankan jemputan kenduri kahwin yang ada di sana temasya-temasya yang mempunyai unsur-unsur yang diharamkan Islam.

Jika diketahui kenduri yang diadakan berpunca daripada hasil yang haram, maka haram memperkenankan jemputan tersebut. Tetapi orang yang menerima jemputan itu tidak mengetahui samada hasil perbelanjaan kenduri kahwin itu haram atau halal, maka hukumnya harus memperkenankannya.


Orang-orang yang makan kenduri kahwin jika tidak dijemput secara khusus hukumnya haram.